top of page
ASCO LAW

Perlu Khidmat Peguam?

Writer's pictureNur Din

Surat Kuasa Mentadbir: Hak, Liabiliti dan Tanggungjawab

Updated: 28 Jun


Kandungan

Surat Kuasa Mentadbir?

Apakah Hak, Liabliti Dan Tanggungjawab Pemegang Surat Kuasa Mentadbir?

Hak

Liabiliti

Tanggungjawab

Mengapa Perlu Patuhi Hak, Liabiliti dan Tanggungjawab?

Bagaimana Pemegang Surat Kuasa Mentadbir Patut Laksanakan?



Surat Kuasa Mentadbir (Letter of Administration) adalah dokumen yang sah laku di sisi undang-undang. Ia memberi kuasa kepada seseorang untuk mentadbir harta pusaka si mati.


Fokus tulisan ini ialah untuk memperincikan apakah hak, liabiliti dan tanggungjawab pemegang Surat Kuasa Mentadbir.


Bagaimanapun, sementara memperincikan hal-hal berkenaan seterusnya, mari kita fahami lebih mendalam mengenai Surat Kuasa Mentadbir itu sendiri.



SURAT KUASA… Seseorang daripada kalangan waris sepatutnya dilantik sebagai pemegang Surat Kuasa Mentadbir harta pusaka si mati. (Imej janaan AI)

Surat Kuasa Mentadbir?

Seperti disebutkan di atas, Surat Kuasa Mentadbir harta pusaka ini menepati keperluan undang-undang bagi membolehkan pentadbiran harta pusaka si mati dibuat secara teratur serta sah di sisi undang-undang. 


Surat ini perlu apabila seseorang meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang wasiat. Ia memberikan kuasa sah kepada seseorang yang layak, biasanya waris terdekat, untuk mentadbir harta berkenaan.


Tanpa Surat Kuasa Mentadbir, tiada sesiapa mempunyai kuasa sah untuk mengurus harta pusaka terbabit. 


Secara mudah faham, surat ini membolehkan harta pusaka diuruskan secara tersusun bagi mengelak pertikaian dan perebutan pusaka sesama waris, juga kemungkinan penyelewengan harta peninggalan si mati.


Untuk kali ini, kita tidak akan memperincikan pihak-pihak yang berkuasa mengeluarkan Surat Kuasa Tadbir seperti Mahkamah Tinggi dan Amanah Raya Berhad


Kita juga tidak akan memperincikan beberapa fakta lain bersabit Surat Kuasa Mentadbir harta pusaka seperti undang-undang serta akta berkaitan, cara permohonan surat kuasa mentadbir dan sebagainya.


Anda dapat baca mengenai hal-hal berkenaan di sini.


Sebaliknya, untuk artikel ini, kita akan lebih fokus kepada hak, liabliti dan tanggungjawab pemegang Surat Kuasa Mentadbir. 


Apakah Hak, Liabliti Dan Tanggungjawab Pemegang Surat Kuasa Mentadbir?

Mari kita perincikan satu persatu mengenai hak, liabiliti dan tanggungjawab pemegang Surat Kuasa Mentadbir.


Hak

Hak pemegang Surat Kuasa Mentadbir termasuklah menguruskan harta pusaka, menjual aset, membayar hutang dan mengagihkan baki harta mengikut undang-undang kepada waris si mati. 


Liabiliti 

Antara liabiliti pemegang Surat Kuasa Mentadbir harta pusaka termasuklah mematuhi semua keperluan undang-undang, menjaga kepentingan setiap waris secara adil dan tidak menyalahgunakan kuasa berkenaan untuk kepentingan sendiri. 


Perlu diingat, lazimnya pentadbir harta pusaka perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian pada mana-mana bahagian harta pusaka yang disebabkan oleh kecuaiannya, jika berlaku.



PENJELASAN… Pemegang Surat Kuasa Mentadbir sepatutnya menerangkan sejelas-jelasnya mengenai harta peninggalan si mati. (Imej janaan AI).

Tanggungjawab

Antara tanggungjawab utama pemegang Surat Kuasa Mentadbir ialah mentadbir harta si mati secara telus dan jujur demi kepentingan semua waris.


Pentadbir bertanggungjawab menyenaraikan semua aset dan liabiliti bersabit harta si mati, membayar apa juga cukai berkaitan dan mengagihkan baki harta terbabit kepada waris yang sah mengikut ketetapan undang-undang.


Kegagalan menunaikan tanggungjawab ini boleh menjuruskan pemegang Surat Kuasa Mentadbir kepada tindakan undang-undang.


Perlu diingatkan juga bahawa, pentadbir harta pusaka mesti melunaskan apa juga liabiliti bersabit harta si mati, termasuklah hutang atau apa juga komitmen kewangan bersabit harta si mati.


Setelah semua pembayaran berkenaan dilunaskan dan ketika itu masih berbaki harta si mati, barulah si pentadbir boleh membahagi-bahagikan harta berkenaan kepada waris si mati.


Bacaan tambahan mengenai Surat Kuasa Mentadbir harta pusaka dapat dilihat di sini.


Surat Kuasa Mentadbir: Mengapa Perlu Patuhi Hak, Liabiliti dan Tanggungjawab?

Pemegang Surat Kuasa Mentadbir perlu mematuhi hak, liabiliti dan tanggungjawab yang ditetapkan kerana beberapa sebab penting dan utama.


Pertama, ini adalah keperluan undang-undang bagi memastikan pentadbiran harta pusaka diuruskan secara telus dan adil. 


Kegagalan mematuhi keperluan ini boleh mengundang tindakan undang-undang seperti denda atau penjara. 


Kedua, mematuhi hak, liabiliti dan tanggungjawab adalah melindungi kepentingan waris si mati .


Ini supaya waris menerima bahagian harta pusaka secara betul dan adil. Pematuhan ini juga mengelak salah laku seperti penggelapan atau penyelewengan harta oleh pemegang Surat Kuasa Mentadbir.


Ketiga, pematuhan ini menjamin amanah dan integriti oleh pemegang Surat Kuasa Mentadbir. 


Pemegang amanah ini diberi kuasa penuh mentadbir harta; justeru mereka perlu mengamalkan akauntabiliti dan ketelusan dalam menguruskan harta si mati. 


Sebarang ketidakpatuhan atau penyelewengan bukan sahaja mencemarkan reputasi dan kredibiliti mereka sendiri, malah berdepan tindakan undang-undang.


Keempat, mematuhi peraturan juga penting bagi mengelakkan pemegang Surat Kuasa Mentadbir menanggung kerugian akibat kecuaian atau salah laku.


Daripada itu dapatlah difahami bahawa pematuhan terhadap hak, liabiliti dan tanggungjawab pemegang Surat Kuasa Mentadbir harta pusaka ini amat penting dan kritikal.


Ini bagi memastikan pentadbiran harta pusaka dilaksanakan secara betul dan sah di sisi undang-undang serta demi menjaga kepentingan semua pihak terbabit, terutama pewaris harta.


Bagaimana Pemegang Surat Kuasa Mentadbir Patut Laksanakan?

Untuk mematuhi hak, liabiliti dan tanggungjawab, pemegang Surat Kuasa Mentadbir perlu mengambil beberapa langkah penting. 


Pertama, pentadbir harta pusaka mesti fahami sepenuhnya skop kuasa dan had bidang kuasa di bawah Surat Kuasa Mentadbir itu. Pastikan pentadbir mematuhi semua syarat dan keperluan undang-undang.


Kedua, senaraikan semua aset dan liabiliti si mati secara teliti, lengkap dan sempurna. Lakukan penilaian harta secara profesional,


Paling penting untuk pentadbir atau pihak yang dilantik mewujudkan rekod tersusun bagi semua butiran harta secara jelas.


Semua rekod harta berkenaan mungkin perlu disemak atau diaudit semula, kemudian.  



TELITI… Seorang pemegang Surat Kuasa Mentadbir mesti meneliti semua dokumen berkaitan harta peninggalan si mati. (Imej janaan AI).


Ketiga, segera langsaikan hutang dan cukai si mati. Elakkan kelewatan atau tunggakan. Ini boleh mendatangkan penalti. Kesannya kerugian kepada si waris.


Keempat, pentadbir perlu asingkan akaun peribadi daripada akaun pentadbiran harta pusaka. Ini antara perkara paling penting. Jangan sesekali campuradukkan kedua-dua akaun berkenaan. 


Rekodkan semua transaksi bersabit harta si mati secara teliti dan pastikan tiada campur-baur dana peribadi dan harta pusaka, berlaku. 


Kelima, maklumkan secara berkala kepada semua waris mengenai status terkini setiap langkah dan urusan pentadbiran harta si mati. 


Kongsikan dengan waris semua butiran aset atau liabiliti serta agihan harta secara telus.


Keenam, dapatkan nasihat profesional daripada peguam atau akauntan jika ragu-ragu berhubung prosedur atau sebarang isu perundangan. 


Elakkan membuat keputusan penting secara bersendirian atau mendapatkan nasihat daripada mereka yang tiada pengetahuan dan pengalaman dalam bidang ini.  


Untuk khidmat guaman berpengalaman dalam bidang pentadbiran harta pusaka, anda boleh hubungi ASCOLAW di sini.


Ketujuh, lengkapkan semua dokumentasi secara sempurna sebelum mengagihkan baki harta kepada semua waris. Simpan semua rekod untuk rujukan masa depan.


Jika semua langkah di atas dibuat secara cermat dan tersusun, pemegang Surat Kuasa Mentadbir dapat menjamin pematuhan sepenuhnya terhadap hak, liabiliti dan tanggungjawab sebagaimana ditetapkan undang-undang.



Comentários


Anda Perlu Pertanyaan Lanjut atau Khidmat Peguam?

NOTIS

Kandungan penulisan ini, ketika tarikh ia diterbitkan adalah hanya sebagai rujukan umum. Ia tidak sama sekali bagi tujuan nasihat perundangan. Dapatkan nasihat guaman mengenai situasi anda secara khusus sebelum mengambil sebarang tindakan.

bottom of page