top of page
ASCO LAW

Perlu Khidmat Peguam?

Writer's pictureKhalis Johar

Proses Pusaka Kecil: 8 Langkah Yang Anda Perlu Tahu Pada 2024



Sebut sahaja pembahagian harta pusaka, pastinya terbayang-bayang di kepala anda pelbagai prosedur dan langkah yang rumit. Ramai yang berputus asa dan akhirnya membiarkan harta pusaka itu beku dan tidak dituntut. Sayangnya!


Sebenarnya, langkah bagi menguruskan harta pusaka ini tidak sesukar yang disangka. Dalam artikel ini, kami akan kongsikan tentang panduan pusaka kecil dan segalanya yang anda perlu tahu.




Apa itu Pusaka Kecil


Sebelum kita pergi lebih lanjut, anda perlu memahami terlebih dahulu tentang apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan harta pusaka kecil ini. Secara mudahnya, apabila berlaku kematian, pengurusan harta pusaka yang ditinggalkan akan bergantung kepada nilaian harta yang ditinggalkan.


Bagi Pusaka Kecil, nilaian harta perlu kurang daripada RM 2 juta. Sekiranya nilaian harta pusaka tersebut melebihi RM 2 juta, permohonan untuk mengurus/mentadbir harta pusaka wajib dilakukan di Mahkamah Tinggi.


Sekiranya nilaian harta pusaka ini melebihi RM 2 juta dan waris cuba membuat permohonan di Unit Pusaka Kecil, permohonan akan tetap dipindahkan oleh Unit Pusaka Kecil ke Mahkamah Tinggi dan waris wajib melantik peguam bagi urusan Surat Kuasa Mentadbir di Mahkamah Tinggi.




Definisi Pusaka Kecil


Bagi memudahkan anda memahami dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan definisi harta pusaka kecil, kami kongsikan definisi harta pusaka kecil yang terkini:



Akta bagi Harta Pusaka Kecil

Sebelum pindaan:

AKTA HARTA PUSAKA KECIL (PEMBAHAGIAN) 1955

SEKSYEN 3(2)

Selepas pindaan:

AKTA HARTA PUSAKA KECIL (PEMBAHAGIAN) (PINDAAN) 2022

SEKSYEN 3(2)

Jenis harta di bawah definisi Harta Pusaka Kecil

  • Harta Tak Alih (Tanah/Rumah) sahaja, atau ;

  • Harta Tak Alih (Tanah/Rumah ) bersama-sama dengan harta alih seperti wang tunai, saham, kenderaan, caruman KWSP/Insuran (tanpa penama), ASN/ASB dan sebagainya

Semua jenis harta (tidak kisah sama ada 100% harta alih)

Jumlah nilaian keseluruhan harta

Tidak melebihi RM2 juta (mulai 1 September 2009) pada tarikh permohonan dibuat

Jumlah nilaian keseluruhan harta itu hendaklah tidak melebihi RM5 juta pada tarikh permohonan dibuat

Tempat memohon Surat Kuasa Mentadbir

Mohon di Unit Pusaka Kecil:

  • Harta tak alih

  • Harta tak alih +harta alih dengan nilaian harta tidak melebihi RM 2 juta

Mohon di mahkamah:

100% harta alih

Unit Pusaka Kecil:

Selepas pindaan, walaupun 100% harta alih, ia masih boleh di mohon di Unit Pusaka Kecil

*Pindaan ini masih belum berkuatkuasa walaupun akta pindaan ini sudah digazetkan


Oleh sebab pindaan ini masih belum dikuatkuasakan, definisi harta pusaka kecil masih kekal iaitu tertakluk kepada 100% harta tak alih atau sebahagian harta alih bersama harta tak alih.


Proses permohonan pusaka kecil


Seterusnya, kami kongsikan 8 langkah mudah bagi proses permohonan Pusaka Kecil ini. Mari kita bermula!






Langkah 1: Tentukan nilaian harta


Apabila berlakunya kematian, dan ada harta pusaka yang ditinggalkan, salah satu langkah penting yang perlu dilakukan oleh waris ialah menentukan nilaian harta yang ditinggalkan. Ini akan membantu memudahkan anda untuk menentukan sama ada permohonan perlu dibuat di Unit Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi.


Anda boleh membuat anggaran kasar nilaian harta yang dimiliki. Contohnya, bagi hartanah anda boleh membuat anggaran kasar harga pasaran berdasarkan laman web brickz.my. Manakala, bagi harta alih pula anda boleh menyemak sebarang penyata bank atau baki terkini.


Tidak kira sama ada permohonan ini akan dibicarakan di Unit Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi, khidmat peguam yang dilantik pastinya akan membantu memudahkan urusan ini.


Tips ASCOLAW:


Biasanya, apa yang terjadi dalam masyarakat, aset harta alih contohnya wang simpanan si mati akan terus dibahagikan antara waris terlebih dahulu sebelum urusan pusaka diselesaikan. Tips daripada kami, elakkan terus membahagikan harta alih, contohnya wang simpanan si mati kerana proses pentadbiran pusaka akan memakan kos yang tinggi.


Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya masalah bagi menanggung kos pentadbiran harta pusaka, asingkan sekurang-kurangnya 5% daripada keseluruhan nilai pusaka untuk urusan pusaka.


Dengan lebih persediaan dari segi kewangan, sekurang-kurangnya masalah seperti waris atau Pentadbir perlu mengeluarkan kos daripada poket sendiri.Bukan itu sahaja, situasi seperti waris yang enggan memberikan kerjasama menanggung kos pentadbiran harta pusaka selepas menerima duit pusaka juga dapat dielakkan.



Langkah 2: Lantik Pentadbir


Pada peringkat ini, ia akan melibatkan pihak Pemohon dan juga Pentadbir. Bagi memudahkan anda memahami apakah perbezaan keduanya, kami kongsikan perbandingan di bawah:



Pemohon

Pentadbir

Pemohon akan membuat permohonan di Pejabat Pusaka. BIasanya, Pemohon akan dilantik sebagai Pentadbir

Pentadbir tidak semestinya adalah Pemohon

Pemohon tidak semestinya wajib dilantik sebagai Pentadbir

Sewaktu perbicaraan, waris-waris masih boleh melantik orang lain sebagai Pentadbir.

Pemohon adalah lantikan pertama kerana beliau yang akan mengumpul semua dokumen dan kehadiran Pemohon di bicara adalah wajib. Sekiranya Pemohon tidak hadir, bicara boleh dibatalkan atau ditangguhkan.


Selepas itu, langkah seterusnya ialah melantik seorang pentadbir. Bagi langkah ini, seelok-eloknya anda melakukan perbincangan dengan ahli keluarga untuk sepakat bagi melantik seorang pentadbir.


Apa yang penting, pastikan pentadbir yang dilantik boleh dipercayai dan amanah. Ini kerana, pentadbir yang dilantik akan mempunyai tanggungjawab yang besar dan kerjasama daripada pentadbir yang dilantik akan menentukan kelancaran proses pembahagian harta pusaka ini.


Berikut merupakan beberapa tanggungjawab penting yang perlu dilaksanakan oleh pentadbir seperti berikut:



  • Mentadbir harta pusaka simati mengikut peruntukan undang-undang

  • Mengenalpasti, mengumpul dan membuat jumlah nilaian harta si mati yang ada

  • Melangsaikan hutang dan cukai yang tertunggak daripada harta pusaka simati

  • Menuntut hutang si mati yang masih belum dilangsaikan

  • Membahagi-bahagikan harta pusaka kepada waris yang berhak



Menurut maklumat yang dikongsikan oleh Seksyen Pembahagian Pusaka Kecil JKPTG, masalah pentadbir yang harta tidak amanah telah menjadi salah satu isu dan masalah besar dalam pembahagian harta pusaka orang islam. Sebagai waris yang tidak berpuas hati, anda boleh memohon ulang bicara (Seksyen 17 Akta 98) supaya dilantik Pentadbir yang baru bagi menggantikan Pentadbir yang tidak amanah.


Namun, ia pastinya akan memakan masa dan menjadikan prosedur pembahagian harta pusaka kecil ini semakin rumit.






Langkah 3: Mengumpulkan dokumen


Sekarang, apabila Pentadbir yang dipercayai sudah dilantik, ini masanya untuk mengumpulkan segala dokumen berkaitan harta pusaka yang ditinggalkan. Pada peringkat ini, anda juga boleh menggunakan khidmat peguam untuk memudahkan proses pengumpulan dokumen ini menjadi lebih mudah dan lancar.


Secara umumnya, berikut merupakan senarai dokumen yang diperlukan iaitu:


Bukti kematian:

  • Sijil kematian si mati

  • Dokumen pengenalan diri (kad pengenalan/ pasport) si mati


Alternatif kepada Sijil Kematian:


  • Surat Akuan Sumpah oleh 2 orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan, contohnya bagi kematian semasa pendudukan Jepun dan sebelumnya; atau


  • Perintah Anggapan Kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi dalam keadaan seperti kematian tanpa kubur, hilang semasa pendudukan Jepun, tragedi 13 Mei 1969, tragedi Muassem, dan perintah ini hanya boleh didapati selepas 7 tahun dari tarikh berlakunya kejadian.


Bukti waris:

  • Kad Pengenalan Pemohon & Waris

  • Bagi waris bawah umur 18 tahun, Sijil Kelahiran

  • Sijil Kematian waris yang sudah meninggal dunia

  • Maklumat tentang waris (nama, no kad pengenalan, hubungan)

  • Sebarang dokumen yang membuktikan hubungan antara waris dan si mati (sijil lahir, surat nikah)


Bukti pemilikan harta

  • Senarai aset dan liabiliti si mati

  • Salinan geran tanah / rumah / kenderaan

  • Salinan surat perjanjian jual beli rumah yang masih belum ada hak milik berasingan

  • Salinan Penyata Akaun Bank / Sijil Saham / Sijil Insurans

  • Salinan Cukai Tanah bagi tahun semasa (yang telah dibayar)

  • Salinan Cukai Taksiran bagi penggal semasa (yang telah dibayar)




Tips ASCOLAW:


Sewaktu proses ini, cuba sehabis baik untuk mengumpulkan semua harta sekaligus. Ini akan memudahkan proses perbicaraan yang hanya perlu dilakukan secara sekaligus bagi semua harta ini.


Sekiranya ada harta yang tertinggal, anda perlu memohon semula ulang bicara melalui Borang P.


Pemohon bagi Borang P pula perlu sama dengan Pemohon semasa peringkat Borang A. Sekiranya ada pertukaran Pemohon, urusan akan jadi lebih rumit.



Langkah 4: Hantar borang permohonan (Borang A atau P) ke Unit Pembahagian Pusaka


Seterusnya, pada peringkat ini, dokumen yang akan dikumpulkan dengan lengkap akan memudahkan proses bagi menghantar borang permohonan ini.





Borang A Pusaka Kecil

Borang permohonan baru untuk mendapatkan perintah pentadbiran harta pusaka si mati dan perlu dihantar dalam masa 30 hari daripada tarikh permohonan online dihantar.


Sebelum menghantar permohonan, pastikan semua maklumat betul sebelum penghantaran secara atas talian dibuat. Sekiranya terdapat kesalahan, permohonan perlu dibetulkan semula melalui surat bertulis kepada pihak Unit Pusaka Kecil.





Sekiranya ada harta pusaka yang ingin ditambah di dalam senarai atau berlaku pembatalan Pentadbir yang dilantik, borang P perlu digunakan.


Berikut merupakan beberapa situasi yang memerlukan ulang bicara seperti:


  • Ada harta yang tertinggal untuk ditadbir dan dibicarakan

  • Membatalkan Pentadbir dan turun milik kepada waris

  • Membatalkan Pemegang Amanah dan turun milik kepada waris (contohnya, waris dahulu bawah umur, sekarang sudah dewasa)

  • Berlaku pindaan Perintah Pusaka Kecil


Dokumen yang perlu dikemukakan adalah seperti berikut:


  • Borang P yang lengkap diisi.

  • Satu (1) salinan perintah terdahulu.


  • Jika Permohonan Berikutnya adalah bagi tujuan:


Harta Tak Alih yang tertinggal

  • Dua Salinan Hakmilik atau Geran bagi harta tak alih yang dituntut atau dua

salinan Surat Perjanjian Jual Beli harta tak alih yang dituntut jika harta tersebut

masih belum mempunyai Hakmilik atau Geran dan


Dua salinan Carian Rasmi yang dibeli dari Pejabat Tanah Daerah bagi hakmilik

HSM/GM/PM atau Pejabat Tanah Galian Negeri (PTG) bagi hakmilik

HSD/GRN/PN.


Harta Alih yang tertinggal

  • Satu salinan dokumen harta alih tersebut (penyata akaun simpanan, sijil saham,

insurans, geran kenderaan dan lain-lain)


Membatalkan Surat Kuasa Mentadbir atau Pemegang Amanah.


  • Satu salinan Hakmilik atau Geran atau Carian Rasmi yang telah didaftarkan nama

Pentadbir atau Pemegang Amanah.


(Borang P) hendaklah dikemukakan di Unit Pembahagian Pusaka di mana permohonan awal (Seksyen 8 – Borang A) pembahagian harta simati telah diselesaikan.



Anda juga boleh mengisi Borang P secara atas talian dan hendaklah dicetak dan dihantar bersama dokumen sokongan ke Unit Pembahagian Pusaka yang berkenaan dalam tempoh 30 hari permohonan dihantar.


Semua dokumen asal juga perlu dibawa pada hari perbicaraan yang akan ditetapkan kemudian dan dimaklumkan melalui Notis Pendengaran Permohonan Berikutnya (Seksyen 17 Akta 98).






Cara mengisi borang pusaka online


Bagi mereka yang ingin mengisi borang permohonan secara atas talian, anda juga boleh mengikuti langkah di bawah:



  1. Layari laman web https://www.myetapp.gov.my/

  2. Anda perlu mendaftar sebagai pengguna baru

  3. Log masuk semula ke dalam sistem

  4. Pilih menu Pusaka kecil dan permohonan baru


Bagi setiap permohonan online atau atas talian ini, anda masih perlu mencetak dan menghantar permohonan tersebut ke Unit Pusaka Kecil.


Langkah 5: Proses perbicaraan dilakukan


Sekiranya semua permohonan sudah lengkap dan diterima, proses perbicaraan akan dijalankan. Perbicaraan ini dijalankan untuk menetapkan beberapa perkara penting berikut:


  • Bagi menentukan waris-waris yang berhak

  • Memastikan harta tersebut hak si mati

  • Menentukan cara pembahagian harta si mati


Bagi proses perbicaraan harta pusaka ini, ia akan dijalankan pada tarikh, masa dan tempat seperti yang dinyatakan dalam Borang D (Notis Petisyen dan Pendengaran – Seksyen 8) dan Borang S (Notis Pendengaran Permohonan Berikutnya – Seksyen 17).


Sewaktu proses perbicaraan dijalankan, berikut merupakan beberapa perkara penting dan wajib dilakukan oleh pemohon iaitu:


Membawa dokumen asal seperti berikut:


  • Sijil Kematian simati/waris-waris yang telah mati

  • Kad Pengenalan dan Surat Beranak semua waris

  • Sijil Kerakyatan / Surat Kelahiran jika ada

  • Sijil Perkahwinan simati

  • Hakmilik/Geran tanah atau Surat Perjanjian Jual Beli

  • Sijil Pendaftaran kenderaan, sijil saham, buku akaun simpanan yang telah dikemaskini. Lain-lain dokumen asal yang berkaitan dengan harta simati.


Memaklumkan kepada semua waris simati yang berhak ke atas harta pusaka tersebut supaya hadir pada tarikh perbicaraan


Bagi menghormati proses perbicaraan, pastikan waris datang dengan berpakaian kemas dan sopan. Sekiranya waris di bawah umur 18 tahun, mereka tidak diwajibkan hadir dan hanya salinan kad pengenalan dan surat beranak sahaja diperlukan.


Sekiranya hanya pemohon seorang sahaja waris simati yang akan menghadiri perbicaraan, maka anda dikehendaki membawa dua orang saksi bebas yang mengenali si mati.


Bagi melancarkan proses pembahagian harta pusaka kecil ini, waris-waris dinasihatkan untuk melakukan perbincangan bagi menentukan cara pembahagian yang dikehendaki.


Kemukakan Borang Persetujuan (Borang DDA) sekiranya ada waris yang tidak dapat hadir pada hadir pada tarikh perbicaraan,


Borang tersebut diperolehi di mana-mana Unit Pembahagian Pusaka seluruh Semenanjung Malaysia atau di muat turun dari laman sesawang JKPTG.


Borang Persetujuan ini perlu ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, Majistret atau Pentadbir Tanah Daerah dan diisi dengan lengkap. Sekiranya Borang Persetujuan tidak lengkap akan ditolak dan perbicaraan akan ditangguhkan.


Permohonan akan terbatal


Pemohon wajib hadir semasa bicara. Oleh itu, Pemohon perlu bermastautin di Malaysia kerana masih tidak ada peruntukan untuk bicara sidang video. Walaupun semua waris datang, sekiranya Pemohon tidak hadir, bicara juga akan ditangguh


Sekiranya Pemohon gagal menghadiri perbicaraan setelah 3 kali panggilan dibuat, permohonan akan dibatalkan.


Bayaran perintah


Akhir sekali, jangan lupa untuk menjelaskan selepas bayaran perintah setelah perbicaraan selesai (berdasarkan nilaian terkini keseluruhan harta simati semasa tarikh permohonan).


Berikut merupakan senarai bayaran perintah yang dikenakan



Perkara

Kos bayaran

Bayaran Pendaftaran

Percuma bagi permohonan baru (Borang A - Seksyen 8-Akta )


Percuma bagi Permohonan Berikutnya ( Borang P - Seksyen 17 Akta ).

Bayaran Selepas Pembicaraan

  • Bayaran perintah berdasarkan nilaian terkini harta simati ( seperti senarai harta simati di Borang Permohonan- Borang A Seksyen 8 Akta).


Jika nilaian keseluruhan harta simati:

RM1.00 hingga RM1,000.00 bayaran perintah adalah RM10.00,


Jika RM1,001 hingga RM50,000 bayaran perintah adalah RM30.00, manakala jika;

nilaian adalah RM50,001 dan ke atas bayaran perintah adalah 0.2% dari nilaian harta si mati.


  • RM30 bagi bayaran perintah permohonan berikutnya ( Seksyen 17 ) yang melibatkan permohonan seperti membatalkan Pemegang Amanah, Kaveat Pendaftar ataupun membatalkan Pentadbir. Jika melibatkan ketinggalan harta, bayaran perintah hendaklah mengikut nilaian harta terkini yang diselesaikan di bawah Seksyen 17 Akta ( Permohonan Berikutnya ) sahaja


  • Salinan perintah pembahagian dibekalkan secara percuma bagi salinan pertama dan bayaran RM 5.00 dikenakan bagi salinan kedua dan seterusnya.


  • Salinan perintah pembahagian yang diperlukan oleh mana-mana orang selain daripada pentadbir/ waris dikehendaki membayar RM 30.00 bagi salinan pertama dan RM 10.00 bagi salinan kedua dan seterusnya.


Jumlah bayaran bagi mendaftarkan perintah pembahagian dalam hakmilik tanah (geran) adalah mengikut peraturan -peraturan tanah negeri


Duti Harta Pusaka - (jika ada) akan ditentukan di akhir pembicaraan mengikut nilai harta pada tarikh mati. Jumlah yang dikenakan tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Duti Harta Pusaka 1941.

Sekiranya ada rayuan ke Mahkamah Tinggi

  • RM 50.00 bagi bayaran fee rayuan;

  • RM 1500.00 bagi bayaran deposit rayuan

  • Bayaran menyediakan salinan dokumen yang dikehendaki bagi salinan pertama adalah RM30. Bagi salinan kedua dan seterusnya adalah RM10;




Langkah 6: Menyediakan Perintah Pembahagian Pusaka Kecil / Surat Kuasa Mentadbir


Bagi kes yang mudah dan tidak berlapis, contohnya rumah yang sudah mempunyai geran yang berdaftar atas nama si mati, jika waris-waris dapat mencapai kesepakatan dalam cara pembahagian harta pusaka semasa perbicaraan pusaka tersebut, Pegawai Pentadbir Tanah boleh mengeluarkan Perintah Pembahagian secara terus kepada waris-waris.


Berikut merupakan situasi bagi kes yang lebih kompleks contohnya:

  • keraguan terhadap status perkahwinan si mati / waris (nikah luar negara dan tak didaftarkan di Malaysia)

  • keraguan terhadap status nasab waris (anak tak sah taraf dsbnya)

  • waris berlapis atau waris bawah umur

  • geran rumah yang masih atas nama Pemaju

  • pinjaman rumah yang masih belum habis bayar atau dalam kes sudah habis bayar, proses melepaskan gadaian pula belum dibuat dan geran belum boleh dikutip daripada Bank, LPPSA atau pemaju


Bagi kes ini, Pegawai Pentadbir Tanah akan memberikan Surat Kuasa Mentadbir terlebih dahulu. Di dalam Surat Kuasa Mentadbir tersebut, Pegawai Pentadbir Tanah akan menulis satu nota kes yang menyatakan selepas Pentadbir menyempurnakan syarat yang ditetapkan oleh Pegawai Pentadbir Tanah, Pemohon/Pentadbir boleh memohon ulang bicara untuk mendapatkan perintah turun milik (tukar nama/pembahagian) kepada waris.


Sebagai contoh situasi, setelah selesai Pentadbir mendapatkan sijil faraid/geran yang sudah didaftarkan atas nama Pentadbir, Pentadbir/Pemohon perlu memohon ulang bicara bagi proses menukar nama kepada waris pula.



Tips ASCOLAW : Ramai yang beranggapan, apabila keluar perintah, urusan tersebut sudah selesai sedangkan ada lagi proses berikutnya.


Bagi kes yang di mana anda mendapat surat Kuasa Mentadbir kerana isu geran yang belum mendaftar di atas nama simati, setelah mendapat perintah Borang F masih banyak proses yang perlu dilakukan selepas itu. Bukan itu sahaja, sekiranya anda melengah-lengahkan urusan ini, ia boleh menjadi lebih sukar dan memakan kos yang lebih tinggi.


Surat kuasa mentadbir


Bagi permohonan Surat Kuasa Mentadbir bagi Pusaka Kecil, anda tidak diwajibkan menggunakan khidmat peguam, tetapi perkhidmatan peguam akan membantu proses penyediaan dokumen yang lebih lengkap dan lancar.


Bagi Unit Pusaka Kecil, tempoh masa keseluruhan untuk mendapatkan surat kuasa mentadbir boleh memakan masa 2 hingga 3 tahun. Disebabkan pelbagai faktor yang boleh melambatkan proses, khidmat peguam sangat penting bagi membantu proses mendapatkan surat kuasa mentadbir ini


Ingin tahu lebih lanjut dan mendalam tentang surat kuasa mentadbir? Baca artikel ini!






Langkah 7: Perintah Pusaka Kecil


Borang yang terlibat: Borang E/F/T


  1. Borang E: Perintah Pembahagian

  2. Borang F:Surat Kuasa Mentadbir

  3. Borang T: Perintah Pusaka bagi permohonan berikutnya


Sekiranya ada bantahan, rayuan ke Mahkamah Tinggi boleh dilakukan oleh mana-mana pihak sekiranya mereka tidak bersetuju dengan keseluruhan atau sebahagian perintah yang dikeluarkan.


Sekiranya tiada bantahan, Pemohon akan mendaftarkan perintah di Pejabat Tanah berkaitan atau mengemukakannya kepada agensi tertentu bagi tujuan penurunan hak milik harta alih seperti kenderaan, atau pencairan aset harta alih seperti wang simpanan dan sebagainya.


Kami kongsikan nilaian harta pusaka yang terlibat dan siapakah yang bertanggungjawab mengeluarkan perintah-perintah melibatkan harta pusaka ini bagi memudahkan pemahaman anda:

Nilaian Harta

Pihak berkuasa yang boleh mengeluarkan Perintah

Harta Pusaka Mudah Alih

tidak melebihi RM 600,000


Amanah Raya Berhad

Harta Pusaka Mudah Alih dan Tidak Alih tidak melebihi RM 2 juta

Unit Pembahagian Pusaka Kecil (JKPTG)


*Peguam boleh bantu dalam permohonan

Harta Pusaka Mudah Alih dan Tidak Alih melebihi RM 2 juta

Mahkamah Tinggi


*WAJIB MENGGUNAKAN PEGUAM


Selepas mendapat Perintah Pembahagian / Surat Kuasa Mentadbir / Selanjutnya (Borang E / F / T), proses ini tidak terhenti setakat ini sahaja.


Bagi harta tak alih, Pemohon atau Pentadbir perlu mendaftar Borang E/F/T tersebut di Pejabat Tanah bersama-sama geran asal tanah, cukai tanah, cukai taksiran dan kad pengenalan penerima atau pentadbir. Proses pendaftaran ini bertujuan untuk menukar nama simati kepada Pentadbir /atau Penerima.


Bagi hartanah yang kompleks (geran asal masih dgn Pemaju atau Bank, anda perlu melantik peguam untuk menyempurnakan proses pendaftaran bagi menukar nama simati kepada nama pentadbir.



Langkah 8: Cairkan aset dan selesaikan hutang si mati


Pada peringkat ini, Pentadbir akan bertanggungjawab bagi menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan. Harta pusaka kecil yang ditinggalkan ini boleh dijual untuk menyelesaikan hutang si mati atau dibahagikan kepada waris yang berhak



Perbandingan proses mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dan VO di Unit Pusaka Kecil atau Mahkamah


Bagi proses mendapatkan dokumen ini, waris boleh memilih untuk menggunakan salah satu kaedah sama ada melalui Unit Pusaka Kecil atau Mahkamah. Namun, kaedah permohonan ini sudah tidak boleh ditukar selepas permohonan dikemukakan.



Tips ASCOLAW : Berdasarkan pengalaman kami, terdapat situasi di mana waris pada mulanya memohon untuk pentadbiran harta pusaka melalui Unit Pusaka Kecil, di mana dalam peringkat Unit Pusaka Kecil, waris telah memperoleh Surat Kuasa Mentadbir.


Kemudian, waris ingin membuat proses ulang bicara bagi turun milik harta kepada waris dan memandangkan waris sudah berpengalaman dan sedar proses di Unit Pusaka Kecil ini memakan masa yang lama, waris ingin menukar platform permohonan ke Mahkamah.


Dalam keadaan ini, proses ini tidak dapat diteruskan kerana waris tidak boleh lagi menukar platform permohonan dan perlu menyempurnakan proses di bawah Unit Pusaka Kecil hingga selesai (melainkan selepas ke Unit Pusaka Kecil, nilai harta didapati lebih RM2 juta, dan kes dipindahkan oleh Unit Pusaka Kecil ke Mahkamah).


Sama juga sekiranya permohonan dan perintah pertama telah dibuat dan dikeluarkan oleh Mahkamah, bagi proses seterusnya juga, waris tidak boleh sewenang-wenangnya menukar permohonan semula ke Unit Pusaka Kecil.


Maka, adalah amat penting untuk waris-waris faham akan kos dan proses yang terlibat dalam membuat urusan pusaka ini. Jika isu kos menjadi alasan utama, waris-waris sepatutnya sedar bahawa segala aset harta pusaka sepatutnya digunakan bagi menyelesaikan proses pusaka terlebih dahulu dan bukannya dibahagi-bahagi antara waris terlebih dahulu sebelum urusan pusaka selesai.


Lihat perbandingan ini untuk memudahkan keputusan platform mana yang anda ingin pilih!

Perkara

Pusaka Kecil

Mahkamah

Kos

Kos lebih murah daripada Mahkamah

​Kos lebih tinggi daripada Pusaka Kecil

Masa

​Keseluruhan tempoh lebih lama daripada Mahkamah.


Biasanya bagi setiap peringkat bicara, memakan masa 1 ke 2 tahun. Jadi, keseluruhan proses, boleh memakan masa 3 ke 4 tahun.

​Keseluruhan tempoh lebih cepat.


Biasanya bagi setiap peringkat bicara, memakan masa 6 ke 9 bulan. Jadi, keseluruhan proses, boleh memakan masa 1 ke 2 tahun.

Proses Perbicaraan

Pemohon dan semua waris wajib menghadiri perbicaraan, jika tidak dapat hadir perlu mengemukakan borang DDA

Bagi peringkat bicara Surat Kuasa Mentadbir, hanya Pentadbir dan Peguam sahaja yang perlu hadir, waris hanya perlu mengemukakan Afidavit sahaja. Bagi peringkat Perintah Pembahagian, hanya kehadiran peguam sahaja diperlukan. Pemohon dan waris hanya kemukakan Afidavit sahaja.





Senarai Pejabat Pusaka Kecil yang boleh dihubungi dan dirujuk


Bagi memudahkan urusan rujukan dan pertanyaan lebih lanjut, kami sertakan senarai emel yang boleh dihubungi berdekatan cawangan anda:


UPP Perlis

UPP Alor Setar

UPP Sungai Petani

UPP Pulau Pinang

UPP Ipoh

UPP Tapah

UPP Kerian

UPP Kuala Kangsar

UPP Taiping

UPP Klang

UPP Bangi

UPP Banting

UPP Kuala Selangor

UPP Gombak

UPP Kuala Lumpur

UPP Seremban

UPP Kuala Pilah

UPP Melaka

UPP Johor Bharu

UPP Muar

UPP Kluang

UPP Batu Pahat

UPP Segamat

UPP Kuantan

UPP Temerloh

UPP Raub

UPP Kuala Terengganu

UPP Dungun

UPP Besut

UPP Kota Bharu

UPP Machang

UPP Pasir Mas


Senarai Peguam Pusaka Kecil Selangor & Kuala Lumpur


Senarai Peguam Pusaka Kecil Johor



Kelebihan menggunakan khidmat peguam dalam proses pengurusan harta pusaka kecil


Masa yang lebih cepat dan hanya perlu berurusan dengan satu pihak


Peguam akan membantu penyediaan dokumen lengkap. Anda akan kurang risiko permohonan ditolak akibat dokumen yang tidak lengkap.


Anda hanya perlu berhubung dengan peguam sahaja dan peguam yang akan melakukan segala urusan dan berhubung dengan pihak Unit Pusaka Kecil, Pejabat Tanah dan lain-lain. Tanpa bantuan pihak peguam, anda perlu berurusan dengan pelbagai pihak dan ini pastinya akan membuang masa dan tenaga yang banyak


Sudah semestinya, proses pengurusan harta pusaka kecil ini akan menjadi lebih cepat dan mudah.



Memberi nasihat perundangan bagi setiap proses dan fasa yang akan dilakukan


Sekiranya berlaku pertikaian antara waris, perbicaraan perlu dijalankan dan peguam perlu dilantik.


Proses permohonan boleh menjadi rumit sekiranya ada masalah dari sudut undang-undang, peguam yang cekap boleh membantu proses rundingan serta membantu menyelesaikan masalah serta menjimatkan masa dan tenaga anda.


Kami tahu, proses menguruskan harta pusaka kecil ini bukanlah perkara mudah bagi anda.


Namun, bagi kami di pihak ASCO Law, kami sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik walau sesukar manapun situasi yang anda hadapi.


Dengan adanya khidmat peguam, beban menguruskan harta pusaka ini sekurang-kurangnya dapat diringankan dan dihadapi bersama-sama.


Perlukan bantuan? Jangan lupa untuk hubungi kami hari ini juga!




Comments


Anda Perlu Pertanyaan Lanjut atau Khidmat Peguam?

NOTIS

Kandungan penulisan ini, ketika tarikh ia diterbitkan adalah hanya sebagai rujukan umum. Ia tidak sama sekali bagi tujuan nasihat perundangan. Dapatkan nasihat guaman mengenai situasi anda secara khusus sebelum mengambil sebarang tindakan.

bottom of page