top of page
ASCO LAW

Perlu Khidmat Peguam?

Writer's pictureAkmal Saufi MK

PROSES TUNTUT HUTANG DI MALAYSIA (DEBT RECOVERY)

Updated: 19 Mei



PENDAHULUAN


Walaupun negeri kita Malaysia telah keluar daripada pandemic COVID 19, namun kesannya kepada Malaysia dan ekonomi dunia masih terasa sehingga hari ini.


Banyak individu termasuk perniagaan yang terjejas teruk dan menyebabkan ramai individu, pemilik tunggal, rakan kongsi dan syarikat tidak mampu untuk membayar hutang mereka.


Dalam masa yang sama, ramai juga yang terpaksa membuat proses tuntut hutang kerana peminjam gagal untuk membayar hutang akibat kesan ekonomi tersebut.

Sebagai Pemiutang, bagaimana anda boleh menuntut hutang daripada peminjam dan apakah cara yang paling efektif dan efisien dalam melakukan proses tuntut hutang tersebut?


Proses tuntut hutang merupakan satu proses untuk menuntut hutang daripada individu, perniagaan atau syarikat dalam keadaan mereka enggan dan/atau gagal untuk membayar hutang mereka.


Dalam artikel ini, ASCOlaw akan memberikan satu pandangan mengenai proses tuntut hutang di Malaysia.



PERKARA YANG BAGAIMANA BOLEH DITAFSIRKAN SEBAGAI HUTANG?


Hutang boleh berlaku dalam beberapa keadaan seperti:


i. Membuat pinjaman kereta / rumah dengan insitusi kewangan;

ii. Memberikan pinjaman persahabatan dengan individu lain;

iii. Penyewa berhutang dengan Tuan Rumah untuk kos sewaan;

iv. Pesakit berhutang dengan hospital untuk bil perbuatan yang gagal dibayar;

v. Bagi yang terlibat dengan perniagaan, hutang boleh terjadi apabila barang yang dipesan telah berjaya disiapkan tetapi pembeli gagal untuk membuat pembayaran penuh; dan

vi. Jika anda seseorang yang memberikan perkhidmatan seperti fotographer, videographer atau apa-apa lagi kerja “freelance”, anda juga mempunyai hak untuk menuntut hutang bagi jumlah tunggakan perkhidmatan anda yang masih belum dibayar.


Tetapi, anda perlu mengetahui terdapat had masa untuk membawa kes tuntutan hutang terhadap peminjam dan anda perlu memastikan bahawa tindakan tersebut difailkan dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh undang-undang.


APA ITU HAD MASA?


Had masa adalah satu tempoh yang dibenarkan oleh undang-undang untuk seseorang individu membawa tindakan undang-undang terhadap satu pihak yang lain.


Dalam konteks ini, apakah had masa untuk anda memfailkan saman kepada peminjam untuk tuntutan hutang?


Menurut kepada Akta Had Masa 1953, anda mempunyai 6 tahun daripada tarikh yang perlu dibayar untuk membuat pembayaran mengikut sebelum memulakan tindakan undang-udang terhadap peminjam.


Tetapi, had masa untuk melaksanakan penghakiman adalah berbeza jika ada mempunyai penghakiman daripada Mahkamah terhadap peminjam. Jika anda mempunyai penghakiman terhadap peminjam, tetapi peminjam masih enggan dan/atau gagal untuk membuat pembayaran mengikut kepada Penghakiman, anda boleh melaksanakan penghakiman tersebut sehingga 12 tahun daripada tarikh penghakiman.



SEBELUM MEMULAKAN TINDAKAN DI MAHKAMAH BAGI TUNTUTAN HUTANG


Sebelum anda membuat keputusan untuk memulakan tindakan saman di Mahkamah bagi menuntut hutang terhadap peminjam, anda dinasihatkan untuk membuat kajiselidik kepada latarbelakang peminjam tersebut.


Jika peminjam adalah sebuah SYARIKAT, anda boleh melakukan carian syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (“SSM”) dan carian penggulungan syarikat di Jabatan Insolvensi Malaysia.


Daripada carian syarikat dan carian penggulungan syarikat, terdapat beberapa maklumat yang akan diperolehi antaranya:


i) Alamat berdaftar & alamat perniagaan syarikat tersebut;

ii) Status syarikat tersebut masih aktif atau tidak aktif; dan

iii) Status syarikat tersebut telah digulungkan atau dalam proses penggulungan.

iv) Senarai nama pengarah (bagi syarikat) atau nama pemilik tunggal/rakan kongsi (bagi Enterprise)


Jika peminjam adalah seorang INDIVIDU, carian kad pengenalan dan carian kebankrapan akan mendedahkan alamat terkini peminjam dan sama ada individu tersebut adalah bankrap atau tidak.


Carian-carian di atas juga akan memberikan kepastian mengenai alamat terkini peminjam, bagi tujuan penyerahan dokumen-dokumen perundangan seperti Notis Tuntutan dan Writ Saman.


NOTIS TUNTUTAN BAGI TUNTUTAN HUTANG


Langkah pertama untuk memulakan tuntutan hutang adalah untuk mengeluarkan satu Notis Tuntutan (Notice of Demand (NOD)) kepada peminjam.


Notis Tuntutan / Surat Tuntutan adalah satu surat yang menuntut pembayaran hutang yang telah sampai tempoh dan terhutang oleh peminjam kepada pemiutang dalam satu tempoh masa yang bersesuaian.


Surat tersebut akan menyatakan dengan jelas perbuatan tidak membayar hutang dalam satu tempoh. Jika tiada pembayaran dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan (Contoh 7,14,21,30 hari), tindakan undang-undang akan diteruskan terhadap peminjam tanpa memaklumkan kepada peminjam terlebih dahulu.


Notis Tuntutan bukanlah satu perkara yang wajib atau satu pra-syarat untuk memulakan tindakan undang-undang, tetapi ia satu perkara yang sangat membantu.


Sebagai contoh, Notis Tuntutan, jika dikeluarkan oleh firma guaman, dan peminjam ada membuat pembayaran secara penuh atau separuh atau peminkam memulakan perbincangan penyelesaian, perbuatan tersebut merupakan satu admission kepada hutang jika pihak peminjam memohon masa untuk membuat pembayaran.


TINDAKAN TUNTUTAN HUTANG (DEBT RECOVERY)


Jika tiada pembayaran, ataupun rundingan penyelesaian selepas Notis Tuntutan dikeluarkan, anda boleh untuk mempertimbangkan untuk meneruskan dengan tindakan tuntutan hutang terhadap peminjam di Mahkamah.


MEMULAKAN TINDAKAN DI MAHKAMAH


Jika jumlah yang ingin dituntut adalah kurang daripada RM100,000.00, anda boleh memfailkan tuntutan di Mahkamah Magistret.


Jika tuntutan hutang adalah melebihi RM100,000.00 tetapi kurang daripada RM1,000,000.00, anda boleh memfailkan tindakan tersebut di Mahkamah Sesyen. Jika tuntutan anda melebihi RM1,000,000.00, anda boleh memfailkan tindakan tersebut di Mahkamah Tinggi. Lihat sini jika anda mahu tuntut hutang lebih RM100,000.


Jika anda membuat keputusan untuk memfailkan tindakan tuntutan hutang di Mahkamah, pihak peguam anda akan memfailkan Writ Saman dan Penyataan Tuntutan dan menyerahkan ke alamat peminjam.


Jika peminjam (Defendan) gagal untuk hadir di Mahkamah atau gagal untuk menjawab kepada tuntutan tersebut, satu Penghakiman Ingkar Kehadiran (Judgment In Default (JID)) akan dimasukkan terhadap peminjam di bawah Aturan 13, Kaedah-Kaedah 2012.


Jika Mahkamah mengesahkan Penghakiman Ingkar Kehadiran (JID) terhadap Defendan, penghakiman tersebut secara tidak langsung dianggap sebagai perintah mahkamah terhadap Defendan untuk membayar jumlah yang dituntut dibawah tindakan


Jika peminjam (Defendan) memasukan kehadiran di Mahkamah, dan jika kes tersebut adalah kes yang bersifat jelas (‘straightforward case’), maka Plaintif mempunyai alternatif untuk memfailkan Permohonan Penghakiman Terus (“Summary Judgment”) di bawah Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.


Permohonan Penghakiman Terus ini sesuai dan akan berjaya jika pihak Defendan tidak mempunyai pembelaan bermerit.


Permohonan Penghakiman terus ini diputuskan oleh Mahkamah hanya bersandarkan kepada bukti dokumen, and jika permohonan tersebut dibenarkan oleh Mahkamah, ia akan mengelakkan daripada perbicaraan penuh yang dimana saksi-saksi akan dipanggil untuk memberikan pembuktian secara lisan.


PEMIUTANG PENGHAKIMAN DAN PENGHUTANG PENGHAKIMAN


Selepas mendapatkan penghakiman daripada Mahkamah, individu atau syarikat yang telah mendapat Penghakiman tersebut akan dikenali sebagai “Pemiutang Penghakiman”(Judgment Creditor). Individu atau syarikat yang disaman dan penghakiman direkodkan terhadapnya dikenali sebagai “Penghutang Penghakiman” (Judgment Debtor).


Pemiutang Penghakiman adalah berhak untuk menuntut jumlah yang tertera dalam Penghakiman (“Hutang Penghakiman”) daripada Penghutang Penghakiman.


Jika Penghutang Penghakiman masih enggan untuk membayar jumlah tuntutan tersebut, terdapat beberapa cara untuk anda sebagai Pemiutang Penghakiman boleh pertimbangkan bagi menuntut hutang penghakiman tersebut. Kita akan berbincang cara-cara bagaimana sesuatu hutang penghakiman dilaksanakan (execute) dibawah.


CARA-CARA UNTUK MENUNTUT HUTANG PENGHAKIMAN (“Judgment Debt”) [KAEDAH PELAKSANAAN PENGHAKIMAN]


1. Saman Penghutang Penghakiman (JDS)

2. Prosiding Garnisi

3. Writ Sita & Penjualan (WSS)

4. Prosiding Pengulungan Syarikat

5. Prosiding Kebankrapan

6. Perintah Komital


SAMAN PENGHUTANG PENGHAKIMAN


Saman Penghutang Penghakiman adalah saman yang dikeluarkan oleh Mahkamah untuk diserahkan kepada Penghutang Penghakiman untuk memaksa (‘compel’) Penghutang Penghakiman untuk hadir di Mahkamah untuk memberikan informasi mengenai aset and bagaimana mereka boleh menyelesaikan hutang penghakiman tersebut.

Peruntukkan undang-undang mengenai Saman Penghutang Penghakiman adalah dibawah Aturan 48 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.


Selepas menyerahkan JDS tersebut kepada Penghutang Penghakiman, Penghutang Penghakiman tersebut akan diwajibkan hadir ke Mahkamah untuk memberikan percakapan lisan dibawah sumpah dihadapan Magistret atau Hakim. Mahkamah akan bertanya kepada Penghutang Penghakiman dan Penghutang Penghakiman perlu menerangkan dan memberikan informasi mengenai rekod kewangan mereka.


Dalam kes yang mana Penghutang Penghakiman adalah sebuah syarikat, Pengarah Syarikat atau pegawai yang bertanggungjawab akan dikehendaki hadir ke Mahkamah bagi pihak syarikat untuk memberikan informasi dan maklumat mengenai keduduk kewangan dan aset syarikat. Wakil tersebut juga perlu menerangkan bagaimana kewangan dan aset syarikat boleh digunakan atau dijual bagi memenuhi tuntutan pembayaran hutang penghakiman.


Jika Penghutang Penghakiman tidak hadir di Mahkamah untuk pendengaran walaupun JDS tersebut telah diserahkan secara sempurna kepada mereka, Mahkamah mempunyai kuasa seperti berikut:


  1. Mengeluarkan perintah agar Penghutang Penghakiman ditahan dengan mengeluarkan perintah penahanan (order of arrest) dan Penghutang Penghakiman akan dibawa ke Mahkamah untuk soal.

  2. Membuat perintah ex-parte tanpa kehadiran Penghutang Penghakiman. Selepas sesi pemeriksaan utama dengan kehadiran atau dengan ketidakhadiran Penghutang Penghakiman, Mahkamah akan mengeluarkan perintah agar Penghutang Penghakiman untuk membayar hutang penghakiman sama ada secara ‘lump sum’ atau secara ansuran.

Jika Penghutang Penghakiman gagal untuk mematuhi perintah Mahkamah, satu Notice Penghakiman akan dikeluarkan terhadap Penghutang Penghakiman menuntut Penghutang Penghakiman tersebut hadir ke Mahkamah sekali lagi untuk menerangkan mengenai mengapa beliau gagal untuk mematuhi Perintah Mahkamah.


Penghutang Penghakiman juga perlu memberikan TUNJUK SEBAB mengapa beliau tidak wajar untuk dipenjarakan dengan cara Perintah Komital kerana gagal untuk mematuhi Perintah Mahkamah tersebut.


PROSIDING GARNISI


Antara cara lain untuk menuntut hutang penghakiman adalah dengan cara prosiding garnisi di bawah Aturan 49 ROC 2012.


Prosiding Garnisi fokusnya adalah untuk menuntut hutang penghakiman terhadap pihak ketiga yang berhutang dengan Penghutang Penghakiman atau memegang aset atau wang milik Penghutang Penghakiman.


Prosiding garnisi adalah sangat berkesan bila anda mempunyai pengetahuan akan hutang yang terhutang oleh pihak ketiga kepada Penghutang Penghakiman atau apa-apa jumlah wang yang terdapat dalam akaun bank simpanan Penghutang Penghakiman. Pihak ketiga dikenali sebagai “garnisi”.


Anda boleh memulakan prosiding garnisi terhadap pihak ketiga termasuk bank Penghutang Penghakiman dengan cara mendapatkan perintah daripada Mahkamag untuk memaksa pihak ketiga membayar kepada anda apa-apa jumlah hutang yang terakru pada Penghutang Penghakiman daripada pihak ketiga.


Proses ini memberikan ruang kepada anda untuk garnis atau ‘intercept’ jumlah tersebut sebelum wang tersebut dibayar kepada Penghutang Penghakiman.


Mahkamah adakan menetapkan tarikh pendengaran untuk pihak ketiga atau garnisi tersebut untuk membuktikan sama ada garnisi tersebut terhutang apa-apa hutang dengan Penghutang Penghakiman.


Ketika proses pendengaran, Mahkamah akan mengadili sama ada jumlah yang digarnis itu dipertikaikan dan terdapat faktor-faktor lain yang releven untuk dikemukakan oleh pihak garnisi.


Setelah Mahkamah memberikan perintah garnisi tersebut, satu salinan akan diserah kepada pihak yang digarnis untuk mendapatkan jumlah hutang penghakiman tersebut. Perintah garnisi ini adalah lebih tinggi kesannya daripada apa-apa tindakan injunksi dalam hal tersebut.


WRIT PENYITAAN DAN PENJUALAN


Writ Sita dan Penjualan memfokuskan kepada tuntutan hutang daripada penjualan barangan bolehalih atau barang tidakboleh alih.


Writ Sita dan Penjualan adalah satu kaedah yang boleh digunapakai jika sekiranya Penghutang Penghakiman mempunyai barangan berharga yang boleh dijual dan hasil jualan akan digunakan untuk membayar hutang Penghutang Penghakiman.


Peruntukkan undang untuk Writ Sita dan Penjualan ini boleh didapati pada Aturan 45, Rule 12 ROC 2012.


Setelah perintah untuk Writ Sita dan Penjualan itu diperolehi, Bailif Mahkamah akan menyita barangan di dalam rumah tersebut. Bailif Mahkamah akan melaksanakan lelong awam barang-barang yang disita tersebut, dan hasil jualan akan dibayar kepada Pemiutang Penghakiman.


Lelongan kepada barangan sitaan tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh barangan tersebut disita.


Hasil jualan daripada lelongan tersebut akan dibahagikan kepada Pemiutang Penghakiman setelah menolak kos dan perbelanjaan dalam menjalankan lelongan tersebut.


PROSIDING PENGULUNGAN SYARIKAT


Prosiding pengulungan merujuk kepada proses membubarkan (dissolving) syarikat. Sebagai sebahagian daripada pengulungan dan likuidasi proses, aset syarikat akan dijual dan hasil jualan tersebut akan digunakan untuk membayar kepada Pemiutang Penghakiman.


Prosiding penggulungan are governed di bawah Akta Syarikat 2016 dan Companies (Winding Up) Rules 1972. Terdapat banyak keadaan di mana sesebuah syarikat boleh digulungkan, tetapi keadaan yang sering berlaku adalah bilamana syarikat tersebut gagal untuk membayar kepada Pemiutang Penghakiman.


Prosiding penggulungan hanya dapat dilakukan jika sekiranya hutang yang gagal dibayar tersebut adalah RM10,000.00 dan ke atas.


Sebelum memfailkan untuk prosiding penggulungan di Mahkamah, satu Notis Tuntutan dibawah Seksyen 466 Akta Syarikat 2016 perlu dikeluarkan dan diserahkan kepada syarikat peminjam untuk menuntut tunggakan hutang tersebut. Jika Penghutang Penghakiman gagal untuk memberikan maklum balas terhadap Notis Tuntutan tersebut dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan, maka ia merupakan anggapan statutory (‘statutory presumption’) yang beranggapan bahawa syarikat tersebut tidak mampu untuk membayar hutang tersebut (‘insolvent’).


Selepas Notis Tuntutan tersebut tamat tempoh 21 hari, Pemiutang Penghakiman boleh meneruskan untuk memulakan prosiding penggulungan terhadap syarikat peminjam dengan memfailkan Petisyen Penggulungan.


Setelah perintah penggulungan dibuat oleh pihak Mahkamah, Mahkamah akan melantik pelikuidasi untuk mentadbir aset-aset syarikat, menyiasat urusan syarikat, menjual aset syarikat dan terakhir membahagikan hasil jualan tersebut untuk menyelesaikan hutang syarikat.


Secara kebiasaan, Mahkamah akan melantik Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi (DGI) sebagai pelikuidasi. Tetapi, Mahkamah juga boleh melantik pelikudasi lain yang layak selain DGI dibawah Seksyen 477 Akta Syarikat 2016.


PROSIDING KEBANKRAPAN


Prosiding kebankrapan hanya terpakai untuk individu yang gagal untuk membayar hutang penghakiman dan ia tertakluk kepada Akta Insolvensi.

‘Threshold’ untuk memulakan prosiding kebankrapan adalah RM50,000.00.


Sebelum memulakan prosiding kebankrapan, satu Notis Kebankrapan perlu dikeluarkan dan diserahkan kepada Penghutang Penghakiman untuk menuntut Penghutang Penghakiman membayar hutang penghakiman tersebut.


Jika sekiranya Penghutang Penghakiman gagal untuk memberikan maklum balas kepada Notis Kebankrapan tersebut dalam tempoh 7 hari, Penghutang Penghakiman tersebut telah melakukan ‘Perbuatan Kebankrapan’.


Selepas itu, Pemiutang Penghakiman boleh meneruskan prosiding kebankrapan terhadap Penghutang Penghakiman.


Setelah perintah kebankrapan dikeluarkan terhadap Penghutang Penghakiman, aset-aset Penghutang Penghakiman akan diassign kepada DGI. DGI akan bertanggungjawab untuk mengagihkan aset Penghutang Penghakiman kepada semua Pemiutang Penghakiman.


Perkara ini akan berlaku semasa mesyuarat pemiutang yang dikendalikan oleh DGI untuk membincangkan mengenai pengagihan aset.


Penghutang Penghakiman perlu menyenaraikan semua aset beliau dan senarai tersebut dihantark kepada DGI untuk tujuan mesyuarat tersebut.


Terdapat beberapa sekatan yang dikenakan kepada Penghutang Penghakiman selepas beliau diisythiharkan bankrap.


Sebagai contoh:


  1. Pemiutang Penghakiman tidak dibenarkan untuk ke luar negara tanpa kebenaran DGI.

  2. Tidak dibenarkan untuk mempunyai asest

  3. Tidak dibenarkan untuk membelanjakan wang lebih RM1,000.00 dalam kad kredit beliau.

  4. Tidak dibenarkan untuk memohon mana-mana loan daripada institusi kewangan.


PERINTAH KOMITAL


Perintah komital adalah satu perintah mahkamah untuk menghukum seseorang kerana gagal untuk mematuhi kepada terma-terma yang terdapat dalam Penghakiman Mahkamah dengan cara memenjarakan atau mendenda Penghutang Penghakiman tersebut, atau kedua-duanya sekali.


Komital ini hanya akan digunapakai di dalam Perintah yang menyatakan dengan jelas untuk memaksa atau menghalang seseorang daripada melakukan perbuatan tertentu, dalam tempoh masa tertentu. Sementara kebanyakan penghakiman untuk pembayaran hutan tidak boleh dilaksanakan dengan cara komital, ketidakpatuhan kepada penghakiman dengan melakukan sesuatu perkara seperti memberikan post dated cheque pada sesuatu tempoh masa, juga akan menjurus kepada menghina mahkamah.


Hukuman untuk menghina mahkamah adalah satu perbuatan yang serius, dan ada beberapa requirement yang perlu dipatuhi, termasuk mengindors notis penal ke atas penghakiman, dan penyerahan kendiri Penghakiman kepada Penghutang Penghakiman atau Pengarah kepada syarikat Penghutang Penghakiman.


Prosedur Mahkamah untuk perintah komital adalah dibawah Aturan 52, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.


KESIMPULAN


Sebagai Pemiutang Penghakiman, adalah dinasihatkan untuk mengambil tindakan segera terhadap peminjam yang gagal membayar hutang. Pelbagai cara juga telah diterangkan diatas, tetapi semuanya akan bermula dengan sebuah Notis Tuntutan.


Sila hubungi kami jika anda memerlukan perkhidmatan dan nasihat untuk tuntutan tunggakan hutang, atau untuk membela sebarang tindakan tuntutan hutang terhadap anda.



Comentários


Anda Perlu Pertanyaan Lanjut atau Khidmat Peguam?

NOTIS

Kandungan penulisan ini, ketika tarikh ia diterbitkan adalah hanya sebagai rujukan umum. Ia tidak sama sekali bagi tujuan nasihat perundangan. Dapatkan nasihat guaman mengenai situasi anda secara khusus sebelum mengambil sebarang tindakan.

bottom of page