Harta Pusaka: Sijil Kematian
Harta Pusaka: Dokumen-Dokumen Sokongan
Harta Pusaka: Perintah Faraid
Harta Pusaka: Pengesahan Waris
Harta Pusaka: Pembahagian Harta
Harta Pusaka: Pastikan Hak Setiap Waris
Proses tuntutan harta pusaka di Mahkamah Syariah adalah satu daripada langkah penting yang perlu diambil oleh waris-waris si mati untuk memastikan harta yang ditinggalkan dibahagikan mengikut hukum dan kaedah syarak.
Setiap langkah ini memerlukan pemahaman mendalam bersabit prosedur undang-undang agar proses tuntutan berjalan lancar dan hak setiap waris dapat dipenuhi.
Berikut adalah panduan umum mengenai langkah-langkah yang perlu diambil oleh waris dalam memfailkan tuntutan harta pusaka di Mahkamah Syariah.
Harta Pusaka: Sijil Kematian
Langkah pertama dalam tuntutan harta pusaka adalah mendapatkan sijil kematian si mati. Dokumen ini bukti sah seseorang itu telah meninggal dunia. Ia perlu untuk memulakan sebarang urusan berkaitan dengan harta pusaka.
Sijil kematian boleh didapati daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau pihak hospital di mana si mati disahkan meninggal dunia.
Harta Pusaka: Dokumen-Dokumen Sokongan
Setelah mendapatkan sijil kematian, waris perlu menyediakan beberapa dokumen penting untuk memfailkan tuntutan di Mahkamah Syariah.
Antara dokumen yang perlu dikemukakan ketika menfailkan tuntutan adalah:
- Sijil kematian si mati
- Senarai waris yang layak
- Senarai penuh harta pusaka yang dimiliki si mati (termasuk harta alih dan tidak alih)
- Salinan kad pengenalan waris
Semua dokumen ini penting untuk memastikan tuntutan dibuat secara betul dan tepat. Kegagalan menyediakan dokumen yang lengkap boleh menyebabkan kelewatan dalam proses tuntutan.
Harta Pusaka: Perintah Faraid
Langkah seterusnya adalah memohon Perintah Faraid di Mahkamah Syariah.
Faraid adalah kaedah pembahagian harta pusaka mengikut hukum syarak yang telah ditetapkan di dalam al-Quran.
Untuk mendapatkan Perintah Faraid, waris perlu membuat permohonan rasmi di Mahkamah Syariah dengan mengemukakan dokumen sokongan yang sepatutnya.
Permohonan ini bertujuan untuk mengesahkan siapa waris yang berhak mewarisi harta dan bagaimana pembahagian harta terbabit perlu dibuat.
Harta Pusaka: Pengesahan Waris
Mahkamah Syariah akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti semua waris si mati. Ini dilakukan menerusi perbicaraan. Semua waris berkenaan akan dipanggil untuk hadir perbicaraan terbabit.
Mahkamah akan meneliti semua bukti yang diberikan sebelum membuat keputusan mengenai waris yang layak menerima harta pusaka.
Setelah pengesahan waris dibuat, mahkamah akan mengeluarkan Sijil Perintah Faraid yang menetapkan pembahagian harta mengikut hukum syarak.
Harta Pusaka: Pembahagian Harta
Selepas memperoleh Sijil Perintah Faraid, langkah terakhir adalah melaksanakan pembahagian harta mengikut perintah berkenaan.
Waris boleh memilih untuk membahagikan harta secara terus berdasarkan peratusan yang ditetapkan dalam perintah.
Waris boleh mencapai persetujuan bersama jika ada keperluan untuk penyesuaian dalam pembahagian.
Contohnya, jika terdapat aset yang sukar dibahagikan secara fizikal seperti rumah, waris boleh bersetuju untuk menjual harta terbabit dan membahagikan hasil jualan mengikut faraid.
Harta Pusaka: Pastikan Hak Setiap Waris
Proses tuntutan harta pusaka di Mahkamah Syariah adalah suatu langkah penting yang memerlukan ketelitian dan pemahaman berhubung undang-undang pusaka Islam.
Waris-waris perlu memastikan semua dokumen disediakan secara lengkap dan mematuhi setiap prosedur ditetapkan mahkamah.
Dengan mengikuti langkah-langkah ini, pembahagian harta pusaka dapat dilakukan secara adil mengikut hukum syarak.
Ini bagi memastikan setiap waris menerima hak yang sepatutnya tanpa sebarang konflik atau perselisihan.
Comments