top of page
ASCO LAW

Perlu Khidmat Peguam?

Writer's pictureNur Din

Hukum Faraid Adil: Ini Penjelasan Agama

Kandungan

Hukum Faraid Adil: Mari Kita Lebih Kenal

Hukum Faraid Melebihkan Lelaki dan Mendiskriminasi Wanita?

Hukum Faraid: Penjelasan Islam

Hukum Faraid: Penjelasan Ulama

Hukum Faraid: Perincian Fakta dan Teknikal

Hukum Faraid: Hikmah di Sebalik Syariah



Ada andaian tidak berasas konon hukum faraid dalam Islam tidak adil. Benarkah andaian ini?


Kita sengaja sebut ia sebagai "andaian" kerana konon faraid dalam Islam itu tidak adil adalah tidak lebih satu andaian dan tidak ada asas kukuh.


Asas yang kuat ialah faraid itu adil. Mari kita hujahkan.


Hukum Faraid Adil: Mari Kita Lebih Kenal 



BINCANG… Perbincangan sesama waris dapat mengelak perebutan dan pertelingkahan bersabit harta pusaka dan faraid.

Hukum faraid adalah undang-undang Islam yang mengatur pembahagian harta pusaka secara adil dan saksama. 


Berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, hukum ini memastikan hak setiap waris dipenuhi mengikut hubungan kekeluargaan dan tanggungjawab masing-masing. 


Waris yang berhak termasuklah suami atau isteri, ibu bapa, anak-anak dan saudara mara.


Keadilan dalam faraid dilihat melalui pembahagian harta yang teliti. Contohnya, anak lelaki menerima bahagian harta pusaka pada jumlah yang lebih banyak berbanding anak perempuan.


Ini kerana tanggungjawab kewangan anak lelaki lebih besar. Bagaimanapun, ini tidak bermaksud anak perempuan diabaikan; bahagian mereka tetap terjamin. 


Memahami dan mengamalkan hukum faraid sangat penting untuk mengelak pertelingkahan atau perbalahan serta menjaga hubungan kekeluargaan. 



Hukum Faraid Melebihkan Lelaki dan Mendiskriminasi Wanita?



ADIL… Hukum faraid sangat menitikberatkan keadilan, termasuklah kepada wanita sendiri.

Hukum faraid dikatakan konon melebihkan lelaki dan mendiskriminasi wanita?


Adakah ini benar dan berfakta? Mari teruskan pembacaan. Info di bawah sangat penting untuk anda lebih faham duduk-perkara keadilan fiqh Islam bersabit hukum faraid.


Tanggapan hukum faraid sering melebihkan lelaki dan mendiskriminasi wanita dilihat dengan lebih mendalam dan lebih jelas. 


Dalam Islam, pembahagian harta pusaka adalah berasaskan tanggungjawab dan peranan dalam keluarga. 


Anak lelaki menerima bahagian lebih besar kerana mereka memikul tanggungjawab kewangan yang lebih berat, termasuklah menjaga ibubapa dan adik-beradik perempuan.


Sebaliknya, anak perempuan menerima bahagian lebih kecil kerana mereka tidak mempunyai tanggungjawab yang sama. 


Namun, ini tidak bermakna anak perempuan diabaikan. Malah, Islam turut menetapkan hak wanita menerusi mahar dan nafkah yang menjamin kesejahteraan hidup mereka.


Selain itu, perlu diketahui bahawa hukum faraid sangat memastikan keadilan dengan mengutamakan pembayaran hutang si mati sebelum harta dibahagikan. 


Ini memastikan hak semua pihak, termasuk wanita, terpelihara. 


Justeru, hukum faraid bukanlah sejenis diskriminasi. Ia satu sistem pembahagian yang sangat adil serta seimbang berdasarkan tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam keluarga.


Lebih banyak hujah mengenai keadilan hukum faraid dapat dibaca di sini.



Hukum Faraid: Hikmah di Sebalik Syariah



HIKMAH… Hukum faraid mempunyai hikmah tersendiri. 

Hukum faraid sebagai sistem pembahagian harta pusaka dalam Islam sering menjadi topik perbincangan hangat dalam masyarakat. 


Ramai mempersoalkan kebijaksanaannya, terutamanya berkaitan pembahagian yang kelihatan tidak sama rata di antara lelaki dan wanita. 


Namun, seperti aspek-aspek lain dalam syariah, hukum faraid mempunyai hikmah yang mendalam yang perlu kita fahami.


Pertama, kita perlu melihat hukum faraid dalam konteks sistem ekonomi Islam yang lebih luas. Ia bukan sekadar peraturan pembahagian harta, tetapi sebahagian daripada rangkaian tanggungjawab kewangan yang saling berkaitan. 


Seperti dinyatakan di atas, lelaki dalam Islam diberi tanggungjaba dan kewajipan utama untuk menyara keluarga, membayar mas kahwin dan menanggung perbelanjaan rumahtangga. 


Bahagian yang lebih besar dalam faraid adalah bertujuan membolehkan lelaki menunaikan tanggungjawab ini dengan lebih baik.


Kedua, hukum faraid menjamin hak wanita untuk mewarisi harta. Ini suatu hak yang tidak wujud dalam kebanyakan masyarakat pra-Islam. 


Walaupun bahagian wanita mungkin lebih kecil dalam pembahagian faraid, harta berkenaan adalah milik mereka sepenuhnya. Mereka tidak diwajibkan membelanjakannya untuk keluarga.


Ketiga, sistem faraid ini juga menggalakkan pengagihan kekayaan dalam masyarakat. Dengan membahagikan harta kepada lebih ramai waris, termasuk wanita, ia mencegah penumpuan kekayaan pada segelintir individu. 


Ini membantu mewujudkan keseimbangan ekonomi dalam masyarakat.


Keempat, hukum faraid mengajar kita mengenai nilai-nilai penting seperti kebertanggungjawaban, kasih sayang keluarga dan pengurusan harta pusaka secara lebih bijak.


Malah, ini mengingatkan kita bahawa harta duniawi adalah sementara dan perlu diurus secara amanah.


Untuk memahami kaedah pembahagian harta pusaka mengikut hukum faraid, antaranya anda dapat baca di sini.


Dan, satu aspek penting yang tidak patut dikesampingkan ialah fleksibiliti dalam sistem faraid. Walaupun Islam menetapkan nisbah pembahagian harta pusaka, agama langit ini membenarkan pemberian harta pusaka menerusi wasiat, malah memberi ruang kepada pemilik harta mengagihkan hartanya mengikut budi bicara sendiri.


Ini bermaksud, hukum faraid bukanlah "satu set peraturan rigid" yang perlu dipatuhi sembrono tanpa wujud fleksibiliti langsung. 


Sebaliknya, ia satu sistem dan hukum yang sangat teliti serta menjamin keadilan dan kesejahteraan masyarakat. 




Commenti


Anda Perlu Pertanyaan Lanjut atau Khidmat Peguam?

NOTIS

Kandungan penulisan ini, ketika tarikh ia diterbitkan adalah hanya sebagai rujukan umum. Ia tidak sama sekali bagi tujuan nasihat perundangan. Dapatkan nasihat guaman mengenai situasi anda secara khusus sebelum mengambil sebarang tindakan.

bottom of page