Geran Tanah memberikan kita maklumat yang penting membolehkan kita memahami siapa pemilik tanah tersebut. Bukan itu sahaja malah Geran Tanah turun menjadi asas kepada kami sebagai peguam untuk meneliti proses yang terlibat dan terpakai jika pemilik atau pihak lain ingin melakukan sesuatu transaksi berkaitan tanah tersebut selain memberi indikasi status Geran Tanah tersebut.
Geran Tanah juga memaklumkan kita tentang had dan kekangan yang ada bagi transaksi yang melibatkan tanah tersebut.
Dalam Artikel ini kita akan sepintas lalu memahami bagaimana kita boleh membaca dan memahami maklumat-maklumat di atas Geran Tanah agar anda mempunyai asas pemahaman pembacaan geran tanah.
Antara perkara yang kita akan bincangkan dalam artikel ini adalah;
Fungsi Geran tanah
Di Malaysia geran tanah berfungsi sebagai dokumen mutlak berdasarkan Kanun Tanah Negara untuk menunjukkan pemilikan sesuatu hartanah.
Maklumat Pemilik Geran Tanah sedia ada dan sebelum ini
Kita boleh mengetahui pemilikan dan hakmilik sesuatu hartanah dengan melihat nama pemilik yang ditulis dalam geran tanah yang berkait dengan hartanah tersebut.
Pemilikan tanah dalam geran tanah tidak semestinya pada satu nama individu sahaja. Ia juga boleh dimiliki oleh beberapa individu pada satu-satu masa.
Pemilikan geran tanah juga turut boleh dimiliki syarikat, koperasi dan entiti-entiti lain yang sah.
Jika pemilikan geran tanah adalah individu nama penuh dan nombor kad pengenalan akan dinyatakan. Manakala jika pemilikan adalah entiti selain individu nombor pendaftaran entiti itu seperti nombor pendaftaran syarikat akan dinyatakan.
Kepentingan Pihak Lain dalam Geran Tanah
Bagi pihak yang mempunyai kepentingan ke atas sesuatu hartanah disebabkan tanah tersebut dalam transaksi proses jualan ataupun tanah digadaikan bagi tujuan pinjaman, kepentingan pihak tersebut dinyatakan melalui beberapa cara. Secara amnya ada tiga cara iaitu;
Kaveat
Gadaian
Pendaftaran Pajakan Tidak Berdaftar
Ini memberi maklum kepada semua pihak yang berminat dengan tanah ini bahawa ada pihak lain yang mungkin berkepentingan dalam tanah tersebut.
Tajuk Jenis Geran Tanah
Apabila sesuatu geran tanah dikeluarkan secara amnya ia mempunyai beberapa tajuk seperti di bawah yang memberi maksud tertentu;
Geran
Jika Geran dicatatkan atas Geran Tanah ia bermaksud pemilikan tanah tersebut adalah kekal dan peta tanah telah diperakui.
Pajakan Negeri
Jika Pajakan Negeri dicatatkan atas Geran Tanah ia bermaksud pemilikan tanah tersebut adalah tidak kekal dan peta tanah telah diperakui.
Geran Mukim
Jika Geran Mukim dicatatkan atas Geran Tanah ia adalah tanah di bawah Mukim dan bermaksud pemilikan tanah tersebut adalah kekal serta peta tanah telah diperakui.
Pajakan Mukim
Jika Pajakan Negeri dicatatkan atas Geran Tanah ia bermaksud pemilikan tanah tersebut adalah tidak kekal dan peta tanah telah diperakui.
Hakmilik Sementara Daerah
Jika Hakmilik Sementara Daerah dicatatkan atas Geran Tanah ia bermaksud pemilikan tanah tersebut adalah tidak kekal dan ukuran akhir peta tanah belum diperakui.
Hakmilik Sementara Mukim
Jika Hakmilik Sementara Mukim dicatatkan atas Geran Tanah ia bermaksud pemilikan tanah tersebut adalah tidak kekal dan ukuran akhir peta tanah belum diperakui.
Intipati Maklumat dan Saiz Tanah Dalam Geran Tanah
Di dalam Geran Tanah anda juga akan boleh melihat maklumat-maklumat ini. Ini membolehkan anda lebih memahami kedudukan pelan, saiz dan lokasi tanah yang dinyatakan dalam Geran Tanah.
Negeri
Daerah
Bandar/Pekan/Mukim
Tempat
Lot
Saiz
Pelan Diperakui
Kategori Penggunaan Tanah
Penggunaan Tanah turut dinyatakan
Pertanian
Bangunan (termasukkan perumahan)
Industri
Transaksi atau tindakan Pihak Berkuasa dalam geran tanah
Kadang-kala geran tanah akan menyatakan jika tanah tersebut dalam proses pengambilalihan oleh pihak berkuasa melalui Akta Pengambilalihan Tanah 1960.
Syarat Nyata Dalam Geran Tanah
Ini merupakan syarat yang dinyatakan oleh pihak berkuasa negeri yang memerlukan pemilik geran tanah atau pihak yang menggunakan tanah mengikut ketetapan yang telah dinyatakan.
Sebagai contoh terdapat tanah dimana Syarat Nyata tertulis bahawa tanah tersebut hanya boleh digunakan bagi tujuan pembinaan stadium. Ada pula tanah dimana Syarat Nyata mensyaratkan agar hanya dibenarkan Penanaman Kelapa Sawit.
Anda perlu ingat bahawa selain dari Syarat Nyata anda tetap perlu mengikut piawai Syarat Tidak Nyata yang dinyatakan dalam Kanun Tanah Negara dan ini tertakluk kepada kategori penggunaan tanah yang dinyatakan dalam Geran Tanah.
Sekatan Transaksi Dalam Geran Tanah
Sekatan Kepentingan Untuk Menghalang Pindah Milik Kepada Pihak Lain Dalam Geran Tanah
Geran tanah mempunyai mekanisma untuk menghalang transaksi pindahmilik boleh berlaku tanpa melalui pihak berkuasa negeri. Ini dilaksanakan dengan menyatakan Sekatan Kepentingan dalam Geran Tanah.
Ini adalah cara bagaimana kerajaan memastikan polisi pemilik hartanah dapat dilaksanakan sesuai dengan pembangunan negeri, lokasi dan objektif sedia ada kerajaan.
Jika status sekatan kepentingan dinyatakan dalam Geran Tanah, maka selalunya ini akan memerlukan pemilik mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa negeri sebelum transaksi boleh dibenarkan berlaku.
Sekatan Kepentingan selalunya digunakan oleh Pihak Berkuasa Negeri dalam mengawal pindahmilik hartanah bagi rumah kos rendah, lot bumi, tanah rizab Melayu, tanah adat dan lain-lain perkara yang difikirkan mustahak oleh pihak kerajaan negeri bersesuaian dengan polisi politik negeri dan negara.
Sekatan Pindahmilik Melalui Kanun Tanah Negara
Melalui perundangan Kanun Tanah Negara juga, undang-undang turut mensyaratkan agar sebarang hartanah berstatus pertanian tidak boleh dipindahmilik kepada syarikat asing atau warga asing tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Negeri.
Selain itu, sesebuah tanah estet(tanah pertanian tidak kurang dari 40 hektar) juga tidak boleh dipindahkan kepada pihak lain jika tiada kebenaran Estate Land Board.
ความคิดเห็น