Anda nak jual rumah tapi tak pasti perlu atau tidak untuk lantik peguam penjual. Agen rumah kata tak perlu, pakai saja peguam pembeli.
Anda tanya kawan anda yang pernah jual rumah, kawan pun kata tak perlu pakai peguam sendiri, pakai saja peguam pembeli.
Anda keliru.
Apa sebenarnya yang PEGUAM PENJUAL akan buat jika dilantik PENJUAL rumah?
PEGUAM PENJUAL DAN PERANAN MEREKA
Peguam memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu urus niaga pemindahan hartanah antara Penjual dan Pembeli.
Selain daripada memastikan tiada kecuaian mahupun penipuan oleh pihak Pembeli, ada banyak perkara lain dan peranan yang perlu dimainkan oleh peguam Penjual.
Antara tanggungjawab yang dilaksanakan oleh PEGUAM PENJUAL adalah seperti berikut:-
(1) Mendraf dan menyemak terma-terma Perjanjian Jual Beli. Ini adalah sangat penting bagi membolehkan terma dan syarat perjanjian yang dimasuki oleh kedua-dua pihak adalah adil dan seterusnya melindungi kepentingan anda selaku Penjual;
(2) Jika anda masih mempunyai baki hutang Bank, Peguam Penjual akan memohon Penyata Baki Hutang (Redemption Statement) baki pihak anda daripada Bank Penjual. Ini penting bagi memastikan jumlah sebenar baki hutang bank anda;
(3) Memasukkan permohonan kebenaran pindah milik rumah di agensi perumahan negeri (jika rumah anda adalah rumah kos rendah);
(4) Memasukkan permohonan kebenaran pindah milik rumah di Pejabat Tanah (jika geran / hak milik tanah mempunyai sekatan pindah milik);
(5) Menyemak status kebankrapan penjual di Jabatan Insolvensi. Jika Penjual didapati sudah bankrap selepas deposit atau perjanjian jual beli ditandatangani, sudah pasti transaksi akan menjadi sangat rumit. Tetapi walaupun Penjual sudah bankrap atau sedang dalam proses untuk dibankrapkan, tidak semestinya urusan jual beli tidak boleh diteruskan. Apa yang penting Penjual hendaklah jujur kepada peguam mengenai status kebankrapan anda. Peguam anda boleh bantu untuk selesaikan isu anda;
(6) Menguruskan proses penyelesaian baki hutang rumah anda dan mendapatkan geran rumah daripada Bank;
(7) Berurusan dan melakukan pemfailan CKHT. Setiap pelupusan/penjualan/pindah milik/tukar nama tanah wajib dilaporkan ke LHDN bagi tujuan pengiraan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT). Jika anda layak mendapatkan pengecualian CKHT, peguam anda juga akan memohon pengecualian CKHT tersebut bagi pihak anda.
(8) Berurusan dengan Peguam Pembeli. Sudah pasti dengan fi guaman yang dibayar kepada Peguam Penjual, salah satu tanggung jawab pembeli adalah berkomunikasi dengan peguam Pembeli bagi menyempurnakan urusan transaksi anda dan bagi memastikan terma dan syarat Perjanjian Jual Beli dipatuhi oleh Pembeli;
(9) Berurusan dengan Pemaju untuk mengetahui status pemilikan rumah terutamanya jika melibatkan rumah yang masih belum ditukar nama kepada nama Penjual walaupun geran rumah telah keluar. Bila ini berlaku, urusan jual beli akan menjadi sedikit rumit kerana tidak semua pemaju bersetuju untuk menukar nama secara terus (direct transfer) kepada pembeli.
(10) Berurusan dengan Badan Pengurusan Bersama untuk semakan hutang penyelenggaraan (maintenance fee). Kita tidak mahu pembeli tiba-tiba terkejut mendapati bahawa terdapat banyak hutang maintenance yang tidak dibayar oleh penjual.
PENTING! Sebelum melantik mana-mana peguam bagi mewakili anda, pastikan peguam tersebut adalah bertauliah dan mempunyai lesen sah yang aktif bagi tahun semasa.
Semua peguam yang masih mempunyai lesen amalan yang sah pasti tidak mempunyai masalah untuk memberi salinan lesen tersebut anda lihat. Jangan percaya orang yang kata mereka peguam bagi sesuatu firma, tetapi bila disemak nama peguam tersebut di portal Majlis Peguam Malaysia, nama peguam tersebut tidak disenaraikan sebagai peguam di bawah firma tersebut. Pada kebanyakan masa, sebenarnya orang tersebut mungkin adalah peguam yang telah ditarik lesen amalannya kerana isu pecah amanah dan sebagainya!
Anda juga boleh semak lesen amalan guaman bagi setiap peguam tersebut di portal Majlis Peguam Malaysia. Hanya peguam yang mempunyai lesen yang sah akan disenaraikan dalam direktori peguam Majlis Peguam Malaysia.
Ingin peguam bertauliah menguruskan transaksi pembelian rumah anda?
ASCOlaw (Akmal Saufi & Co) adalah firma guaman berlesen dan bertauliah di bawah Badan Peguam Malaysia dan berpusat di Kuala Lumpur dan Johor.
Hubungi kami untuk menyelesaikan transaksi pembelian hartanah anda dengan menekan link ini -> https://bit.ly/3xtdNGX
Comments