top of page
ASCO LAW

Perlu Khidmat Peguam?

Surat Kuasa Mentadbir: Panduan Lengkap Yang Anda Perlu Tahu Untuk Rumah & Tanah Pusaka Pada 2024




Isu harta pusaka beku dan tidak dituntut bukanlah perkara asing lagi yang berlaku dalam kalangan kita. Kebiasaannya, harta pusaka ini ditinggalkan ini tanpa sebarang wasiat dan menjadi perebutan antara saudara mara. Sebenarnya, masalah harta pusaka tanpa wasiat ini masih boleh diselesaikan dengan proses dan dokumen yang betul.


Salah satu dokumen penting yang diperlukan bagi proses ini ialah Surat Kuasa Mentadbir. Dalam artikel "Surat Kuasa Mentadbir: Panduan Lengkap Yang Anda Perlu Tahu Untuk Rumah & Tanah Pusaka Pada 2024" kali ini, kami akan kongsikan tentang Surat Kuasa Mentadbir dan panduan lengkap yang anda perlu tahu!




Kandungan Artikel




Apa yang akan berlaku kepada semua harta sekiranya si mati tidak meninggalkan sebarang wasiat?


Sebelum kita pergi lebih lanjut, pastinya ramai yang masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang akan berlaku kepada semua harta sekiranya si mati tidak meninggalkan wasiat. Berikut merupakan beberapa situasi yang sering terjadi:


Harta akan dibekukan dan tidak boleh dipindahkan atau dikeluarkan


Apabila berlaku kematian, harta yang dimiliki si mati akan dibekukan. Harta ini tidak boleh dipindah dan dikeluarkan tanpa proses tuntutan harta pusaka yang sah


Surat Kuasa Mentadbir diperlukan bagi tuntutan harta pusaka


Bagi meneruskan proses tuntutan harta pusaka. waris memerlukan Surat Kuasa Mentadbir yang dikeluarkan oleh Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil.


Waris tidak akan dapat membuat sebarang tuntutan harta pusaka tanpa Surat Kuasa Mentadbir


Tahukah anda, tanpa perintah dan dokumen yang betul seperti Surat Kuasa Mentadbir, pihak waris contohnya isteri atau suami si mati berkemungkinan besar tidak boleh menggunakan harta yang ditinggalkan oleh si mati bagi meneruskan kehidupan seharian mereka. Ada situasi di mana waris tidak membuat urusan Surat Kuasa Mentadbir segera dan apabila bil elektrik dan air ada tunggakan dan bil dipotong, penyambungan meter tak berjaya kerana nama rumah masih di atas nama simati.


Sekiranya situasi ini sedang berlaku kepada anda sebagai waris si mati, jangan bimbang! Teruskan membaca panduan yang akan kami kongsikan ini.







Apa itu surat kuasa mentadbir


Surat kuasa mentadbir atau juga dikenali sebagai Letter of Administration (LA) merupakan dokumen sah yang diperlukan untuk melantik seorang pentadbir harta pusaka untuk menguruskan harta pusaka sekiranya si mati tidak meninggalkan wasiat atau wasiatnya tidak sah.


Bagi situasi ini, seorang pentadbir akan dilantik secara sah di sisi undang-undang untuk menjalankan tanggungjawab seperti berikut:


  • Mentadbir harta pusaka simati mengikut peruntukan undang-undang

  • Mengenalpasti, mengumpul dan membuat jumlah nilaian harta si mati yang ada

  • Melangsaikan hutang dan cukai yang tertunggak daripada harta pusaka simati

  • Menuntut hutang si mati yang masih belum dilangsaikan

  • Membahagi-bahagikan harta pusaka kepada waris yang berhak



Di Malaysia, Surat Kuasa Mentadbir boleh dimohon oleh semua warganegara Malaysia sama ada Islam atau bukan islam.


Walaupun begitu, surat kuasa mentadbir bukanlah satu dokumen mudah yang boleh diperolehi oleh waris si mati hanya dalam masa 2 atau 3 hari, ia melibatkan satu proses yang panjang dan kompleks.



Mengapa Surat Kuasa Mentadbir penting?


Sebelum kita pergi dengan lebih lanjut, apakah sebenarnya yang menjadikan Surat Kuasa Mentadbir ini sangat penting untuk diperolehi?



Memudahkan proses tuntutan harta pusaka


Bagi memudahkan urusan rasmi dibuat di mana-mana pejabat kerajaan atau swasta, pihak kerajaan atau swasta hanya akan berurusan dengan pentadbir yang telah diberi surat kuasa untuk mentadbir harta pusaka si mati.


Contohnya, bagi tuntutan ASB atau KWSP si mati, anda memerlukan dokumen surat kuasa mentadbir atau probet sebagai salah satu dokumen penting untuk menuntut harta si mati


Oleh itu, bagi sebarang proses tuntutan harta dan pusaka selepas kematian, proses mendapatkan dokumen ni adalah penting bagi melancarkan proses tuntutan harta pusaka.



Mendapatkan geran rumah daripada Pemaju, pihak Bank atau LPPSA


Apabila seseorang yang mempunyai pinjaman rumah meninggal dunia, baki pinjaman perumahan ini biasanya akan diselesaikan oleh insurans. Namun, pihak bank atau LPPSA tidak akan sewenang-wenangnya menyerahkan geran rumah tersebut kepada pihak waris tanpa dokumen yang betul dan sah.


Malah, proses mendapatkan geran individu atau geran strata daripada Pemaju juga memerlukan Surat Kuasa Mentadbir. Oleh itu, waris wajib mengemukakan Surat Kuasa Mentadbir yang diperolehi daripada Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi kepada pihak bank, LPPSA atau pihak pemaju.


Bukan itu sahaja, bagi kedua-dua urusan ini, pihak mereka juga kebiasaannya akan meletakkan syarat supaya waris atau Pentadbir melantik peguamcara bagi menyelesaikan urusan mendapatkan geran rumah ini daripada pihak mereka.


Melindungi hak waris yang layak


Seterusnya, seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang, hanya waris dan pihak yang layak sahaja boleh memohon Surat Kuasa Mentadbir ini. Oleh itu, hak waris yang berhak akan terbela dan tidak akan jatuh sewenang-wenangnya kepada pihak lain.







Siapa yang boleh memohon surat kuasa pentadbir?


Berikut merupakan senarai waris yang layak untuk memohon Surat Kuasa Mentadbir ini:


  • Pasangan si mati

  • Anak si mati

  • Ibu bapa si mati

  • Adik beradik si mati

  • Waris terdekat


Membantu proses pembahagian harta pusaka secara adil


Sebenarnya, masih ramai yang beranggapan sekiranya si mati tanpa meninggalkan wasiat, proses tuntutan harta pusaka tidak boleh atau sukar untuk dilakukan.Namun, berdasarkan undang-undang serta penyediaan dokumen yang betul seperti Surat Kuasa Mentadbir, proses tuntutan dan pembahagian harta pusaka masih boleh dilakukan secara adil.


Membantu menguruskan hutang si mati


Bukan sahaja harta yang ditinggalkan si mati, hutang juga perlu dilangsaikan! Dengan Surat Kuasa Mentadbir, pihak Pentadbir yang dilantik boleh membantu menyelesaikan hutang si mati dengan kuasa pentadbiran harta pusaka.



Akta yang terlibat bagi surat kuasa mentadbir



Bagi dokumen Surat Kuasa Mentadbir ini, terdapat beberapa akta yang terlibat iaitu:



  • Akta Probet dan Pentadbiran 1959

  • Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955

  • Akta Pembahagian 1958

  • Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012

  • Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 (jika berkenaan)

  • Akta Kebankrapan

  • Enakmen Rizab Melayu Negeri-Negeri (jika berkenaan)

  • Enakmen Pentadbiran Negeri-Negeri



Cara memohon Surat Kuasa Mentadbir


Seterusnya, kami akan kongsikan kepada anda langkah satu persatu bagaimana cara memohon Surat Kuasa Mentadbir. Jom kita bermula!



Cara Memohon Surat Kuasa Mentadbir





Langkah 1:Tentukan nilaian harta


Sebelum memohon Surat Kuasa Mentadbir, anda perlu tahu bahawa permohonan ini akan bergantung kepada jumlah nilaian harta dan jenis harta si mati.


Terdapat tiga kategori bagi nilaian harta ini iaitu:


Nilai harta di bawah RM 2 juta

Bagi nilaian harta di bawah RM 2 juta, anda perlu memohon Surat Kuasa Mentadbir bergantung kepada jenis harta yang dimiliki.


Bagi memudahkan anda memahami tentang jenis harta yang akan dinilai, berikut merupakan penerangan ringkas mengenai jenis harta ini.


Bagi harta jenis tak alih:

  • Sifatnya tak boleh dialih

  • Contohnya seperti tanah dan rumah


Bagi harta alih:

  • Wajib mohon di Mahkamah

  • Contohnya seperti kereta, saham, akaun bank


Berikut merupakan akta yang terlibat bagi Surat Kuasa Mentadbir dengan nilaian harta di bawah RM 2 juta ini iaitu:



Akta bagi Harta Pusaka Kecil

Sebelum pindaan:

AKTA HARTA PUSAKA KECIL (PEMBAHAGIAN) 1955

SEKSYEN 3(2)

Selepas pindaan:

AKTA HARTA PUSAKA KECIL (PEMBAHAGIAN) (PINDAAN) 2022

SEKSYEN 3(2)

Jenis harta di bawah definisi Harta Pusaka Kecil

  • Harta Tak Alih (Tanah/Rumah) sahaja, atau ;

  • Harta Tak Alih (Tanah/Rumah ) bersama-sama dengan harta alih seperti wang tunai, saham, kenderaan, caruman KWSP/Insuran (tanpa penama), ASN/ASB dan sebagainya

Semua jenis harta (tidak kisah sama ada 100% harta alih)

Jumlah nilaian keseluruhan harta

Tidak melebihi RM2 juta (mulai 1 September 2009) pada tarikh permohonan dibuat

Jumlah nilaian keseluruhan harta itu hendaklah tidak melebihi RM5 juta pada tarikh permohonan dibuat

Tempat memohon Surat Kuasa Mentadbir

Mohon di Unit Pusaka Kecil:

  • Harta tak alih

  • Harta tak alih +harta alih dengan nilaian harta tidak melebihi RM 2 juta

Mohon di mahkamah:

100% harta alih

Unit Pusaka Kecil:

Selepas pindaan, walaupun 100% harta alih, ia masih boleh di mohon di Unit Pusaka Kecil

*Pindaan ini masih belum berkuatkuasa walaupun akta pindaan ini sudah digazetkan



Oleh sebab pindaan ini masih belum dikuatkuasakan, definisi harta pusaka kecil masih kekal iaitu tertakluk kepada 100% harta tak alih atau sebahagian harta alih bersama harta tak alih.


Nilai harta lebih RM 2 juta

Sekiranya nilai harta yang ditinggalkan melebihi RM 2 juta, permohonan Surat Kuasa Mentadbir ini wajib dimohon di Mahkamah Tinggi. Bagi memudahkan urusan dan proses permohonan ini berjalan lancar, anda boleh menggunakan khidmat peguam bagi kedua-dua situasi ini.


Sekiranya nilaian harta pusaka ini melebihi RM 2 juta dan waris cuba membuat permohonan di Unit Pusaka Kecil, permohonan akan tetap dipindahkan oleh Unit Pusaka Kecil ke Mahkamah Tinggi dan waris wajib melantik peguam bagi urusan Surat Kuasa Mentadbir di Mahkamah Tinggi.


Harta mudah alih tidak melebihi RM 600 000

Selain itu, sekiranya si mati itu tidak mempunyai sebarang hartanah, harta mudah alih tidak melebihi RM 600,000.00, permohonan juga boleh dilakukan di Amanah Raya berdasarkan Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.


Langkah 2: Dapatkan bantuan peguam


Sekiranya anda merupakan seorang yang pakar dalam undang-undang, pastinya proses permohonan ini tidak menjadi masalah untuk anda. Namun, bagaimana pula sekiranya ini merupakan kali pertama anda perlu memohon Surat Kuasa Mentadbir ini?


Pada peringkat ini, anda boleh mendapatkan khidmat peguam untuk membantu proses permohonan dokumen Surat Kuasa Mentadbir ini berjalan dengan lancar. Terdapat dua situasi di mana anda boleh mendapatkan khidmat peguam ini iaitu:


Surat Kuasa Mentadbir di Unit Pusaka Kecil

Bagi harta pusaka kecil iaitu kurang daripada RM 2 juta, walaupun anda tidak diwajibkan untuk mendapatkan khidmat peguam, namun khidmat peguam yang cekap akan memudahkan proses anda mendapatkan dokumen yang lengkap.


Bukan itu sahaja, peguam yang dilantik juga boleh memberikan panduan dan nasihat berkaitan undang-undang yang terlibat di setiap peringkat permohonan.


Surat Kuasa Mentadbir di Mahkamah Tinggi

Bagi harta dengan nilai lebih daripada RM 2 juta, anda wajib menggunakan khidmat peguam kerana proses permohonan ini akan melibatkan Mahkamah Tinggi.



Langkah 3: Sediakan dokumen yang lengkap untuk permohonan


Sebelum membuat permohonan, pastikan dokumen yang dikemukakan juga lengkap. Bagi sesetengah kes yang kompleks dan memerlukan dokumen tambahan, khidmat peguam anda sangat diperlukan bagi membantu mendapatkan dokumen yang diperlukan.


Contohnya, bagi permohonan di Mahkamah Tinggi, khidmat peguam diperlukan untuk mengemukakan petisyen dan keterangan yang diperlukan kepada mahkamah.


Sekiranya anda mengemukakan dokumen yang tidak lengkap, permohonan anda boleh ditolak, dan boleh mengakibatkan anda, sebagai pihak waris tidak dapat membuat sebarang tuntutan harta pusaka.



Dokumen yang diperlukan untuk memohon surat kuasa mentadbir


Secara umumnya, berikut merupakan senarai dokumen penting yang diperlukan bagi proses ini iaitu:


Bukti kematian:

  • Sijil kematian si mati

  • Dokumen pengenalan diri (kad pengenalan/ pasport) si mati


Bukti waris:

  • Kad Pengenalan Pemohon & Waris

  • Bagi waris bawah umur 18 tahun, Sijil Kelahiran

  • Sijil Kematian waris yang sudah meninggal dunia

  • Maklumat tentang waris (nama, no kad pengenalan, hubungan)

  • Sebarang dokumen yang membuktikan hubungan antara waris dan si mati (sijil lahir, surat nikah)


Bukti pemilikan harta

  • Senarai aset dan liabiliti si mati

  • Salinan geran tanah / rumah / kenderaan

  • Salinan Penyata Akaun Bank / Sijil Saham / Sijil Insurans

  • Salinan Cukai Tanah bagi tahun semasa (yang telah dibayar)

  • Salinan Cukai Taksiran bagi penggal semasa (yang telah dibayar)


Langkah 4: Hantar permohonan


Sekiranya dokumen yang diperlukan sudah lengkap,permohonan Surat Kuasa Mentadbir ini boleh dikemukakan ke unit berikut mengikut nilaian harta pusaka yang ditinggalkan iaitu:


  • Unit Pembahagian Pusaka Kecil bagi harta pusaka kurang daripada RM 2 juta

  • Mahkamah Tinggi bagi harta pusaka lebih daripada RM 2 juta


Langkah 5 : Hadir perbicaraan di Mahkamah atau Unit Pusaka Kecil


Setelah permohonan dihantar, anda masih perlu menghadiri perbicaraan di mahkamah atau Unit Pusaka Kecil bergantung kepada situasi anda. Berikut merupakan proses yang akan berlaku di peringkat ini:


Unit Pusaka Kecil

Tarikh perbicaraan akan diberikan dalam tempoh 6 bulan ke 1 tahun daripada tarikh permohonan. Bagi Unit Pusaka Kecil yang mempunyai lambakan permohonan pusaka, ia boleh meningkat sehingga ke 2 tahun hanya bagi proses perbicaraan sahaja.


Semasa proses perbicaraan dijalankan, pemohon wajib hadir bersama waris-waris yang berhak. Mana-mana waris yang tidak dapat hadir pada perbicaraan, Pemohon perlu mengemukakan Borang Persetujuan (Borang DDA) yang menyatakan hasrat waris tersebut mengenai cara pentadbiran atau pembahagian harta pusaka simati.


Semasa proses perbicaraan, pegawai pentadbir (yang bertindak sebagai hakim) akan menjalankan siasatan di mana pemohon akan ditanya soalan mengenai latar belakang simati, dan sejarah keluarga si mati dan waris. Oleh itu, pada peringkat ini, sangat penting bagi waris-waris memberikan kerjasama untuk hadir bagi melancarkan proses perbicaraan pusaka. Malah, mana-mana waris yang ingin membantah juga perlu hadir bagi menyatakan bantahan.


Semasa perbicaraan, bergantung kepada budi bicara pegawai pentadbiran pusaka, peguam dibenarkan untuk menyertai perbicaraan pusaka kecil bersama-sama dengan waris. Namun, peguam tidak dibenarkan sama sekali untuk menjawab bagi pihak waris.


Mahkamah

Bagi harta pusaka lebih daripada RM 2 juta, tarikh sebutan akan diberikan oleh pihak mahkamah dan tarikh akan diberikan dalam tempoh 1 ke 3 bulan daripada tarikh permohonan . Semasa tarikh sebutan kes tersebut, pemohon wajib hadir bersama-sama dengan peguam.


Langkah 6: Terima Surat Kuasa Mentadbir


Akhirnya, ini masanya untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir. Berikut merupakan keadaan yang akan berlaku:


Unit Pusaka Kecil

Bagi kes yang mudah dan tidak berlapis, contohnya rumah yang sudah mempunyai geran yang berdaftar atas nama si mati, jika waris-waris dapat mencapai kesepakatan dalam cara pembahagian harta pusaka semasa perbicaraan pusaka tersebut, Pegawai Pentadbir Tanah boleh mengeluarkan Perintah Pembahagian secara terus kepada waris-waris.


Berikut merupakan situasi bagi kes yang lebih kompleks contohnya:

  • waris berlapis atau waris bawah umur

  • geran rumah yang masih atas nama Pemaju

  • pinjaman rumah yang masih belum habis bayar atau dalam kes sudah habis bayar, proses melepaskan gadaian pula belum dibuat dan geran belum boleh dikutip daripada Bank, LPPSA atau pemaju


Bagi kes ini, Pegawai Pentadbir Tanah akan memberikan Surat Kuasa Mentadbir terlebih dahulu. Di dalam Surat Kuasa Mentadbir tersebut, Pegawai Pentadbir Tanah akan menulis satu nota kes yang menyatakan selepas Pentadbir menyempurnakan syarat yang ditetapkan oleh Pegawai Pentadbir Tanah, Pemohon/Pentadbir boleh memohon ulang bicara untuk mendapatkan perintah turun milik (tukar nama/pembahagian) kepada waris.


Sebagai contoh situasi, setelah selesai Pentadbir mendapatkan sijil faraid/geran yang sudah didaftarkan atas nama Pentadbir, Pentadbir/Pemohon perlu memohon ulang bicara bagi proses menukar nama kepada waris pula.


Mahkamah

Sekiranya mahkamah berpuas hati bahawa semua kertas kausa mahkamah adalah teratur, Mahkamah akan mengeluarkan geran surat kuasa mentadbir di mana pentadbir yang dilantik akan mempunyai hak yang sah untuk mentadbir dan mengurus harta pusaka.


Kemudian, pihak Pentadbir boleh memohon perintah seterusnya iaitu Perintah Pembahagian atau Perintah Peletakhakkan di Mahkamah bagi membuat proses tukar nama kepada waris-waris si mati.


PENTING: Hanya 1 fail harta pusaka yang boleh dibuka di seluruh Semenanjung Malaysia bagi 1 orang si mati. Bagi proses ini, tidak akan ada 2 fail harta pusaka bagi 1 orang simati.


Oleh itu, waris dinasihatkan untuk mengumpul semua harta semasa permohonan surat kuasa mentadbir. Sekiranya ada harta yang tertinggal untuk dimasukkan dalam permohonan surat kuasa mentadbir ini, waris perlu membuat suatu permohonan rasmi yang dipanggil “ulang bicara” untuk memasukkan harta yang tertinggal dan akan melibatkan tambahan kos dan masa.


Langkah 7: Membuat tuntutan menggunakan Surat Kuasa Mentadbir


Pada langkah akhir ini, pentadbir yang dilantik boleh menggunakan Surat Kuasa Mentadbir ini bagi menuntut harta pusaka ini.


Bagi Harta Alih:


Contohnya, ASB dan KWSP, Pentadbir boleh membuat penutupan akaun dan mencairkan aset bagi membuat pembahagian kepada waris-waris yang berhak


Bagi Harta Tak Alih:


Contohnya, tanah dah rumah, Pentadbir perlu memfailkan Borang Pendaftaran Wakil di Pejabat Tanah yang berkenaan.Bagi prosedur ini, borang yang perlu digunakan bergantung kepada lokasi Pejabat Tanah yang dimohon.


Bagi memudahkan proses ini, anda boleh melantik peguam bagi menjadikan proses ini lebih mudah. Ini kerana, selagi nama Pentadbir tidak didaftarkan di geran tanah, proses Surat Kuasa Mentadbir belum boleh dianggap selesai.


Contoh surat kuasa mentadbir harta pusaka


Berikut merupakan contoh surat kuasa mentadbir harta pusaka yang akan diterima oleh waris atau Pentadbir:



Contoh surat kuasa mentadbir harta pusaka

Contoh surat kuasa mentadbir harta pusaka

Contoh surat kuasa mentadbir harta pusaka







Tempoh masa yang diperlukan untuk memohon surat kuasa mentadbir


Sebenarnya, tempoh masa yang diperlukan bergantung kepada situasi kes anda. Secara umumnya, berikut merupakan tempoh masa yang biasanya diperlukan:


  • Bagi Unit Pusaka Kecil, keseluruhan proses biasanya memakan masa 2 hingga 3 tahun

  • Bagi Mahkamah, keseluruhan proses akan memakan masa 6 hingga 9 bulan


Disebabkan banyak faktor lain yang perlu diambil kira, khidmat peguam pastinya akan mempercepatkan masa dan proses. Bukan itu sahaja, peguam juga dapat membantu anda sekiranya berlaku masalah yang perlu diselesaikan dengan undang-undang.



Kos mendapatkan surat kuasa mentadbir


Bagi mendapatkan anggaran kos sebenar, ia sebenarnya bergantung kepada situasi dan keadaan kes anda. Secara umumnya, berikut merupakan anggaran kos peguam yang akan terlibat:


Kos peguam bagi permohonan Surat Kuasa Mentadbir di Unit Pusaka Kecil


Sekiranya anda mendapatkan perkhidmatan peguam, kos yang terlibat adalah dalam lingkungan RM2 ribu ke RM5 ribu bagi setiap permohonan bergantung kepada latar belakang setiap kes.


Berikut merupakan bayaran yang terlibat:


Bayaran Pendaftaran:

  • Percuma bagi permohonan baru (Borang A - Seksyen 8 Akta )

  • Percuma bagi Permohonan Berikutnya ( Borang P - Seksyen 17 Akta ).


Bayaran Selepas pembicaraan:


Bayaran perintah berdasarkan nilaian terkini harta si mati ( seperti senarai harta si mati di Borang Permohonan-Borang A Seksyen 8 Akta). Jika nilaian keseluruhan harta si mati:


  • RM1.00 hingga RM1,000.00 bayaran perintah adalah RM10.00,

  • RM1,001 hingga RM50,000 bayaran perintah adalah RM30.00,

  • RM50,001 dan ke atas bayaran perintah adalah 0.2% dari nilaian harta si mati.


RM30 bagi bayaran perintah permohonan berikutnya ( Seksyen 17 )


  • Contohnya, permohonan membatalkan Pemegang Amanah, Kaveat Pendaftar ataupun membatalkan Pentadbir. Jika melibatkan ketinggalan harta, bayaran perintah hendaklah mengikut nilaian harta terkini yang diselesaikan di bawah Seksyen 17 Akta ( Permohonan Berikutnya ) sahaja


Jumlah bayaran bagi mendaftarkan perintah pembahagian dalam hakmilik tanah (geran) adalah mengikut peraturan-peraturan tanah negeri; (bergantung kepada negeri)


Duti Harta Pusaka - (jika ada) akan ditentukan di akhir pembicaraan mengikut nilai harta pada tarikh mati. Jumlah yang dikenakan tertakluk kepada peruntukan di bawah Enakmen Duti Harta Pusaka 1941.


Nota: Pada 1 November 1991, Enakmen Duti Harta Pusaka 1941 dan beberapa Enakmen lain berhubung dengan Duti Harta Pusaka telah dimansuhkan. Namun begitu, enakmen-enakmen tersebut masih digunapakai bagi kes kematian sebelum 1 November 1991



Percuma bagi salinan pertama dan bayaran RM 5.00 dikenakan bagi salinan kedua dan seterusnya.


Salinan perintah pembahagian

Salinan yang diperlukan oleh mana-mana orang selain daripada pentadbir atau waris dikehendaki membayar RM 30.00 bagi salinan pertama dan RM 10.00 bagi salinan kedua dan seterusnya.


Jika ada rayuan ke Mahkamah Tinggi bayaran yang akan dikenakan adalah seperti berikut:


a) RM 50.00 bagi bayaran fee rayuan;

b) RM 1500.00 bagi bayaran deposit rayuan;

c) Bayaran menyediakan salinan dokumen yang dikehendaki bagi salinan pertama adalah RM30. Bagi salinan kedua dan seterusnya adalah RM10;


Bayaran untuk mendapatkan salinan pertama Nota Pembicaraan RM30.00. Bagi setiap Folio 100 patah perkataan atau sebahagian daripadanya dan RM 10.00 bagi salinan keduaatau seterusnya setiap 100 patah perkataan atau sebahagian daripadanya.







Kos peguam bagi permohonan Surat Kuasa Mentadbir di Mahkamah

Kos yang terlibat akan bermula RM 4 ribu bagi setiap permohonan Surat Kuasa Mentadbir bergantung kepada latar belakang kes.



Bagi permohonan Surat Kuasa Mentadbir di Mahkamah, berikut merupakan jenis kos yang akan terlibat:


Yuran pemfailan mahkamah
  • Dibayar bagi proses membuat permohonan dan jenis-jenis dokumen bagi setiap peringkat proses permohonan.




Yuran peguam
  • Sekiranya mendapatkan khidmat peguam, yuran yang perlu dibayar bergantung kepada amalan atau polisi setiap firma guaman (ada yang mengenakan caj tetap, dikira berdasarkan jam, atau peratus daripada nilaian harta dan lain-lain

  • Kos perjalanan dan pengangkutan

  • Kos cetakan dan fotokopi, telefon, kurier, pengeposan juga bergantung kepada polisi setiap firma guaman.


Kos lain-lain
  • Kos tambahan lain yang diperlukan seperti kos pendaftaran di pejabat tanah, kos carian hartanah, kos cabutan sijil mati (jika perlu), kos akuan sumpah dan lain-lain.



Siapa yang boleh membantu waris dan pentadbir dalam proses pembahagian harta pusaka ini?


Bagi proses pembahagian harta pusaka, terdapat dua pihak yang boleh membantu pihak waris dan pentadbir iaitu:


  1. Peguam

  2. Amanah Raya Berhad


Sekiranya anda masih ragu pihak mana yang anda ingin pilih bagi membantu proses pembahagian harta pusaka ini, kami kongsikan dengan lebih lanjut perbandingan kos dan skop kerja yang terlibat:



Perbandingan kos dan skop kerja antara Amanah Raya Berhad dan Peguam ASCOLAW


Peguam ASCOLAW

(Unit Pusaka Kecil)

Peguam ASCOLAW

(Mahkamah Tinggi)

Amanah Raya Berhad

Perkhidmatan mendapatkan Sijil Faraid dari Mahkamah Syariah (bagi kematian berlapis)

Ya


Fi khidmat bagi Sijil Faraid akan dikenakan mengikut latar belakang kes.

Ya


Fi khidmat bagi Sijil Faraid akan dikenakan mengikut latar belakang kes

Tidak

​Perkhidmatan mendapatkan/ mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir

Ya, bagi Unit Pembahagian Pusaka Kecil

Ya. Bagi mahkamah tinggi

Ya bagi harta pusaka bernilai RM600,000 dan ke bawah sahaja

Tempoh proses

Bergantung kepada tarikh bicara yang ditetapkan oleh UPK.


Minimum 1 tahun hingga 3 tahun daripada tarikh permohonan dimasukkan.

  • 3 bulan hingga 6 bulan bagi harta alih dari tarikh dokumen lengkap

  • 6 bulan hingga 12 bulan bagi harta tak alih dari tarikh dokumen lengkap

  • 4 bulan hingga 6 bulan bagi harta alih dari tarikh dokumen lengkap

  • 12 bulan bagi harta tak alih dari tarikh dokumen lengkap

Khidmat Pentadbiran dan agihan pusaka

Kesemua harta pusaka di dalam negara yang boleh ditadbir di bawah bidang kuasa Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955

Kesemua harta pusaka di dalam negara yang boleh ditadbir di bawah bidang kuasa Mahkamah di Malaysia.

Kesemua harta dalam pusaka akan diagihkan

​Fi khidmat


(Bermaksud yuran profesional semata-mata dan tidak termasuk kos dan perbelanjaan fail, kos pemfailan mahkamah, carian, akuan sumpah, cukai SST, duti setem (jika ada) dan lain-lain)

​Bagi setiap Permohonan:


  • Permohonan - RM1,500.00

  • Menyediakan Borang Persetujuan (Borang DDA), jika perlu - RM100/waris

  • Pengindorsan Perintah - RM500/hartanah


Kos Permohonan (No. 1) di atas bagi kes melibatkan:

  • 1 hartanah;

  • 2 harta alih

  • Waris tidak melebihi 5 orang


Base Rate: RM1,500.00

  1. Bagi Hartanah ke-2 dan seterusnya, fi tambahan berikut akan dikenakan: RM150.00/hartanah

  2. Bagi Harta Alih ke-3 dan seterusnya, fi tambahan berikut akan dikenakan: RM100.00/harta alih

  3. Bagi waris ke-6 dan seterusnya, fi tambahan berikut akan dikenakan: RM50.00/waris


​Bagi mendapatkan;

Perintah Surat Kuasa Tadbir & Perintah Pengecualian Bon – *RM6,000.00

*Kes melibatkan:

  • 1 hartanah,

  • 2 harta alih; dan

  • waris tidak melebihi 5 orang.

  1. Base Rate: RM6,000.00 1. Bagi Hartanah ke-2 dan seterusnya, fi tambahan berikut akan dikenakan: RM300.00/hartanah 2. Bagi Harta Alih ke-3 dan seterusnya, fi tambahan berikut akan dikenakan: RM150.00/harta alih 3. Bagi waris ke-6 dan seterusnya, fi tambahan berikut akan dikenakan: RM100.00/waris

Pengindorsan SKM di Pejabat Tanah - RM500.00/hartanah


Bergantung kepada nilai harta pusaka


Bagi RM25,000.00 pertama - 5%


Bagi baki seterusnya sehingga RM225,000.00 - 4%


Bagi baki seterusnya sehingga RM250,000.00 - 3%


Bagi baki seterusnya sehingga RM500,000.00 - 2%


Bagi baki seterusnya - 1%


Contoh pengiraan Fi Khidmat


(Bermaksud yuran profesional semata-mata dan tidak termasuk kos dan perbelanjaan fail, kos pemfailan mahkamah, carian, akuan sumpah, cukai SST, duti setem (jika ada) dll)

Harta Pusaka Kecil (1 hartanah; 2 harta alih; waris tidak melebihi 5 orang):


Peguam ASCOLAW akan mengenakan fi khidmat sebanyak RM1,800.00.


Harta Pusaka Kecil (2 hartanah; 4 harta alih; waris 10 orang):


Peguam ASCOLAW akan mengenakan fi khidmat sebanyak RM3,100.00 iaitu:

  • Permohonan - RM1,500.00

  • Fi Tambahan:

    • 1 hartanah: RM150.00

    • 2 harta alih: RM200.00

    • 5 waris tambahan: RM250.00

  • Pengindorsan Perintah (2 hartanah) - RM1000.00.

Harta Pusaka bernilai RM1,000,000.00 (1 hartanah; 2 harta alih; waris tidak melebihi 5 orang):


Peguam ASCOLAW akan mengenakan fi khidmat sebanyak RM6,500.00


Harta Pusaka bernilai RM2,000,000.00 (1 hartanah; 2 harta alih; waris tidak melebihi 5 orang):


Peguam ASCOLAW akan mengenakan fi khidmat sebanyak RM6,500.00


Harta Pusaka

(2 hartanah; 4 harta alih; waris 10 orang):


Peguam ASCOLAW akan mengenakan fi khidmat sebanyak RM8,100.00 iaitu:

  • Permohonan - RM6,000.00

  • Fi Tambahan:

    • 1 hartanah: RM300.00

    • 2 harta alih: RM300.00

    • 5 waris tambahan: RM500.00

  • Pengindorsan Perintah (2 hartanah) - RM1000.00.

Harta Pusaka bernilai RM1,000,000.00:


Amanah Raya Berhad akan mengenakan fi khidmat sebanyak RM27,750.00


Harta Pusaka bernilai RM2,000,000.00



Amanah Raya Berhad akan mengenakan fi khidmat sebanyak RM37,750.00






Walau ramai yang beranggapan kos peguam mahal, ia sebenarnya tidak seperti yang disangkakan.


Bayaran fi perkhidmatan yang dikenakan masih lagi munasabah. Walaupun anda tidak menggunakan khidmat peguam sekalipun, masih ada kos yang dikenakan sekiranya menggunakan khidmat pihak yang lain.


Nota: Pengiraan kos fi pembahagian tadbir harta pusaka di atas dibuat dengan anggapan bahawa harta pusaka tidak terkait dengan proses pembahagian harta pusaka yang berlapis.


Untuk mendapatkan kos yang lebih tepat berkaitan fi pembahagian dan pentadbiran harta pusaka, hubungi peguam kami.


Sekiranya anda memerlukan khidmat peguam, kami kongsikan kepada anda senarai peguam yang boleh dihubungi mengikut negeri yang anda boleh hubungi.


Senarai Peguam Surat Kuasa Mentadbir Selangor & Kuala Lumpur


Senarai Peguam Surat Kuasa Mentadbir Johor



Mengapa anda memerlukan khidmat peguam?


  1. Bagi pusaka kecil, anda boleh menggunakan khidmat peguam untuk memohon di Unit Pusaka Kecil kerana peguam berpengalaman akan menyediakan borang-borang permohonan dan dokumen sampingan yang diperlukan. Oleh itu, proses akan menjadi lebih cepat.

  2. Sekiranya berlaku pertikaian antara waris, perbicaraan perlu dijalankan dan peguam perlu dilantik.

  3. Proses permohonan boleh menjadi rumit sekiranya ada masalah dari sudut undang-undang, peguam yang cekap akan membantu menyelesaikan masalah serta menjimatkan masa dan tenaga anda.

  4. Proses menyediakan dokumen yang lengkap bukan perkara mudah. Oleh itu, peguam yang berpengalaman akan membantu anda menyediakan dokumen yang diperlukan oleh mahkamah

  5. Sekiranya berlaku sebarang pindaan atau perubahan daripada aspek undang-undang, peguam yang dilantik akan memastikan permohonan yang dibuat sentiasa dikemaskini mengikut perubahan semasa




Dengan pelbagai langkah dan proses memohon Surat Kuasa Mentadbir yang perlu dilakukan, pastinya ini bukan perkara yang mudah terutamanya anda yang mempunyai komitmen kerja dan juga keluarga.


Bukan setakat komitmen kerja, anda juga perlu mencurahkan tenaga dan masa untuk menyelesaikan urusan. Keadaan akan menjadi lebih rumit sekiranya ada pertikaian daripada saudara mara.Namun, bagi kami di pihak ASCOLAW, kami sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik walau sesukar manapun situasi yang anda hadapi.


Dengan adanya khidmat peguam, beban menguruskan harta pusaka ini sekurang-kurangnya dapat diringankan dan dihadapi bersama-sama.


Perlukan bantuan? Jangan lupa untuk hubungi kami hari ini juga!




Anda Perlu Pertanyaan Lanjut atau Khidmat Peguam?

NOTIS

Kandungan penulisan ini, ketika tarikh ia diterbitkan adalah hanya sebagai rujukan umum. Ia tidak sama sekali bagi tujuan nasihat perundangan. Dapatkan nasihat guaman mengenai situasi anda secara khusus sebelum mengambil sebarang tindakan.

bottom of page