Refinance rumah atau pembiayaan semula adalah langkah kewangan yang semakin popular di kalangan pemilik rumah.
Ia membabitkan penggantian pinjaman perumahan sedia ada dengan pinjaman baru; biasanya untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah atau tempoh pembayaran yang lebih panjang.
Kini, dengan kemajuan teknologi, proses refinance rumah menjadi lebih mudah kerana anda boleh memohon secara online tanpa perlu berurusan secara bersemuka dengan pihak bank atau institusi kewangan.
Artikel ini akan menjelaskan bagaimana anda boleh memohon refinance rumah secara online. Turut akan dipaparkan ialah beberapa tips dan langkah penting yang perlu anda ketahui sebelum memulakan proses ini.
Kelebihan Refinance Secara Online
Sebelum itu, mari kita soroti sedikit sebanyak kelebihan refinance secara online. Berikut sebahagian daripada kelebihannya.
1. Kemudahan Akses: Dengan proses permohonan online, anda tidak perlu lagi meluangkan masa untuk beratur di cawangan bank atau institusi kewangan. Anda boleh memohon refinance dari keselesaan rumah anda pada bila-bila masa yang sesuai.
2. Perbandingan Mudah: Terdapat banyak platform kewangan yang membolehkan anda membandingkan pakej refinance dari pelbagai bank. Anda boleh melihat kadar faedah, tempoh pembayaran serta terma-terma lain secara cepat dan mudah sebelum membuat pilihan terbaik.
3. Proses Lebih Cepat: Permohonan secara online biasanya lebih cepat diproses kerana kebanyakan sistem telah dioptimumkan secara automasi. Ini bermakna dokumen yang anda hantar akan diproses secara digital. Ini mengurangkan masa menunggu.
4. Kurang Dokumentasi Fizikal: Banyak institusi kewangan kini membenarkan pelanggan mengemukakan dokumen secara digital. Anda boleh memuat naik dokumen seperti slip gaji, penyata bank dan salinan dokumen rumah terus ke portal mereka.
Langkah Memohon Refinance Rumah Secara Online
Berikut adalah langkah mudah membuat permohonan refinance rumah secara online.
1. Penilaian Kewangan Sendiri
Sebelum memulakan permohonan, lakukan penilaian kewangan sendiri. Tanyakan kepada diri anda beberapa soalan penting berikut:
Adakah kadar faedah semasa lebih rendah berbanding kadar faedah pinjaman sedia ada?
Adakah anda ingin melanjutkan tempoh pembayaran atau mengurangkan bayaran bulanan?
Adakah anda mampu menampung kos tambahan seperti yuran guaman dan penilaian hartanah?
Menilai kedudukan kewangan anda sebelum memohon refinance sangat penting untuk memastikan anda membuat keputusan yang bijak.
2. Cari Platform Online yang Menyediakan Refinance
Langkah kedua ialah mencari platform atau bank yang menyediakan perkhidmatan refinance secara online.
Anda dapat melayari laman web bank-bank tempatan atau menggunakan platform perbandingan pakej kewangan seperti iMoney, RinggitPlus atau Loanstreet untuk melihat pakej-pakej yang ditawarkan.
Setelah memilih pakej yang sesuai, klik pada pautan yang disediakan untuk memulakan permohonan.
3. Isi Borang Permohonan Secara Online
Setelah memilih pakej yang sesuai, anda perlu mengisi borang permohonan online. Borang ini biasanya memerlukan maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan, pendapatan bulanan dan maklumat mengenai rumah yang anda miliki.
Pastikan semua maklumat diisi secara tepat untuk mengelakkan sebarang masalah dalam proses permohonan.
4. Sediakan dan Muat Naik Dokumen Sokongan
Seterusnya, anda perlu menyediakan dokumen sokongan yang diperlukan.
Antara dokumen yang biasanya diminta, termasuklah:
- Salinan kad pengenalan
- Slip gaji terkini (3 bulan hingga 6 bulan)
- Penyata bank (3 bulan hingga 6 bulan)
- Salinan geran atau dokumen hakmilik rumah
- Penyata baki pinjaman semasa daripada bank sedia ada
Muat naik dokumen-dokumen ini ke platform permohonan online yang disediakan.
5. Tunggu Proses Kelulusan
Setelah borang permohonan dan dokumen sokongan dihantar, anda hanya perlu menunggu proses kelulusan.
Pihak bank akan menilai permohonan anda berdasarkan dokumen yang disediakan. Jika semua berjalan lancar, anda akan menerima maklum balas daripada pihak bank dalam masa beberapa hari hingga beberapa minggu.
Sesetengah bank juga menyediakan kemudahan untuk anda memantau status permohonan secara online. Jadi, pastikan anda kerap memeriksa kemaskini dari pihak bank.
6. Tandatangan Perjanjian Pinjaman Baru
Jika permohonan anda diluluskan, langkah seterusnya ialah menandatangani perjanjian pinjaman baru.
Sesetengah bank menawarkan perkhidmatan tandatangan digital, manakala ada yang memerlukan anda hadir ke cawangan untuk tandatangan secara fizikal.
Tip Penting Sebelum Memohon Refinance Online
Semak Kos Tambahan: Walaupun anda boleh mendapat kadar faedah yang lebih rendah menerusi refinance, pastikan anda mengambil kira kos tambahan seperti yuran guaman, yuran penilaian dan kos pemprosesan.
Periksa Kelayakan: Pastikan anda memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan bank sebelum memohon. Contohnya, ada bank yang memerlukan skor kredit tertentu untuk layak mendapatkan refinance.
Jangan Terburu-buru: Luangkan masa untuk membandingkan pelbagai pakej refinance sebelum membuat keputusan.
Perlu difahami bahawa proses refinance rumah secara online adalah satu langkah yang memudahkan pemilik rumah untuk menyesuaikan pinjaman mereka dengan kadar faedah dan terma yang lebih baik.
Dengan memahami proses dan membuat perbandingan pakej secara teliti, anda boleh memastikan refinance ini memberi manfaat jangka panjang kepada kewangan anda.
Comments