top of page
ASCO LAW

Perlu Khidmat Peguam?

Writer's pictureNur Din

Harta Pusaka, Tukar Nama Rumah: Ini Panduan Penting Elak Masalah dan Konflik

Updated: 28 Jun

Kandungan

Harta Pusaka: Takrif

Harta Pusaka: Istilah Utama

Harta Pusaka: Isu lazim

Harta Pusaka: Panduan Penyelesaian Bukan Perundangan

Harta Pusaka: Panduan Penyelesaian Secara Perundangan

Harta Pusaka: Perundangan, Prosedur dan Proses Undang-undang

Harta Pusaka: Mengapa Khidmat Guaman Penting?

Harta Pusaka: Tip Khusus Cara Tukar Nama Rumah Pusaka Dari Segi Undang-Undang

Harta Pusaka: Tips Ascolaw




Harta pusaka sering sahaja menimbulkan masalah dan konflik dalam keluarga dan masyarakat. Ini terutama jika tiada ilmu berkaitan atau ia diuruskan oleh individu kurang pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pengurusan harta pusaka.


Justeru, kita sama ada sebagai pemilik harta pusaka atau waris sangat perlu memahami ilmu serta fakta pengurusan harta pusaka, terutama dari sudut perundangan harta pusaka.


Ini bagi memastikan pengagihan harta pusaka tidak menimbulkan masalah dan konflik atau perbalahan keluarga atau pewaris harta.


Dalam konteks inilah artikel ini akan memperincikan semua perkara berkaitan seperti disenaraikan di bawah.


Memandangkan rumah pusaka antara aset utama yang sering menjadi fokus dalam pengurusan harta warisan selain tanah, tulisan ini akan turut memperincikan mengenai rumah sebagai harta pusaka, khususnya mengenai cara tukar nama rumah pusaka.


Teruskan pembacaan kerana anda dijamin mendapat info berguna untuk topik penting ini yang sering menimbulkan bukan sahaja masalah, malah konflik berpanjangan dalam keluarga serta masyarakat.


Semua info berikut ini menyajikan panduan berguna bagi mengelak apa juga masalah dan konflik berkaitan harta pusaka serta menyenaraikan tip penyelesaian, jika masalah dan konflik sudah berlaku.


Mari kita teruskan. 


Harta Pusaka: Takrif

PERGI SELAMANYA… Mati sudah pasti. Harta pusaka perlu diuruskan sebaik mungkin. 

Pertama-tama, mari kita fahami apa maksud "harta pusaka", termasuklah dari sudut perundangan.


Harta pusaka atau harta warisan, dalam kefahaman umum merujuk kepada segala jenis harta yang menjadi kepunyaan seseorang ketika hidup, kemudian ditinggalkan kepada waris-waris selepas kematian. 


Dari sudut perundangan pula, harta pusaka merujuk kepada semua harta alih dan tak alih si mati yang akan diserahkan pegangan hakmilik kepada waris mengikut lunas undang-undang agama dan undang-undang negara .


Ia termasuklah undang-undang Islam atau undang-undang sivil atau undang-undang statut. Undang-undang statut ialah undang-undang bertulis yang diluluskan badan perundangan. 


Harta pusaka membabitkan harta fizikal, wang tunai, hak-hak dan apa sahaja yang menjadi milik individu berkenaan ketika masih hidup. 


Contohnya, simpanan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dividen pelaburan saham, simpanan bank dan hutang yang belum dibayar oleh si pemiutang juga termasuk dalam maksud "harta pusaka".


Pengurusan harta pusaka pula lazimnya merujuk kepada proses pembahagian atau pengagihan harta peninggalan si mati kepada waris yang berhak sebagaimana ditetapkan dalam undang-undang. 


Perlu ditegaskan bahawa urusan pusaka tidak boleh sebarangan. Ia mesti mematuhi prosedur dan peraturan yang ditetapkan undang-undang bagi mengelak masalah dan konflik.


Bagi individu Muslim, terutama waris si mati, pembahagian harta pusaka secara betul dan adil dapat membantunya terlepas daripada seksaan pada hari pembalasan di akhirat kelak.


Harta Pusaka: Istilah Utama

Sebelum pergi lebih jauh mengenai pengurusan harta pusaka, memahami aspek perundangan harta pusaka, prosedur dan proses pengurusan harta pusaka, termasuklah tukar nama rumah sebagai antara aset utama harta pusaka, menjadi lebih mudah jika anda tahu dan faham sebahagian besar istilah utama berkaitan harta pusaka.


Ini termasuklah istilah-istilah utama seperti disenaraikan di bawah.


Pusaka Kecil

Ini satu istilah yang mungkin sebahagian kita jarang tahu dan dengar. Ia wujud dalam undang-undang berkaitan harta pusaka.


"Pusaka Kecil" merujuk kepada harta peninggalan seseorang yang terdiri daripada harta tak alih (seperti tanah atau rumah) dengan nilai keseluruhan tidak lebih RM2 juta.


Harta kategori ini tertakluk kepada Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. 


Pengurusan harta Pusaka Kecil ini lazimnya membabitkan Pejabat Pusaka Kecil yang wujud di setiap negeri dalam Malaysia.


Orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut mengenai lokasi Pejabat Pusaka Kecil mengikut negeri di web Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) atau menghubungi Pejabat Tanah negeri di kawasan masing-masing.


Sijil Kematian

Apa dimaksudkan dengan Sijil Kematian?


Sijil Kematian merujuk kepada dokumen perakuan maklumat mengenai kematian seseorang individu.


Dalam pengurusan harta pengurusan harta pusaka, termasuklah untuk menukar nama rumah pusaka, sijil kematian adalah antara dokumen yang sangat penting dan tidak dapat tidak mesti ada bagi membolehkan harta warisan si mati dapat diagihkan kepada waris mengikut lunas undang-undang.


Selain Sijil Kematian , dokumen lain yang boleh membuktikan kematian seseorang di Malaysia adalah:


1. Cabutan atau Carian Sijil Kematian JPN; atau


2. Perintah Anggapan Kematian atau Perintah Pengesahan Kematian daripada Mahkamah Tinggi (MT). Ini bagi kematian yang tiada Sijil Kematian atau tiada apa-apa rekod kematian dari JPN.


Surat Kuasa Mentadbir

Dokumen sah ini sama ada membabitkan Pejabat Pusaka Kecil (PPK), iaitu Borang E di bawah Akta Harta Pusaka (Pembahagian) 1955 atau MT di bawah Akta Probet dan Pentadbiran 1959.


Perlu diketahui bahawa Surat Kuasa Mentadbir (Letter of Administration) adalah sejenis dokumen yang sah di sisi undang-undang.


Ia dokumen penting dalam pengurusan harta pusaka apabila seseorang meninggal dunia tanpa meninggalkan surat wasiat atau jika wujud sesuatu wasiat yang tidak jelas atau tidak sah. 


Surat Kuasa Mentadbir ini digunakan untuk mengesahkan siapa yang berhak menguruskan dan mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan si mati kepada waris-waris yang sah.


Surat kuasa mentadbir ini lazimnya dikeluarkan oleh mahkamah. Dan, seseorang yang diberi kuasa mentadbir menerusi surat ini lazimnya terdiri daripada individu yang mempunyai hubungan keluarga dengan si mati.


Anda boleh baca lanjut mengenai Surat Kuasa Mentadbir ini di sini.


Hibah

Hibah adalah antara instrumen penting dalam perancangan harta pusaka berlandaskan undang-undang harta pusaka Islam. 


Dari sudut syarak, hibah ialah suatu akad membabitkan pemberian hakmilik seseorang terhadap sesuatu entiti atau harta pusaka secara sukarela ketika hidup.


Pemberian itu kepada seseorang yang lain, lazimnya keluarga terdekat, ketika pemberi dan penerima masih hidup tanpa balasan (iwad). 


Hibah banyak kebaikan. Ini termasuklah memudahkan urusan pusaka serta mengelak isu berbangkit, pertikaian dan konflik sesama keluarga.


Ini juga akan diperincikan secara lebih mendalam di dalam satu artikel khusus berkaitan dengannya. Anda juga dapat memahami hibah di sini


Wasiat

Wasiat adalah ikrar seseorang berkait dengan pengurusan dan pentadbiran harta pusaka selepas kematian pewasiat. 


Bagi orang Islam, wasiat hendaklah menurut syarat-syarat dan rukun yang dibenarkan hukum Syarak. Wasiat biasanya dibuat ketika individu berkenaan masih hidup dan dilaksanakan oleh wasi yang dilantik oleh pewasiat selepas kematian pewasiat.


Dengan cara ini juga, tukar hakmilik terhadap sesebuah rumah pusaka, dapat berlaku.


Faraid

Dari sudut syarak, faraid adalah pembahagian harta individu Islam yang telah meninggal dunia dan tidak meninggalkan wasiat sebelum kematiannya. 


Harta peninggalannya itu akan dibahagikan mengikut kaedah faraid kepada ahli warisnya seperti anak, isteri atau suami, ibu, bapa dan sebagainya.


Faraid menetapkan kaedah tertentu serta bahagian tertentu kepada setiap waris mengikut kategori atau taraf perhubungan dengan si mati. Setiap waris ada "hak sebagai waris" di dalam harta-harta berkenaan.


Kaedah ini, antaranya, sudah ditetapkan secara adil mengikut nas al-Quran dan Hadis dengan menitikberatkan unsur kesaksamaan, adil serta mengelak sebarang bentuk penindasan atau penganiayaan mana-mana waris.


Sijil Faraid

Sijil Faraid dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Ini adalah dokumen yang mengesahkan beberapa perkara utama berkaitan pewarisan harta pusaka, termasuklah "siapa waris faraid" dan "bahagian setiap waris faraid".


Keperluan Sijil Faraid oleh Mahkamah Syariah hanya akan timbul dalam keadaan berikut:

1. Wujud lapisan waris yang terlampau banyak;

2. Wujud pertikaian isu faraid yang tidak dapat diselesaikan di peringkat PPK;

3. Wujud pertikaian isu hibah / wasiat;

4. Wujud permohonan Perintah Pembahagian / Peletakhakkan (Vesting Order) harta pusaka di MT.


Wasi atau Pentadbir

Wasi adalah orang yang dilantik oleh pewasiat di bawah Wasiat dan mendapat lantikan rasmi menerusi Geran Probet yang dikeluarkan oleh MT untuk menguruskan harta pusaka milik si mati selepas kematiannya.


Pentadbir pula adalah orang yang dilantik oleh waris-waris menerusi perintah yang dikeluarkan oleh PPK atau MT untuk menguruskan harta pusaka si mati.


Tugas Wasi / Pentadbir adalah:

1. Melaksanakan Wasiat (bagi Wasi sahaja)

2. Kenal pasti wasiat / hibah yang ditinggalkan oleh si mati (jika ada)

3. Mengumpulkan aset si mati

4. Mengumpulkan senarai waris

5. Menguruskan aset si mati

6. Melunaskan hutang-hutang si mati termasuk badal haji

7. Melaksanakan pembahagian / turun milik harta pusaka si mati kepada waris



Harta Pusaka: Isu Lazim

Untuk lebih mudah faham mengenai disiplin pengurusan harta pusaka, termasuklah menukar nama rumah pusaka, ada baiknya kita mengetahui dan memahami antara isu dan masalah utama berkaitan pengurusan dan pembahagian harta pusaka.


Masalah dan konfik sebegini sering ditemui dalam proses pengurusan harta pusaka. Malah, anda sendiri mungkin pernah atau sedang mengalaminya.


Mari kita teruskan.


Berikut adalah antara masalah dan isu lazim dalam pengurusan dan pembahagian harta pusaka sama ada keluarga Islam atau bukan Islam.


Pertikaian Keluarga

Pertikaian keluarga kerana berebut harta pusaka sering berlaku disebabkan ketamakan, rasa tidak diperlakukan secara adil dalam pembahagian dan konflik kepentingan di antara waris.


Ini diburukkan lagi dek kurangnya kefahaman terhadap undang-undang serta prosedur pembahagian harta pusaka. 


Bahayanya ialah pertikaian itu boleh merebak menjadi perpecahan dan perbalahan keluarga.

Malah, pergaduhan keluarga itu boleh melebar hingga peringkat mahkamah. Ini tentu memakan masa dan kos, malah tekanan emosi berpanjangan. 


Kegagalan Wasiat atau Perancangan Harta Pusaka



DOKUMEN… Biar banyak mana pun harta anda, ia menjadi pusaka yang tidak menimbulkan masalah selepas kematian jika ada dokumen lengkap dan tersusun.

Kegagalan wasiat atau perancangan harta pusaka juga boleh menyebabkan kerumitan berpanjangan dalam pembahagian harta pusaka, termasuklah dalam banyak kes - rumah pusaka juga . 


Kegagalan wasiat termasuklah kes ketiadaan wasiat, kesamaran wasiat atau perancangan harta pusaka yang tidak terperinci.


Ini boleh menyebabkan konflik antara waris, kelewatan pembahagian harta, cukai berkaitan harta pusaka menjadi tinggi, malah boleh menyebabkan kehilangan aset bernilai.

 

Unsur Kesamaran dalam Harta Pusaka

Unsur kesamaran dalam harta pusaka sering berlaku apabila terdapat ketidakpastian mengenai aset atau liabiliti atau tanggungan atau hutang si mati. 


Ini mungkin ada kaitan dengan kegagalan mendedahkan atau mengisytiharkan aset sepenuhnya, ketidakjelasan status pemilikan, dokumentasi yang tidak lengkap atau berlaku perubahan atau pindaan undang-undang berkaitan dalam tempoh pegangan hakmilik. 


Kesamaran ini boleh menyebabkan pertikaian sesama waris, kelewatan pembahagian, malah kehilangan harta pusaka terbabit.

 

Cara Pengurusan Harta Pusaka

Cara pengurusan harta pusaka yang tidak cekap juga boleh menyebabkan pelbagai isu lazim.


Ini termasuklah pertikaian sesama waris, kelewatan pembahagian harta, kehilangan aset bernilai dan kos guaman menjadi tinggi. 


Kekurangan perancangan awal, dokumentasi yang tidak lengkap, ketidaktelusan dan ketiadaan nasihat profesional sering menyumbang kepada masalah pengurusan harta pusaka.

 

Pertikaian dengan Pihak Luar

Pertikaian dengan pihak luar seperti pemiutang, rakan kongsi perniagaan atau pihak berkepentingan lain, juga boleh menyebabkan isu lazim dalam pengurusan harta pusaka. 


Wujudnya tuntutan hutang, konflik kepentingan dalam syarikat si mati atau dakwaan hakmilik terhadap mana-mana aset si mati boleh memburukkan lagi masalah ini. 


Pertikaian dengan pihak luar ini boleh melambatkan pembahagian harta pusaka, meningkatkan kos berkaitan serta menjejaskan keharmonian serta  perhubungan sesama waris atau keluarga.


Isu Kos Pengurusan Harta Pusaka

Kos dan bayaran bagi proses pembahagian harta pusaka dan turun milik harta kepada waris sewajarnya dibayar menggunakan duit pusaka peninggalan si mati. 


Jadi, sebelum waris-waris bahagi duit pusaka peninggalan si mati, sebaiknya ketepikan sedikit bahagian (portion) untuk urusan pembahagian dan turun milik pusaka. Ini supaya waris tak perlu keluarkan kos daripada poket sendiri.


Lazimnya, pertikaian keluarga atau waris juga kerap berkait dengan kos pengurusan harta pusaka. Contohnya, siapa patut tanggung semua kos berkenaan. 


Dalam sesetengah kes, tidak ada langsung peruntukan kewangan untuk pengurusan harta pusaka ketika dan selepas proses urusan pusaka.


Dalam sesetengah kes pula, tanah dan rumah pusaka telah diagihkan sedangkan hutang si mati belum diselesaikan. Jadi, siapa yang sepatutnya membayar hutang berkenaan. Ini juga menyebabkan berlaku pertikaian dan perbalahan sesama keluarga.


Harta Pusaka: Panduan Penyelesaian Bukan Perundangan

Konflik akibat pengagihan harta pusaka perlu ditangani bagi mengelak ia berpanjangan dan merebak hingga ke peringkat mahkamah, malah mungkin menyebabkan perlakuan jenayah akibat rasa tidak puas hati mana-mana waris.


Secara bukan perundangan, masalah atau konflik dapat diatasi antaranya menerusi komunikasi terbuka dan jujur sesama waris atau keluarga dan mengadakan perbincangan atau musyawarah mengenai harta pusaka seawal mungkin.


Jangan tunggu saat terlewat. Sebaliknya, lakukan seawal mungkin dengan menetapkan secara jelas peranan setiap ahli keluarga terbabit dalam pengurusan dan pengagihan harta pusaka berkenaan.


Apa yang penting ialah "pasukan keluarga" ini dapat bekerjasama baik dalam melantik wasi, mengurus dokumentasi atau melaksanakan setiap proses berkaitan.


Harta Pusaka: Panduan Penyelesaian Secara Perundangan


MENGELAK KONFLIK… Khidmat profesional peguam sangat penting dalam pembahagian harta pusaka bagi mengelak konflik dan perbalahan keluarga. 

Dari sudut perundangan harta pusaka pula, konflik harta pusaka dapat dielakkan menerusi beberapa kaedah.


Antaranya, meneliti dan mengesahkan wasiat secara jelas dan menerangkan kepada setiap waris agar semua dapat faham dan terima dengan baik wasiat berkenaan.


Langkah bijak mengelak konflik juga ialah dengan menyediakan dokumen berkaitan semua harta pusaka, termasuklah rumah pusaka, secara lengkap, sempurna dan boleh-pakai.


Semua ini menjadi lebih tersusun dan dijamin mampu mengelak konflik jika waris yang mempunyai hak yang sah sebagai waris sepakat melantik pasukan peguam untuk memberikan nasihat dan panduan, menguruskan dan mengendalikan urusan pembahagian harta pusaka secara profesional.


Harta Pusaka: Perundangan, Prosedur dan Proses

Pengurusan harta pusaka merupakan satu proses yang kompleks dan memerlukan kepatuhan kepada undang-undang serta prosedur yang ditetapkan. 


Undang-undang

Di Malaysia, terdapat beberapa akta dan undang-undang utama yang mengawal selia pengurusan harta pusaka.


Antaranya seperti di bawah.


Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955

Ini membabitkan pentadbiran dan pembahagian harta pusaka kecil (harta alih dan harta tak alih) bernilai tidak lebih RM2 juta. Pindaan had kuasa kepada RM5 juta belum berkuatkuasa setakat artikel ini diterbitkan.


Akta Pembahagian 1958  (Distribution Act 1958)

Akta ini menjadi asas pembahagian harta pusaka yang digunakan oleh PPK atau MT dalam mengeluarkan perintah pembahagian pusaka yang terpakai bagi bukan Muslim sahaja (bagi kes tiada wasiat).


Akta Probet dan Pentadbiran 1959

Akta ini terpakai bagi pemberian Geran Probet dan Geran Surat Kuasa Mentadbir oleh mahkamah bagi harta pusaka (harta alih dan harta tak alih) bernilai melebihi RM2 juta.


Akta Wasiat 1959

Akta ini menjadi asas bagi pembahagian harta pusaka yang digunakan oleh MT dalam mengeluarkan Perintah Probet yang terpakai bagi bukan Muslim sahaja (dalam kes ada wasiat).


Hukum Faraid

Ini adalah asas utama pembahagian harta pusaka yang digunakan oleh PPK atau MT dalam mengeluarkan perintah pembahagian pusaka yang terpakai bagi Muslim sahaja.


Akta Perbadanan Amanah Raya 1995

Akta ini memberi kuasa mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir oleh Amanah Raya Berhad bagi harta pusaka yang terdiri daripada harta alih sahaja dan nilai keseluruhan harta di bawah RM600,000. 


Enakmen Duti Harta Pusaka 1941

Enakmen ini sudah dimansuhkan mulai 1 Nov 1991, tetapi masih terpakai bagi kes kematian sebelum 1 November 1991.



Proses Pengurusan Harta Pusaka


PEGUAM… Khidmat guaman sangat perlu bagi memastikan harta pusaka dapat diurus dan dibahagikan secara baik dan adil.

Ada beberapa proses dan peringkat yang perlu dilalui dalam pengurusan harta pusaka. Antaranya seperti berikut.


1. Kumpul aset

2. Kumpul waris

3. Lantik pemohon

4. Permohonan Surat Kuasa Mentadbir / Perintah Pembahagian di PPK atau MT

5. Menyelesaikan hutang dan liabiliti, termasuklah cukai dan lain-lain

6. Membahagikan harta pusaka mengikut Perintah Pembahagian


Khidmat Profesional

Apa yang sangat penting untuk mengelak konflik dan masalah serta melancarkan proses pembahagian harta pusaka adalah mendapatkan khidmat profesional pasukan peguam. Ini satu antara langkah bijak.


Peguam harta pusaka sememangnya "sudah sedia masak" dengan selok-belok perundangan berkaitan harta pusaka dari peringkat dokumentasi hinggalah selesai pengagihan harta-harta itu kepada waris si mati.


Antaranya, anda boleh mendapatkan khidmat profesional guaman harta pusaka di ASCOLAW di sini.


Harta Pusaka: Mengapa Khidmat Guaman Penting?


KONFLIK… Jangan ambil mudah. Konflik harta pusaka boleh merebak menjadi perbalahan keluarga. 

Sebahagian besar masalah dan konflik dalam pembahagian harta pusaka, selain isu bukan bersifat perundangan, ia bertitik-tolak soal ketidakfahaman individu-individu terbabit dalam hal-hal yang menyangkut aspek perundangan harta pusaka.


Sebab itulah fungsi dan khidmat guaman sangat penting dalam pengurusan dan pembahagian harta pusaka sama ada yang berlandaskan undang-undang harta pusaka Islam atau undang-undang sivil.


Dalam hal ini, peranan peguam sangat penting pada dua peringkat pengurusan harta pusaka, iaitu sebelum berlaku kematian dan selepas berlaku kematian pemilik harta.


Sebelum Berlaku Kematian 

Tentu ada banyak kebaikan jika menggunakan khidmat guaman sebelum kematian pemilik harta pusaka.


Ini termasuklah dari segi menjimatkan masa pengurusan harta pusaka, menjimatkan wang dan mengelakkan konflik dalam kalangan sesama waris. 


Ini kerana peguam yang dilantik mempunyai kepakaran khusus dalam memberi nasihat tepat berhubung undang-undang dan prosedur berkaitan harta pusaka.


Antaranya, peguam dapat membantu pemilik harta menyediakan wasiat, membuat perancangan cukai berkaitan harta pusaka, jika wujud, dan mengurus semua aset yang ada.


Malah, jauh lebih awal daripada itu, peguam dapat memberi nasihat berkenaan perancangan harta pusaka serta penyediaan wasiat atau hibah.


Selepas Berlaku Kematian

Selepas kematian pemilik harta pusaka, lebih bijak jika waris segera mendapatkan khidmat guaman. 


Ini penting supaya peguam dapat mewakili pemohon dalam menguruskan dokumentasi pentadbiran pusaka, termasuk memohon Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pembahagian.


Peguam juga dapat membantu kerja menyempurnakan proses pendaftaran Surat Kuasa Mentadbir atau turun milik kepada waris.

 

Selain itu, peguam dapat melaksanakan proses-proses sampingan seperti POT atau pelepasan gadaian.


Malah, peguam juga dapat mewakili waris dalam pertikaian harta pusaka, jika berlaku. Ini penting bagi memastikan hak dan kepentingan waris terpelihara sepenuhnya. 


Amalan Lazim Firma Ascolaw

Antara pilihan yang ada bagi mendapatkan khidmat peguam dalam menguruskan harta pusaka, termasuklah menukar nama rumah pusaka, ialah menerusi firma guaman ASCOLAW.


Anda boleh menghubungi firma berpengalaman lama dalam bidang pusaka ini di sini.


Sesi Konsultasi Percuma

Di ASCOLAW, anda selaku pemilik harta pusaka atau waris, berpeluang mendapatkan konsultasi percuma dengan peguam-peguam berpengalaman.


Selain melihat kes secara khusus, konsultasi ini akan mengenal pasti semua kos terbabit.


Sesi konsultasi percuma ini lebih merupakan sesi konsultasi ringkas bagi mendapatkan maklumat kes dan anggaran kos sahaja.


Jangan risau jika anda belum mempunya bajet untuk lantik peguam bagi mengendalikan keseluruhan kes. 


Ini kerana anda mempunyai pilihan mengendalikan sendiri pengurusan harta pusaka dengan hanya mendapatkan khidmat konsultasi berbayar dari ASCOLAW.


Khidmat konsultasi berbayar ini disediakan dalam bentuk panduan memproses permohonan, menghadapi perbicaraan dan urusan selepas perbicaraaan harta pusaka.


Untuk info lanjut mengenai prosedur konsultasi dan pelantikan peguam, anda dapat baca di sini.


Harta Pusaka: Tip Khusus Cara Tukar Nama Rumah Pusaka

Seterusnya, kita akan lihat secara khusus bagaimana prosedur dan proses menukar nama rumah pusaka.


Jika anda tidak biasa, proses ini mungkin kelihatan rumit, tetapi sebenarnya ia boleh dilakukan dengan mudah jika anda tahu prosedur yang betul, lebih-lebih lagi jika anda mendapatkan bantuan peguam.


Dari Segi Undang-Undang

Dari segi undang-undang, melantik peguam memberi banyak kelebihan dan kemudahan.


Ini termasuklah dari segi urusan membabitkan PPK. Walaupun waris boleh mohon sendiri pembahagian harta pusaka di PPK tanpa melantik peguam, lantikan peguam sudah tentu akan memudahkan proses mengenal pasti aset, menyediakan dokumen yang diperlukan bagi tujuan permohonan, mengetahui cara pembahagian harta pusaka dan proses pusaka sebelum serta selepas perbicaraan pusaka di PPK.


Malah, melantik peguam juga dapat menjimatkan masa kerana peguam boleh mengenal pasti lebih awal forum permohonan yang terbaik sama ada Amanah Raya Berhad, PPK atau MT.


Dan, jika membabitkan prosedur di mahkamah, sudah tentu menjadi wajib menggunakan khidmat guaman kerana individu tidak boleh mewakili diri sendiri dalam permohonan pentadbiran dan pembahagian harta pusaka di mahkamah. 


Kelebihan lain melantik peguam adalah waris hanya perlu berurusan dengan satu pihak sahaja, iaitu peguam. Segala urusan dengan semua pihak berkaitan akan dilaksanakan oleh peguam


Ya, sudah tentu bagi yang tidak biasa dengan prosedur dan proses tukar nama rumah pusaka, ia mungkin tampak sedikit sukar.


Dan, bagi mengelak masalah atau proses tukar nama itu terganggu atau lambat, ada baiknya anda mendapatkan nasihat peguam harta pusaka.


Peguam lazinya akan membantu memudahkan proses ini dengan mematuhi prosedur yang ditetapkan. Anda boleh hubungi pasukan peguam di sini.


Anda juga dapat mendalami tip dan panduan berkaitan pengurusan harta pusaka dengan memuat turun dokumen berkaitan di sini



Jika perlukan lebih banyak bimbingan mengenai pengurusan harta pusaka, anda boleh dapatkan di sini dan di sini


Harta Pusaka: Tips Ascolaw

Sekali lagi ditegaskan bahawa mengurus harta pusaka, termasuklah prosedur dan proses menukar nama rumah pusaka, sangat perlu mengambil kira semua aspek dan mematuhi semua undang-undang serta peraturan berkaitan.


Berikut adalah antara tip berguna yang anda dapat manfaatkan bagi memastikan pengagihan harta pusaka, termasuklah rumah pusaka, berlaku secara baik dan sukses tanpa apa-apa masalah atau konflik.


  1. Jangan ambil mudah. Kelak usaha anda mungkin menjadi lambat atau urusan pemindahan hakmilik harta pusaka, termasuklah rumah pusaka, mungkin menjadi sukar atau berdepan masalah.

  2. Pokok pangkalnya adalah anda mesti melakukannya dengan faham terlebih dahulu segala undang-undang serta prosedur berkaitan.

  3. Jika perlu, lantik pentadbir atau pemegang amanah harta pusaka yang adil. Dan, catatkan segala persetujuan secara bertulis. 

  4. Elakkan mengambil tindakan secara bersendirian, sebalikya berundinglah dengan semua pihak, termasuklah keluarga atau waris dan pasukan peguam.

  5. Berkomunikasilah secara terbuka dalam keluarga atau sesama waris harta pusaka.

  6. Bersikaplah secara telus dan saksama dalam pembahagian aset harta pusaka.

  7. Rancanglah pembahagian harta pusaka seawal mungkin dengan mendapatkan nasihat profesional seperti peguam pusaka. 

  8. Pastikan semua dokumen wasiat dan dokumen lain adalah lengkap, sempurna serta sah untuk digunakan.


Pendek kata, apa pun tindakan dan peringkat mana pun proses pengagihan harta pusaka, termasuklah rumah pusaka, mendepani kemungkinan bermasalah jika ada mana-mana pihak sama ada pemilik harta pusaka atau pewaris harta pusaka gagal mematuhi mana-mana peraturan, prosedur dan undang-undang berkaitan.


Dalam bahasa mudah dan ringkas - lakukanlah secara bijaksana.








Коментарі


Anda Perlu Pertanyaan Lanjut atau Khidmat Peguam?

NOTIS

Kandungan penulisan ini, ketika tarikh ia diterbitkan adalah hanya sebagai rujukan umum. Ia tidak sama sekali bagi tujuan nasihat perundangan. Dapatkan nasihat guaman mengenai situasi anda secara khusus sebelum mengambil sebarang tindakan.

bottom of page