Bila anda memerlukan Peguam LPPSA?
Terdapat beberapa keadaan yang memerlukan anda melantik Panel Peguam LPPSA berdasarkan kepada Pekeliling Pembiayaan Perumahan LPPSA Bil 1/2018 dan Garis Panduan Pembiayaan Perumahan LPPSA Bil 2/2018 yang dikeluarkan LPPSA. Antaranya;
Sebagai pemegang taruh bagi transaksi perjanjian antara anda dan LPPSA
Peguam perlu melaksanakan tugas sebagai pemegang taruh. Ini bermaksud panel peguam LPPSA akan menjadi institusi yang akan memegang aset atau dokumen penting sehinggalah sesuatu terma perjanjian antara LPPSA dan pelanggan LPPSA tercapai. Dalam soal menjalankan tugas pemegang taruh berkaitan wang, Panel Peguam LPPSA akan menyimpan wang tersebut dalam sebuah ‘Client Account’ yang diselia mengikut mengikut Akta Profession Undang-undang dan Peraturan Akaun Peguam.
Menguruskan cagaran hartanah
Perjanjian pembiayaan memerlukan harta aset dicagarkan kepada Lembaga LPPSA. Bagi tujuan ini ia memerlukan peguam LPPSA yang bertauliah untuk menyediakan dokumen berkaitan serta berurusan dengan pihak kerajaan sama ada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) di negeri dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ini termasuklah menyemak jika tanah mempunyai geran, geran tersebut di atas nama pemimjam dan kemudiaannya tanah tersebut digadaikan kepada LPPSA. Ini dilakukan melalui borang gadaian yang didaftarkan oleh panel peguam LPPSA di PTG.
Jika tanah tidak mempunyai geran maka penyerahan hak ataupun ‘assignment of rights’ tanah diberikan kepada LPPSA melalui sebuah surat Kuasa yang didaftarkan di Mahkamah.
Pelanggan yang ingin menebus hutang dan gadaian menggunakan Pinjaman LPPSA
Jika pelanggan menggunakan pembiayaan LPPSA bagi tujuan penebusan atau pembayaran balik hutang, maka peguam berdaftar diperlukan untuk memasukkan kaveat di atas nama pihak Lembaga LLPSA. Seterusnya wang akan disalurkan oleh LPPSA kepada Client Account atau HDA Account atau institusi kewangan atau vendor yang memegang gadaian hartanah tersebut.
Jika Pelanggan ingin menjual, memindah milik atau mencagar hartanah yang digunakan sebagai cagaran kepada pembiayaan LPPSA.
Sebarang permohonan untuk menjual, memindah milik atau mencagar tanah yang telah digunakan untuk cagaran pembiayaan LPPSA perlu mendapatkan kebenaran pihak lembaga. Pihak lembaga akan mengeluarkan penyata tebus hutang untuk memaklumkan berapa nilai yang pelanggan berhutang dengan LPPSA. Bagi perkara ini, permohonan hanya dibenarkan melalui peguam.
Mengoperasikan sistem pembiayaan pinjaman ‘Loan Management System’ untuk pengurusan pembiayaan anda
Oleh kerana urusan dokumentasi perundangan pembiayaan LPPSA adalah melalui talian dan platform cloud yang diguna pakai LPPSA, maka pelanggan memerlukan panel peguam LPPSA untuk membuat transaksi, kemaskini dan penyertaan maklumat di dalam Sistem Pembiayaan Pinjaman “Loan Management System’ (LMS). Pelanggan tidak dapat mengakses platform ini dan hanya peguam saja dibenarkan mengakses sistem LMS ini.
Urusan bersama kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan
Peguam diperlukan bagi urusan berkaitan kerajaan negeri terutama dalam soal pejabat tanah dan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Siapa Sebenarnya Peguam Bertauliah?
Pentauliahan Peguam Di Malaysia
Secara amnya, seseorang akan dianggap sebagai peguam yang bertauliah dan boleh menjalankan khidmat sebagai peguam bela dan peguam cara apabila beliau mempunyai sijil amalan tahun semasa (sebagai contoh jika tahun ini adalah tahun 2019, maka sijil amalannya perlulah bagi tahun 2019) dan namanya di dalam Daftarai iaitu sebuah senarai yang disimpan oleh Pendaftar Mahkamah dan ditandatangi oleh Ketua Hakim Negara atau Hakim yang menerima masuk individu tersebut sebagai seorang peguam.
Untuk memudahkan anda menyemak jika seseorang itu merupakan peguam atau firma guaman itu adalah sah dan bertauliah, anda boleh menyemak di Senarai Peguam Bertauliah Badan Peguam Malaysia.
Permohonan sebagai Panel Peguam LPPSA
Semua firma guaman berpeluang untuk menjadi Panel Peguam LPPSA dengan syarat ia perlu terlebih dahulu membuat permohonan disenarai sebagai Peguam LPPSA di laman LPPSA. Maklumat yang perlu disediakan bagi tujuan ini adalah nama firman guaman, alamat firma guaman dan maklumat lain yang membolehkan pihak LPPSA boleh menghubungi pihak peguam.
Walaupun tidak dinyatakan di laman sesawang, seseorang individu hanya boleh menjalankan tugas sebagai peguam jika dia mengikut spesifikasi spesifik Seksyen 36 dan seksyen-seksyen lain di bawah Akta Profession Undang-undang 1976.
Bahaya individu tidak bertauliah
Jika seseorang individu tidak disenaraikan di dalam senarai di atas dan juga tidak mempunyai Sijil Amalan yang terkini, anda dinasihat untuk tidak mengambil perkhidmatan guaman kerana ia merupakan sebuah kesalahan di bawah Akta Profession Undang-undang 1976 dan anda mempunyai risiko ditipu dan kerugian akibat tindakan tersebut.
Lantikan Panel Peguam LPPSA
Kuasa Lembaga LPPSA melantik Peguam LPPSA
Secara am Panel Peguam LPPSA adalah senarai peguam bertauliah yang bertanggungjawab untuk membantu pegawai sektor awam yang membuat permohonan pinjaman atau pinjaman dari LPPSA. Mereka menerima latihan, pentauliahan dan memahami proses aturan LPPSA yang membolehkan mereka memahami dan melaksanakan transaksi LPPSA.
Barisan peguam yang didaftar ini dilantik oleh LPPSA berdasarkan kuasa yang diberikan di bawah Akta Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2015. Akta ini dalam Seksyen 7 menjelaskan seperti berikut;
“...Lembaga hendaklah mempunyai kuasa untuk melakukan segala perkara yang perlu atau suai manfaat untuk atau yang berkaitan dengan perlaksanaan fungsinya...
...kuasa Lembaga termasuklah kuasa -
...(e) untuk melantik ejen, penasihat termasuklah pakar, peguam bela dan peguam cara...”
Peguam LPPSA perlu melanggan Loan Management System LMS
Melalui notis makluman bertarikh 4 April 2019 yang dikeluarkan LPPSA, pihak lembaga telah memaklumkan bahawa hanya peguam yang melanggan Sistem Pengurusan Pembiayaan (Loan Management System) boleh mengendalikan transaksi pinjaman LPPSA. Ini merupakan keperluan terbaru bagi tahun 2019 yang memerlukan sesebuah firma guaman melanggan sistem yang disediakan oleh pihak Juris Tech untuk urusan dokumentasi LPPSA. Ini memastikan masa aturan dan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan LPPSA terjaga dan pemegang taruh mengambil maklum setiap perkembangan berkaitan proses dokumentasi yang terlibat.
Mencari Peguam LPPSA
Pelanggan LPPSA boleh memilih dan melantik dari senarai peguam berdaftar LPPSA di senarai Peguam LPPSA.
Tanggungjawab Pelanggan Kepada Peguam LPPSA
Bagi memastikan Peguam Berdaftar LPPSA dapat menjalankan tugasnya dengan baik dan efisien, pelanggan juga turut berperanan untuk melaksanakan peranannya. Antara perkara yang perlu dilaksanakan oleh Pelanggan LPPSA adalah;
Menandatangani borang pindah milik hartanah (Borang 14A) jika tanah belum dipindah ke atas nama pelanggan bagi tujuan cagaran.
Membantu dan bekerjasama bersama panel peguam LPPSA untuk membolehkan mereka menyelesaikan proses cagaran ke atas tanah.
Membayar perkhidmatan peguam jika fi yang dikenakan tidak ditanggung LPPSA.
Membayar sebarang kos gadaian tanah yang dikenakan kerajaan.
Memberi maklumat yang diperlukan setelah peguam dilantik.
Tidak menukar peguam LPPSA yang berlainan setelah Borang E telah dihantar kepada LPPSA.
Kos Melantik Dan Bayaran Peguam LPPSA
Yuran Peguam LPPSA
Peguam LPPSA wajib mengikut skala fi guaman yang ditetapkan oleh undang-undang secara spesifik Akta Profession Undang-undang 1976 di bawah Perintah Saraan Peguamcara di dalam Jadual 3. Pengiraan kos dan fi adalah berdasarkan jadual yang tertera. Walau bagaimanapun ia tidak termasuk sebarang kos disbursemen dan cukai yang perlu dibayar kepada kerajaan pihak pihak ketiga untuk melengkapkan transaksi ini.
Adakah LPPSA akan menanggung kos peguam?
Pihak Lembaga akan menanggung kos perkhidmatan peguam berdaftar LPPSA dalam soal penyediaan dokumen perjanjian berkaitan pembiayaan. LPPSA walau bagaimanapun tidak menanggung sebarang kos perkhidmatan peguam dalam soal;
Yuran urusan jual beli
Kos pindah milik
Pendaftaran kaveat
Fi setem duti
Sebarang Akuan Bersumpah
Apa yang perlu dilakukan jika pelanggan ingin memohon pembayaran kos Panel Peguam dari LPPSA?
Pelanggan boleh mendapatkan sebutharga daripada panel peguam yang dipilih. Sebut harga tersebut kemudiannya boleh disertakan sebagai kos yuran yang akan dikepilkan bersama permohonan pembiayaan LPPSA.
ASCO sebagai Peguam LPPSA
ASCO merupakan peguam LPPSA yang aktif dan telah menyelesaikan pelbagai transaksi pembiayaan LPPSA. Lihat bagaimana kami membantu proses pembiayaan LPPSA sebagai Panel Peguam LPPSA ASCO di sini.
Sumber Rujukan
Comments