top of page
ASCO LAW

Perlu Khidmat Peguam?

Writer's pictureNur Din

Panduan Lengkap Memohon Pinjaman Perumahan Secara Islam dengan Bank-Bank di Malaysia

Updated: 28 Jun


Kandungan

Pinjaman Perumahan Islam Sangat Berbeza

Jenis-jenis Pinjaman Perumahan Secara Islam

Bank yang Menawarkan Pinjaman Perumahan Secara Islam

Perbezaan dengan Pinjaman Perumahan Konvensional

Pinjaman Perumahan Islam: Nasihat dan Amalan Terbaik



Kini pinjaman perumahan secara Islam muncul sebagai pilihan yang semakin popular bagi mereka yang inginkan cara pembiayaan mematuhi prinsip-prinsip Syariah.


Pinjaman perumahan secara Islam, juga dikenali sebagai pembiayaan hartanah Islam, adalah membabitkan bank atau institusi kewangan Islam membantu pelanggan memiliki rumah atau hartanah dengan mematuhi prinsip-prinsip yang dibenarkan oleh Islam.


Ini termasuk mengelak sebarang unsur riba (faedah), gharar (ketidakpastian) dan maisir (perjudian). 



IDAMAN… Rumah adalah idaman semua orang. Lebih afdal jika ia diperolehi menerusi skim pinjaman perumahan secara Islam. (Imej janaan AI).
 

Pinjaman Perumahan Islam Sangat Berbeza 

Berbanding pinjaman perumahan konvensional berasaskan faedah, pembiayaan rumah berasaskan Islam beroperasi berdasarkan prinsip keuntungan yang dipersetujui bersama di antara bank dan pelanggan.


Pendekatan ini memberi jaminan bahawa urusan pembiayaan adalah halal dan mengelakkan unsur-unsur yang dilarang dalam Islam. 


Ternyata, pembiayaan hartanah secara Islam menawarkan pilihan kepada masyarakat di Malaysia untuk memiliki rumah dengan cara yang selari dengan asas ajaran agama Islam.


Malah, dari sudut syarak, pinjaman perumahan Islam sebenarnya bukan sekadar "pilihan". Ia "pilihan wajib" bagi mengelak sebarang unsur riba (faedah), gharar (ketidakpastian) dan maisir (perjudian). 


Mari kita teruskan untuk lebih banyak info dan kefahaman mengenai pinjaman perumahan berasaskan Islam.


Jenis-jenis Pinjaman Perumahan Secara Islam

Ada pelbagai jenis pinjaman perumahan secara Islam yang ditawarkan oleh bank-bank dan institusi kewangan di Malaysia. 


Di bawah adalah antara jenis perumahan secara Islam yang boleh didapati di negara ini.


Murabahah (Kos Tambahan Jualan)

Dalam skim ini, bank akan membeli rumah atau hartanah terlebih dahulu daripada penjual, kemudian menjualnya semula kepada pelanggan pada harga lebih tinggi meliputi kos asal dan keuntungan yang dipersetujui bersama. 


Kemudian, pelanggan membayar balik jumlah berkenaan secara ansuran bulanan.


Ijarah Thumma Al-Bai' (Sewa Beli)

Kaedah ini membabitkan bank membeli rumah terlebih dahulu, kemudian menyewakan kepada pelanggan selama tempoh tertentu. 


Selepas tamat tempoh sewaan, pelanggan mempunyai pilihan untuk membeli rumah berkenaan pada harga yang dipersetujui.


Musharakah Mutanaqisah (Kongsi Pemilikan Ekuiti)

Mengikut skim ini, bank dan pelanggan berkongsi pemilikan ekuiti ke atas rumah atau hartanah. 


Pelanggan akan membayar ansuran bulanan yang merangkumi sewa dan juga pembelian bahagian ekuiti bank secara berkala sehingga pemilikan penuh dikuasai pelanggan.


Setiap jenis pembiayaan rumah secara Islam di atas ada kelebihan dan kelemahannya tersendiri dari segi kadar keuntungan, tempoh pembayaran balik dan fleksibiliti. Pelanggan perlu membuat penelitian untuk memilih jenis pinjaman yang paling sesuai dengan keperluan serta keupayaan kewangan.


Bank yang Menawarkan Pinjaman Perumahan Secara Islam

Di Malaysia kini banyak bank dan institusi kewangan menawarkan produk pinjaman perumahan secara Islam. 


Setiap bank menawarkan produk pembiayaan perumahan Islam yang berbeza-beza. Malah, setiap produk berkenaan mungkin berubah atau ditambah baik dari semasa ke semasa.


Untuk mendapatkan info terkini bagi setiap produk di setiap bank berbeza, anda boleh membuat semakan menerusi laman web bank-bank terbabit. 



Selain bank-bank popular lain, skim pinjaman perumahan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)  dan pinjaman perumahan Bank Rakyat Berhad adalah skim yang sering mendapat sambutan orang ramai setakat ini.   


Ya, setiap bank mempunyai pakej dan kadar keuntungan yang berbeza-beza. Sebelum membuat keputusan memilih mana-mana produk, anda patut membuat perbandingan terperinci dari segi kadar keuntungan, caj berkaitan, tempoh pembayaran balik serta fleksibiliti yang ditawarkan.



BINCANG… Hadirlah berbincang dengan pihak bank untuk mendapatkan gambaran lebih terperinci mengenai sesuatu skim pinjaman perumahan. (Imej janaan AI)

Perbezaan dengan Pinjaman Perumahan Konvensional

Pinjaman perumahan secara Islam dan pinjaman perumahan konvensional mempunyai beberapa perbezaan utama dari segi konsep, operasi dan prinsip yang mengawalnya. 


Perbezaan utama antara pinjaman perumahan Islam dan pinjaman perumahan konvensional terletak pada cara keuntungan atau faedah dikira dan dikenakan. 


Dalam pinjaman konvensional, bank mengenakan kadar faedah tetap atau terapung ke atas jumlah pinjaman. Kadar faedah ini ditetapkan terlebih dahulu dan berdasarkan kadar pasaran semasa. 


Kadar itu akan dikenakan sepanjang tempoh pinjaman tanpa mengambil kira prestasi sebenar aset yang dibiayai. Ini bermakna jumlah keuntungan bank sudah ditetapkan dari awal lagi.


Sebaliknya, dalam pembiayaan hartanah Islam, konsep faedah atau riba adalah dilarang. Bank tidak boleh mengenakan sebarang kadar keuntungan yang ditetapkan terlebih dahulu. 


Sebagai gantinya, bank menggunakan kontrak Syariah seperti Murabahah, Ijarah, Musyarakah atau Mudarabah.


Contohnya, dalam kontrak Murabahah, bank membeli rumah dari pemaju terlebih dahulu, kemudian menjualnya semula kepada pelanggan pada harga tinggi yang dipersetujui bersama.


Margin keuntungan bank diasaskan kepada kos sebenar pembelian rumah, bukan kadar keuntungan yang ditetapkan terlebih dahulu sebagaimana dalam konvensional


Bagi kontrak Ijarah pula, bank memiliki rumah dan menyewakannya kepada pelanggan pada kadar sewaan tetap bulanan. Selepas tempoh pajakan tamat, hak milik rumah akan dipindahkan kepada pelanggan.


Ini bermakna, dalam pembiayaan perumahan Islam, keuntungan bank berkait rapat dengan prestasi sebenar aset yang dibiayai, bukan berdasarkan kadar tetap. Ini mengelak unsur riba atau eksploitasi dalam urusan kewangan.


Berikut adalah beberapa perbezaan ketara di antara kedua-dua jenis pinjaman perumahan ini.


Konsep Asas

Pinjaman perumahan Islam beroperasi berdasarkan prinsip-prinsip Syariah yang melarang unsur riba (faedah), gharar (ketidakpastian), dan maisir (perjudian). 


Ia berasaskan konsep keuntungan yang dipersetujui bersama seperti konsep jualan (Murabahah), pajakan (Ijarah), dan perkongsian ekuiti (Musharakah Mutanaqisah). 


Sebaliknya, pinjaman perumahan konvensional adalah berasaskan sistem faedah atau riba yang jelas dilarang dalam Islam.


Pemilikan Rumah

Dalam pinjaman perumahan Islam, pemilikan rumah atau hartanah secara berperingkat diberikan kepada pelanggan bergantung kepada jenis produk pinjaman. 


Manakala dalam pinjaman konvensional, pemilikan penuh rumah hanya akan diberikan kepada pelanggan selepas hutang dilunaskan secara total.


Tanggungjawab dan Risiko

Dalam pinjaman perumahan Islam, bank dan pelanggan berkongsi risiko bergantung kepada jenis produk pinjaman terbabit. 


Sebaliknya, dalam pinjaman konvensional, risiko ditanggung sepenuhnya oleh pelanggan.


Pematuhan Syariah 

Pinjaman perumahan Islam jelas mematuhi prinsip-prinsip Syariah dan diawasi oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah di bank-bank Islam terbabit. 


Sebaliknya, pakej pinjaman perumahan konvensional tidak terikat kepada prinsip Syariah.


Secara mudah faham, perbezaan utama di antara kedua-dua jenis pinjaman ini terletak pada pematuhan pada prinsip-prinsip Syariah yang menjadi teras kepada pinjaman perumahan Islam.


Anda boleh baca lanjut mengenai pinjaman perumahan scara umum di sini.


Pinjaman Perumahan Islam: Nasihat dan Amalan Terbaik

Memohon pinjaman perumahan secara Islam memerlukan perancangan kewangan yang teliti dan pemahaman yang baik mengenai sesuatu produk berkenaan.


Lebih daripada itu ia memerlukan komitmen atau iltizam untuk beralih kepada alternatif lebih baik sebagai individu Muslim dalam mendapatkan pembiayaan perumahan atau hartanah.


Berikut adalah antara nasihat dan amalan terbaik yang dapat dikongsikan untuk kebaikan semua.


Rancang secara teliti

Sebelum memohon pinjaman perumahan, pelanggan perlu membuat persediaan dan perancangan kewangan. 


Ini termasuklah mengira nisbah keupayaan membayar balik bulanan berdasarkan pendapatan, komitmen kewangan sedia ada serta perbelanjaan rutin. 


Perancangan awal ini membantu mengelak bebanan hutang yang berlebihan berbanding paras pendapatan sehingga menimbulkan masalah kewangan berterusan serta membebankan seluruh keluarga.



NILAI SENDIRI… Nilaikan sendiri dan berbincanglah dengan pasangan sebelum memilih mana-mana pakej pinjaman perumahan. 

Semak setiap produk

Anda disarankan menyemak dan memahami secara terperinci mengenai produk pinjaman perumahan Islam yang ditawarkan oleh pelbagai bank. 


Bandingkan dari segi kadar keuntungan, fi berkaitan, tempoh bayaran balik serta terma dan syarat berkaitan. 


Jika perlu, jangan ambil mudah dan jangan ragu untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pegawai bank atau perunding kewangan bertauliah.



Pertimbangkan kemampuan bayaran balik

Ini sangat penting. Apabila memohon pembiayaan hartanah atau perumahan secara Islam, anda sebenarnya mengambil tanggungjawab besar untuk membayar balik jumlah yang dipinjam sebagaimana dipersetujui.


Anda perlu memastikan sentiasa membuat pembayaran ansuran tepat pada masa tanpa sebarang kelewatan atau tunggakan.


Fahami Prinsip Syariah

Memandangkan pinjaman perumahan Islam berasaskan prinsip-prinsip Syariah, anda disarankan mempelajari dan memahami prinsip-prinsip ini secara lebih mendalam.


Ini termasuklah prinsip anti riba, gharar dan maisir. Pemahaman semua yang berkenaan akan membantu anda menghargai dan mematuhi kehendak Syariah.


Dengan semua pemahaman dan pematuhan prinsip Syariah yang berkaitan pinjaman perumahan secara Islam ini, anda dapat memastikan proses memohon pinjaman perumahan berjalan berjalan lancar.


Apa yang hebatnya adalah kerana anda kemudian dapat memiliki rumah impian untuk keluarga dengan cara-cara yang selari dengan tuntutan agama.





Comentários


Anda Perlu Pertanyaan Lanjut atau Khidmat Peguam?

NOTIS

Kandungan penulisan ini, ketika tarikh ia diterbitkan adalah hanya sebagai rujukan umum. Ia tidak sama sekali bagi tujuan nasihat perundangan. Dapatkan nasihat guaman mengenai situasi anda secara khusus sebelum mengambil sebarang tindakan.

bottom of page