top of page
ASCO LAW

Perlu Khidmat Peguam?

Harta Sepencarian: Apa yang Perlu Anda Tahu Mengenai Hak dan Pembahagian

Writer's picture: Nur DinNur Din

Apa Itu Harta Sepencarian?

Harta Sepencarian Dalam Islam

Bagaimana Kadar Harta Sepencarian Ditentukan?

Harta Sepencarian: Sumbangan Langsung

Harta Sepencarian: Sumbangan Tidak Langsung

Harta Sepencarian: Tempoh Perkahwinan

Harta Sepencarian: Jenis Harta

Proses Tuntutan Harta Sepencarian

Ketika Proses Perceraian

Selepas Kematian Pasangan

Cabaran dan Penyelesaian Tuntutan Harta Sepencarian

Fahami Kaedah Tuntutan Harta Sepencarian



Harta sepencarian adalah istilah penting dalam undang-undang keluarga di Malaysia, khususnya dalam konteks perkahwinan dan perceraian. 


Ia merujuk kepada harta yang diperoleh secara bersama oleh suami dan isteri sepanjang tempoh perkahwinan. 


Harta sepencarian menjadi isu utama dalam proses perceraian, terutama apabila timbul tuntutan mengenai hak dan kadar harta sepencarian yang perlu dibahagikan.



BINCANG... Kadar harta sepencarian tidak ditetapkan secara mutlak. Justeru, perbincangan juga sangat penting.


Apa Itu Harta Sepencarian?

Harta sepencarian secara asasnya merangkumi semua harta yang diperoleh hasil usaha bersama di antara pasangan suami isteri sepanjang tempoh perkahwinan. 


Ini termasuk harta alih seperti wang tunai, kenderaan dan barangan peribadi serta harta tak alih seperti rumah, tanah dan hartanah lain.


Namun, konsep ini juga meliputi harta yang diperoleh secara individu, tetapi wujud sumbangan tidak langsung daripada pasangan. 


Contohnya, seorang isteri yang tidak bekerja, tetapi menguruskan rumah tangga dianggap memberi sumbangan tidak langsung kepada kejayaan suaminya dalam mengumpul kekayaan.


Harta Sepencarian Dalam Islam

Dalam Islam, harta sepencarian tidak disebut secara khusus dalam al-Quran atau Hadis, tetapi ia diterima sebagai sebahagian daripada adat dan amalan yang selaras dengan prinsip keadilan. 


Harta sepencarian dalam Islam berfungsi melindungi hak isteri atau suami yang telah menyumbang kepada pembentukan harta ketika perkahwinan.


Undang-undang Syariah di Malaysia menetapkan bahawa pembahagian harta sepencarian hendaklah dilakukan berdasarkan prinsip keadilan. 


Mahkamah Syariah akan menilai sumbangan kedua-dua pihak - bekas suami dan bekas isteri -  sama ada secara langsung atau tidak langsung, sebelum menentukan kadar harta sepencarian yang berhak diterima oleh setiap pihak.


Bagaimana Kadar Harta Sepencarian Ditentukan?

Kadar harta sepencarian tidak ditetapkan secara mutlak. Ini bergantung kepada budi bicara mahkamah. 


Ada beberapa faktor akan diambil kira. Ini termasuklah:


Harta Sepencarian: Sumbangan Langsung 

Contohnya, suami atau isteri yang menyumbang kepada pembelian rumah atau membayar pinjaman secara bersama.


Harta Sepencarian: Sumbangan Tidak Langsung

Sumbangan dalam bentuk penjagaan rumahtangga, mendidik anak-anak dan menyokong pasangan secara moral dan emosi.


Harta Sepencarian: Tempoh Perkahwinan 

Semakin lama tempoh perkahwinan, semakin tinggi kemungkinan kadar harta sepencarian yang diperoleh.


Harta Sepencarian: Jenis Harta 

Harta yang diperoleh sebelum perkahwinan mungkin tidak termasuk dalam harta sepencarian, kecuali jika ada bukti sumbangan ketika tempoh perkahwinan.


Berdasarkan semua faktor berkenaan, mahkamah mungkin membahagikan harta dalam nisbah 70:30 atau 50:50 bergantung kepada sejauh mana sumbangan kedua-dua pihak.


Proses Tuntutan Harta Sepencarian

Tuntutan harta sepencarian boleh dibuat dalam beberapa keadaan.


Ketika Proses Perceraian

Kebanyakan tuntutan harta sepencarian difailkan ketika perceraian berlaku.


Selepas Kematian Pasangan

Waris si mati boleh memohon hak mereka terhadap harta sepencarian sebelum pembahagian faraid dilakukan.


Untuk memulakan tuntutan, pihak yang ingin menuntut perlu mengemukakan bukti sumbangan dan kaitan pasangan terhadap harta terbabit. 


Jika perlu, sertakan dokumen sokongan seperti resit bayaran, rekod pinjaman atau dokumen berkaitan yang menunjukkan sumbangan secara langsung atau tidak langsung.


Cabaran dan Penyelesaian Tuntutan Harta Sepencarian

Satu cabaran utama dalam tuntutan harta sepencarian ialah konflik di antara pasangan atau waris. 


Pertikaian ini boleh menyebabkan proses pembahagian menjadi rumit serta memakan masa. 


Justeru, pasangan dinasihatkan membuat dokumen rasmi seperti perjanjian pranikah atau perjanjian selepas perkahwinan yang memperincikan pembahagian harta jika berlaku perceraian atau kematian.


Malah jika perlu, bekas pasangan atau waris boleh mendapatkan khidmat profesional, termasuk peguam dalam membuat tuntutan.


Untuk khidmat peguam, antaranya anda boleh mendapatkan khidmat berkenaan dari firma ASCOLAW  di sini


Fahami Kaedah Tuntutan Harta Sepencarian 

Harta sepencarian adalah instrumen penting dalam memastikan keadilan kepada kedua-dua pihak dalam perkahwinan, terutama ketika berlaku perceraian atau kematian. 


Dengan memahami hak dan kadar harta sepencarian, pasangan dapat membuat perancangan kewangan yang lebih baik serta mengurangkan risiko konflik pada masa depan. 


Bagi umat Islam, penting untuk memastikan tuntutan harta sepencarian dilakukan selaras dengan hukum syarak bagi menjamin hak setiap pihak dihormati.


Untuk maklumat tambahan, anda juga dapat baca mengenai harta sepencarian di sini




Comments


Anda Perlu Pertanyaan Lanjut atau Khidmat Peguam?

NOTIS

Kandungan penulisan ini, ketika tarikh ia diterbitkan adalah hanya sebagai rujukan umum. Ia tidak sama sekali bagi tujuan nasihat perundangan. Dapatkan nasihat guaman mengenai situasi anda secara khusus sebelum mengambil sebarang tindakan.

bottom of page