Mahkamah Tuntutan Kecil diwujudkan bertujuan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai untuk membuat tuntutan yang berupa hutang, perkhidmatan dan lain-lain di mana jumlah tuntutan ialah TIDAK MELEBIHI RM5,000.00
Prosedur untuk memulakan tuntutan kecil ini adalah dibawah ATURAN 93 KAEDAH-KAEDAH MAHKAMAH 2012. (Rujuk Gambar)
Aturan 93, Kaedah 2, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 menyatakan
“Aturan ini hendaklah terpakai kepada tuntutan yang amaun dalam pertikaian atau nilai hal perkara tuntutan tidak melebihi lima ribu ringgit”.
Oleh itu, artikel ini adalah disediakan bagi anda yang ingin tahu cara-cara bagaimana anda hendak tuntut hutang atau dari seorang client atau kawan yang masih belum selesaikan bayaran tertunggak.
KANDUNGAN ARTIKEL
Bagaimana Untuk Mulakan Tuntutan Di Mahkamah Tuntutan Kecil?
Anda boleh memulakan tuntatan dengan mengisi BORANG 198.
Anda boleh dapatkan Borang tersebut di Mahkamah Majistret di kawasan masing-masing atau boleh rujuk Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Sebagai contoh, jika anda menetap di Johor Bahru, maka anda boleh ke Mahkamah Majistret Johor Bahru di Tingkat 23, 23A Menara Cyberport, Johor Bahru. Jika anda menetap di Shah Alam, anda boleh ke Mahkamah Majistret Shah Alam.
Bagaimana Untuk Mengisi Borang 198?
Isi nama penuh anda, No Kad Pengenalan, dan juga Alamat terkini. Sebagai pihak yang menuntut, anda akan dikenali sebagai “Plaintif”.
Isi nama penuh, No Kad Pengenalan, dan juga Alamat terkini orang yang dituntut. Orang yang dituntut atau peminjam dikenali sebagai “Defendan”.
Isikan jumlah sebenar yang anda ingin tuntut daripada peminjam/ Defendan.
Isikan fakta-fakta yang membuktikan tuntutan anda. Sebagai contoh, bila kejadian pinjaman tersebut itu berlaku dan kenapa anda membuat tuntutan kepada Mahkamah. Fakta-fakta ini perlulah ringkas, dan mudah difahami.
Tandatangan ditempat yang disediakan, dan berikan empat (4) Salinan kepada Pendaftar Mahkamah bersama-sama pembayaran sebanyak RM10.00.
Selepas anda selesai memfailkan empat (4) Salinan tersebut, Pendaftar tersebut akan tandatangan dan cop di atas Borang 198 tersebut dan seterusnya berikan tarikh Perbicaraan.
Anda akan menerima dua (2) salinan semula. Satu (1) salinan untuk diri anda, dan satu (1) salinan lagi untuk diserahkan kepada Defendan.
Serahan Saman Kepada Orang Yang Berhutang
Setelah anda menerima salinan tersebut, anda perlu untuk menyerahkan 1 salinan kepada Defendan atau orang yang berhutang dengan anda. Anda boleh melakukan serahan secara kendiri (by-hand) atau melalui pos berdaftar. Anda perlu melakukan serahan tersebut dengan sempurna kerana anda perlu membukitkan di Mahkamah bahawa anda telah menyerahkan Borang 198 tersebut.
Perkara ini termaktub dalam ATURAN 93 KAEDAH 5 (2) KAEDAH-KAEDAH MAHKAMAH 2021 seperti berikut:
“Penyampaian Borang 198 boleh dibuat melalui penyampaian secara sendiri atau melalui pos berdaftar pra bayar yang dialamatkan kepada alamat terakhir Defendan yang diketahui”.
Jika anda mempunyai masalah untuk mengisi Borang 198 tersebut, anda boleh mendapatkan nasihat daripada peguam bagi tujuan tersebut. Tetapi perlu diingat, anda tidak boleh diwakili oleh Peguam semasa hari perbicaraan. Anda perlu mewakili diri anda sendiri!
Perkara ini telah termaktub dalam Aturan 93, Kaedah 7 seperti berikut:
“Suatu pihak kepada mana-mana tindakan dalam Mahkamah hendaklah tidak diwakili oleh seorang peguam, kecuali jika Defendan dikehendaki oleh undang-undang untuk diwakili oleh seorang orang yang diberi kuasa.”
Selepas anda berjaya menghantar Borang tersebut sama ada secarfa kendiri mahupun secara Pos Berdaftar, seterusnya anda perlu untuk menunggu hari “PERBICARAAN”.
Pihak Yang Peminjam (Defendan) Mempunyai Hak Membela Diri
Anda perlu ingat bahawa setiap orang mempunyai hak untuk didengari dan membela diri di Mahkamah.
Maka apa yang akan jadi? Selepas peminjam/Defendan menerima Borang 198 anda, Defendan perlu untuk memfailkan PEMBELAAN. Peminjam atau Defendan tersebut boleh berbuat demikian dengan memfailkan BORANG 199 di Mahkamah. Prosedurnya masih sama, perlu difailkan sebanyak empat (4) salinan kepada Pendaftar Mahkamah.
Apa Yang Perlu Diisi Pada Borang 199?
i. Jika Peminjam/ Defendan mengakui beliau meminjam wang tersebut, beliau akan mengisi di ruangan yang disediakan dan menyatakan mengapa beliau mengakui tuntutan tersebut.
ii. Jika Peminjam/Defendan menafikan yang beliau meminjam wang tersbeut, beliau akan mengisi di ruangan yang disediakan dan menyatakan mengapa beliau menafikan tuntutan tersebut.
iii. Peminjam/Defendan juga boleh memulakan ‘Tuntutan Balas’ terhadap penuntut / Plaintif. ‘Tuntutan Balas’ andalah keadaan di mana peminjam/ Defendan menuntut daripada penuntut/ Plaintif. Jika perkara ini berlaku, penuntut/Plaintif perlu pemfailkan pembelaan terhadap ‘Tuntutan Balas’ tersebut di BORANG 200.
Kesan Tidak Hadir Dan Tidak Memfailkan Pembelaan
Penuntut / Plaintif Tidak Hadir
Jika pada hari perbicaraan, penuntut/Plaintif gagal hadir ke Mahkamah, Majistret mempunyai kuasa untuk membatalkan tindakan anda atau membuat apa-apa perintah yang beliau fikirkan bersesuaian.
ATURAN 35, KAEDAH 1 KKM 2021
“Sekiranya, apabila suatu tindakan dipanggil untuk perbicaraan, tiada satu pihak pun hadir, Hakim boleh menolak tindakan itu atau membuat perintah lain yang difikirkan patut”.
Plaintif Dan Defendan Tidak Hadir
Jika kedua-dua pihak tidak hadir pada hari perbicaraan, Mahkamah mempunyai hak untuk membatalkan kes tersebut.
Peminjam / Defendan Tidak Hadir
Jika peminjam/Defendan tidak hadir ke Mahkamah, Mahkamah boleh menggunakan BORANG 202 untuk memerintahkan peminjam/Defendan untuk membayar jumlah tuntutan berserta kos penuntut/Plaintif dalam mengambil tindakan tersebut.
Peminjam/Defendan Gagal Memfailkan Pembelaan
Jika peminjam/Defendan gagal untuk memfailkan pembelaan (BORANG 199), Mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk memberi perintah dibawah BORANG 201 atau Mahkamah boleh menunda perbicaraan tersebut ke tarikh yang lain bagi memberikan peluang kepada Defendan untuk memfailkan pembelaannya.
Jika sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada penuntut/Plaintif disebabkan peminjam tidak hadir, atau tidak memfailkan pembelaan, peminjam boleh kemudiaannya mengarahkan mahkamah untuk mengenepikan keputusan atau perintah tersebut.
Peminjam/Defendan boleh memohon kepada mahkamah untuk keputusan yang awal dibatalkan dan Mahkamah perlu memberikan keputusan yang baharu. Perkara ini termaktub dalam ATURAN 10, KAEDAH 1 KAEDAH-KAEDAH MAHKAMAH 2012.
Jika kedua-dua pihak hadir di Mahkamah, dan peminjam/Defendan telah memfailkan Pembelaan, Mahkamah akan menganalisis fakta-fakta yang dikemukakan dan juga mendengar hujah kedua-dua pihak sebelum membuat sesuatu keputusan.
Jika Mahkamah berpuashati bahawa peminjam/Defendan sememangnya meminjam dan telah gagal membayar balik kepada Plaintif, Mahkamah akan mengeluarkan PERINTAH untuk peminjam/Defendan membayar kepada penuntut/Plaintif.
Sudah Ada Perintah, Tapi Peminjam Masih Gagak Bayar. Bagaimana?
Setelah Mahkamah mengeluarkan PERINTAH (selepas ini dirujuk sebagai ‘perintah mahkamah tersebut’), penuntut/Plaintif perlu menyerahkan perintah mahkamah tersebut kepada peminjam/Defendan melalui Pos Berdaftar. Peminjam/Defendan perlu mematuhi PERINTAH MAHKAMAH seperti yang termakub.
Jika sekiranya peminjam/Defendan gagal untuk mematuhi perintah tersebut, Penuntut/Plaintif boleh membuat permohonan di Mahkamah melalui Borang 208 (yang dikenali sebagai “Notis Tunjuk Sebab”). Selepas Mahkamah endorse, Penuntut /Plaintif boleh menyerahkan Notis Tunjuk Sebab tersebut sama seperti anda menyerahkan Borang 198, iaitu menggunakan kaedah serahan kendiri ataupun pos berdaftar.
Pada BORANG 208, terdapat beberapa perkara untuk peminjam mengambil perhatian;
Peminjam perlu mendepositkan jumlah yang Mahkamah telah arahan kepada peminjam/Defendan dalam masa 10 hari;
Jika peminjam/Defendan gagal melakukan dalam tempoh 10 hari, maka peminjam/Defendan perlu hadir di Mahkamah pada hari yang ditetapkan.
Jika peminjam/Defendan gagal untuk hadir di Mahkamah pada hari yang ditetapkan, Mahkamah akan mengeluarkan waran penahanan (“warrant of arrest”).
Jika peminjam/Defendan hadir di Mahkamah, maka Majistret akan membuat keputusan seperti berikut:
Mahkamah akan memberikan masa kepada peminjam/Defendan untuk membayar balik atau melakukan secara PEMBAYARAN BERANSURAN; atau
Mahkamah akan mengarahkan WRIT PENYITAAN DAN PENJUALAN dilaksanakan. Mahkamah akan mengarahakan bailiff Mahkamah untuk pergi ke rumah peminjam/Defendan untuk menyita barangan milik peminjam/Defendan dan akan dilelong bagi tujuan untuk membayar tuntutan penuntut/Plaintif; atau
Mahkamah boleh mengarahkan agar peminjam/Defendan DIPENJARAKAN.
Penutup
Sekarang mungkin anda telah mengetahui bagaimana cara untuk membuat tuntutan, membela diri di mahkamah, dan bagaimana untuk melaksanakan penghakiman melalui prosedur Mahkamah Tuntutan Kecil.
Jika anda mempunyai masalah, dan ingin mendapatkan nasihat lebih lanjut, anda boleh menghubungi ASCO Law untuk nasihat yang sewajarnya.
Comments