top of page
ASCO LAW

Perlu Khidmat Peguam?

Kos Pembahagian Harta Pusaka (Updated) 2023

Updated: 7 Jun 2023



Pembahagian Pusaka

Pembahagian Harta Pusaka hanya boleh dilaksanakan oleh beberapa agensi, entiti dan individu yang dibenarkan undang-undang. Artikel ini merupakan kemaskini kepada artikel ini dan ini.


Selain dari kos pembahagian harta pusaka kita turut akan membincangkan beberapa perkara mustahak lain yang perlu anda tahu. Antaranya;


  1. Matlamat Pentadbiran Harta Pusaka

  2. Cara, Proses Atau Prosedur Am Pentadbiran Harta Pusaka

  3. Keperluan Melantik Seorang Pentadbir

  4. Apakah Kuasa Pentadbir Harta Pusaka

  5. Bagaimana Pentadbir Mendapatkan Probet Atau Surat Tadbir Kuasa?

  6. Memohon Perintah Pembahagian Harta Pusaka (Perletakkan Hak (Vesting Order))

  7. Pihak Berkuasa Yang Boleh Mengeluarkan Perintah

  8. Siapa Boleh Membantu Waris Dan Pentadbir Dalam Proses Pembahagian Harta Pusaka?

  9. Kos Dan Skop Perkhidmatan Pembahagian Harta Pusaka

  10. Formula Pengiraan Fi Khidmat

  11. Contoh Cara Pengiraan Fi Pembahagian Tadbir Pusaka

1. Matlamat Pentadbiran Harta Pusaka


Ada satu sahaja matlamat yang ingin kita capai melalui pentadbiran Harta Pusaka iaitu mendapatkan harta yang ditinggal si mati dipindahkan kepada waris yang layak.


Tetapi ia bukanlah semudah memadam dan menulis nama di atas dokumen. Itu tidak sah di sisi undang-undang.


Proses pentadbiran dan pembahagian pusaka perlu dijalankan dengan memastikan mereka yang berhak ke atas harta pusaka menerima bahagian mereka dalam pusaka tersebut. Dan ini adalah bergantung kepada tatacara dan tafsiran perundangan oleh pengamal undang-undang dan pihak mahkamah sebelum dilaksanakan oleh agensi berkaitan.


Dalam undang-undang negara kita Malaysia, harta si mati tidak boleh dipindahkan melainkan perintah pembahagian harta pusaka diperoleh terlebih dahulu.


Agensi seperti pejabat tanah, bank, KWSP dan lain-lain institusi tidak akan melayan permohonan anda untuk proses agihan harta pusaka jika anda tidak kemuka perintah pembahagian harta pusaka kerana mereka tertakluk kepada undang-undang negara. Jika mereka dengan sendirinya membuat proses agihan harta pusaka walau sudah mengetahui bahawa harta tersebut adalah harta individu yang telah meninggal dunia, mereka boleh disaman pihak yang teraniaya.

2. Cara, Proses Atau Prosedur Am Pentadbiran Harta Pusaka


Untuk membolehkan harta pusaka boleh diagihkan dengan sebaiknya dan mengikut lunas undang-undang, ini cara atau proses am yang perlu dilakukan untuk pentadbiran dan pembahagian harta pusaka:


1. Pertama sekali pentadbir harta pusaka perlu dilantik tidak kira sama ada sebelum si mati meninggal dunia atau waris-waris melantik pentadbir setelah si mati meninggal. Seorang pentadbir harta pusaka boleh di lantik si mati melalui wasiat ketika beliau masih hidup. Jika tiada pentadbir harta pusaka dilantik oleh si mati, maka waris-waris yang tinggal boleh lah berpakat untuk mengamanahkan seseorang untuk menguruskan pembahagian harta pusaka tersebut. Individu yang boleh dilantik adalah seperti ahli keluarga sendiri, peguam ataupun syarikat amanah.


2. Kemudian pengesahan Pentadbir Harta Pusaka yang ingin diamanahkan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa dengan pengeluaran probet atau surat tadbir kuasa.


3. Jika Pentadbir tidak mampu untuk menjamin kerugian jika berlaku apa-apa dalam proses pentadbiran harta pusaka maka Pentadbir perlu mendapatkan pengecualian Bon Pentadbiran.


4. Bagi kes pentadbiran harta pusaka yang perlu ke mahkamah tinggi (jika harta si mati nilai melebihi RM2 juta), maka Sijil Faraid perlu diperoleh di Mahkamah Syariah. Sijil Faraid menentukan kadar pecahan yang akan digunakan oleh mahkamah tinggi dalam perintah perletakkan hak.


5. Jika harta si mati nilai kurang RM2 juta, pembahagian harta pusaka diteruskan dengan memohon Perintah Perletakkan Hak (Vesting Order) Harta Pusaka dari unit pusaka kecil (jika ada hartanah) atau Amanah Raya (jika harta pusaka tidak melebihi RM600,000 dan mudahalih).


6. Setelah perintah Perletakkan Hak oleh badan berkaitan kerajaan dikeluarkan barulah harta pusaka boleh diagihkan mengikut perintah kepada waris yang berhak.


7. Bagi hartanah dan saham syarikat akan ada cukai dan fi berkaitan perlu dibayar kepada pihak kerajaan sebelum harta tersebut diletakkan atas nama-nama waris.



3. Keperluan Melantik Seorang Pentadbir


Seorang individu atau entiti perlu dilantik terlebih dahulu sebagai pentadbir sebelum permohonan mendapatkan perintah dari pihak berkuasa boleh dibuat.


Jika tidak permohonan akan ditolak jika anda bukan pentadbir yang diberi kuasa pihak berkuasa.


Bagi proses lantikan pentadbir yang telah dilantik si mati sebelum mati, probet adalah dokumen yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi pengesahan lantikan itu.


Bagi proses lantikan pentadbir yang dilantik oleh waris-waris kerana tiada pentadbir dilantik si mati, maka surat tadbir kuasa adalah dokumen lantikan yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi memperlihatkan lantikan tersebut.





4. Apakah kuasa Pentadbir Harta Pusaka


Entiti atau individu yang dilantik sebagai pentadbir boleh memulakan proses pembahagian harta pusaka.


Ini bermaksud pentadbir tersebut boleh memohon dari pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengeluarkan perintah pembahagian harta pusaka dalam bentuk Perintah Perletakkan Hak (Vesting Order).


Individu ini juga merupakan individu yang akan dirujuk pihak berkuasa dan waris-waris si mati sepanjang proses perlaksanaan, pentadbiran dan pembahagian pusaka.



5. Bagaimana Pentadbir Mendapatkan Probet Atau Surat Tadbir Kuasa?


Pentadbir yang belum mendapat probet atau surat tadbir kuasa boleh mendapatkan probet atau surat tadbir kuasa dengan;



a. Bagi Harta Pusaka Yang Mudah Alih tidak melebihi RM600,000


Jika harta pusaka di mana nilainya tidak melebihi RM600,000.00 maka Pentadbir boleh ke Amanah Raya Berhad untuk memohon perintah probet atau surat tadbir kuasa.


b. Bagi Harta Pusaka Mudah Alih dan Tidak Mudah Alih tidak melebihi Ringgit Malaysia Dua Juta (RM2,000,000)


Jika harta pusaka di mana nilainya tidak melebihi Ringgit Malaysia Dua Juta (RM2,000,000) maka Pentadbir boleh ke Unit Pembahagian Pusaka Kecil untuk memohon perintah probet atau surat tadbir kuasa.


Anda boleh melantik peguam untuk membantu anda menyediakan dokumen yang perlu dan berkaitan yang diperlukan Unit Pembahagian Pusaka Kecil.


Terdapat pindaan akta ke atas Akta Pembahagian Pusaka Kecil di mana Unit Pusaka Kecil boleh mengeluarkan perintah ke atas harta pusaka bernilai RM5 juta ke atas. Walau bagaimanapun ia belum digazetkan. Oleh itu nilai had RM2 juta masih terpakai.


c. Bagi Harta Pusaka Mudah Alih dan Tidak Mudah Alih melebihi Ringgit Malaysia Dua Juta (RM2,000,000)


Jika harta pusaka di mana nilainya melebihi Ringgit Malaysia Dua Juta (RM2,000,000) maka Pentadbir wajib ke Mahkamah Tinggi untuk memohon perintah probet atau surat tadbir kuasa.


Anda wajib melantik peguam untuk membuat permohonan di mahkamah tinggi apabila nilai harta pusaka melebihi Ringgit Malaysia Dua Juta (RM2,000,000)



6. Memohon Perintah Pembahagian Harta Pusaka (Perintah Perletakkan Hak (Vesting Order))


Perintah Pembahagian Harta Pusaka atau nama lainnya Perintah Perletakkan Hak atau istilah Bahasa Inggeris ‘Vesting Order’ boleh dipohon oleh Pentadbir yang mempunyai probet atau surat kuasa tadbir yang diberi pihak berkuasa berkaitan.


7. Pihak Berkuasa Yang Boleh Mengeluarkan Perintah

Anda perlu memahami bahawa ada hanya tiga entiti pihak berkuasa yang boleh mengeluarkan perintah perletakkan hak (perintah pembahagian harta pusaka atau dikenali sebagai vesting order).


Dan setiap pihak berkuasa itu mempunyai bidang kuasa yang berbeza menyebabkan kuasa mengeluarkan Perintah Pembahagian Harta Pusaka terhad seperti yang ditetapkan undang-undang.



Perintah Harta Pusaka Yang Mudah Alih tidak melebihi RM600,000


Bagi si mati yang meninggalkan di mana nilainya tidak melebihi RM600,000.00 berbentuk harta mudah alih dan si mati tidak mempunyai sebarang hartanah maka Amanah Raya Berhad boleh mengeluarkan perintah di berdasarkan Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.



Perintah Bagi Harta Pusaka Mudah Alih dan Tidak Mudah Alih tidak melebihi Ringgit Malaysia Dua Juta (RM2,000,000)


Bagi si mati yang meninggalkan hanya pusaka mudah alih dan tidak mudah alih di mana nilainya tidak melebihi Ringgit Malaysia Dua Juta (RM2,000,000) maka Unit Pembahagian Pusaka Kecil boleh mengeluarkan perintah pembahagian harta pusaka.


Peguam boleh membantu anda untuk menyediakan dokumen berkaitan.



Perintah Bagi Harta Pusaka Mudah Alih dan Tidak Mudah Alih melebihi Ringgit Malaysia Dua Juta (RM2,000,000)


Bagi si mati yang meninggalkan hanya pusaka mudah alih dan tidak mudah alih di mana nilainya melebihi Ringgit Malaysia Dua Juta (RM2,000,000) maka Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa mengeluarkan perintah pembahagian harta pusaka.


Anda wajib menggunakan peguam jika ke Mahkamah Tinggi.



8. Siapa boleh membantu waris dan pentadbir dalam proses pembahagian harta pusaka?


Umat Islam mempunyai pilihan untuk melantik pentadbir atau pembantu untuk bantu pentadbiran harta pusaka. Antara pihak yang boleh bantu adalah;


  1. Peguam

  2. Amanah Raya Berhad

  3. Syarikat Amanah



9. Kos Dan Skop Perkhidmatan Pembahagian Harta Pusaka



a. Skop Khidmat Amanah Raya Berhad


Memberi perkhidmatan mendapatkan Sijil Faraid dari Mahkamah Syariah : Tidak


Perkhidmatan mendapatkan/mengeluarkan Probat Wasiat : Ya bagi harta pusaka bernilai RM600,000 dan ke bawah sahaja.


Tempoh Proses: Minimum 4 bulan ke 6 bulan bagi harta mudah alih dari tarikh dokumen lengkap. Minimum 12 bulan bagi harta tidak mudah alih dari tarikh dokumen lengkap


Khidmat Pentadbiran dan agihan Pusaka: Ke semua harta dalam Pusaka akan diagihkan.



b. Skop Khidmat Peguam ASCO Law


Membantu perkhidmatan mendapatkan Sijil Faraid dari Mahkamah Syariah (bagi Harta Pusaka Melebihi RM2juta) : Ya


Perkhidmatan mendapatkan/mengeluarkan Probat Wasiat dari Mahkamah Tinggi: Ya


Tempoh Proses: Minimum 3 bulan ke 6 bulan bagi harta mudah alih dari tarikh dokumen lengkap. Minimum 9 bulan bagi harta tidak mudah alih dari tarikh dokumen lengkap


Khidmat Pentadbiran dan agihan Pusaka: Kesemua pusaka dalam negara dalam bentuk berikut;


1. Semua wang di bank;

2. Semua takaful;

3. Semua insurans;

4. Hartanah (Satu sahaja); dan

5. Kenderaan (Dua sahaja)


akan diagihkan berdasarkan Surat Kuasa Tadbir atau Probat.


Jika terdapat lebih dari satu hartanah atau lebih dari dua kenderaan atau aset-aset lain yang tidak disebutkan di atas, fi tambahan akan dikenakan.






10. Formula pengiraan fi khidmat


Fi Khidmat Amanah Raya Berhad


Dari nilai Harta Pusaka;

Bagi RM25,000.00 pertama - 5%

Bagi baki seterusnya sehingga RM225,000.00 - 4%

Bagi baki seterusnya sehingga RM250,000.00 - 3%

Bagi baki seterusnya sehingga RM500,000.00 - 2%

Bagi baki seterusnya - 1%


*Ini tidak termasuk cukai yang perlu dibayar kepada pihak Kerajaan.


Fi Khidmat Peguam ASCO Law


Kos Khidmat Pentadbiran Harta Pusaka oleh Peguam ASCO Law bagi mendapatkan;

Probet/Surat Kuasa Tadbir & Perintah Pengecualian Bon – RM6,000

Sijil Faraid – RM6,000

Perintah Perletakkan Hak (Vesting Order) dan Endorsement Vesting Order – RM4,000


*Ini tidak termasuk cukai yang perlu dibayar kepada pihak Kerajaan.


11. Contoh cara pengiraan fi pembahagian tadbir pusaka


Bagi tujuan pemahaman dan contoh pengiraan fi perkhidmatan pentadbiran harta pusaka, ia boleh dilihat berdasarkan contoh yang berikut;


Jika Harta Pusaka bernilai RM1,000,000.00, maka

a) Amanah Raya Berhad akan mengenakan fi sebanyak RM27,750;

b) Peguam ASCO Law akan mengenakan fi sebanyak RM16,000.


Jika Harta Pusaka bernilai RM2,000,000.00, maka

a) Amanah Raya Berhad akan mengenakan fi sebanyak RM37,750;

b) Peguam ASCO Law akan mengenakan fi sebanyak RM16,000


Note: Pengiraan kos fi pembahagian tadbir harta puasa di atas dibuat dengan anggapan bahawa harta pusaka tidak terkait dengan proses pembahagian harta pusaka yang berlapis.


Untuk mendapatkan kos yang lebih tepat berkaitan fi pembahagian dan pentadbiran harta pusaka, hubungi peguam kami.



peguam pusaka



Anda Perlu Pertanyaan Lanjut atau Khidmat Peguam?

NOTIS

Kandungan penulisan ini, ketika tarikh ia diterbitkan adalah hanya sebagai rujukan umum. Ia tidak sama sekali bagi tujuan nasihat perundangan. Dapatkan nasihat guaman mengenai situasi anda secara khusus sebelum mengambil sebarang tindakan.

bottom of page